Jika pergi ke pasar raya tidak sah rasanya kalau tidak membeli susu kultur atau minuman probiotik. Jangan kata anak-anak kecil, kita yang dewasa pun suka dengan Vitagen, Yakult mahupun Solivite. Minuman jenis ini memang bagus untuk penghadaman khususnya, namun di sebalik itu tahukah anda bahawa minuman jenis ini sebenarnya mempunyai kadar gula yang tinggi?

Kajian terbaharu yang dilaporkan oleh Public Health Malaysia mendapati bahawa minuman probiotik ini sebenarnya mengandungi kandungan gula yang tinggi. Malah, sesetengahnya memiliki kandungan gula yang lebih tinggi berbanding air Coca Cola. Bahaya bukan?

Tetapi, jangan risau dahulu kerana selepas ini anak-anak anda masih boleh menikmati susu kultur di rumah. Anda boleh membuat sendiri ‘vitagen’ di rumah dengan menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati dan caranya juga mudah. Apa yang penting minuman tersebut lebih sihat dan sesuai untuk anak-anak berusia 10 bulan ke atas.

Mari lihat resipi yang dikongksikan oleh seorang pengguna Facebook, Puan Tqah Nasir.

BAHAN-BAHAN

  • Beberapa biji anggur
  • Full fat yogurt – 1/4 cawan

CARA-CARA

  1. Mula-mula kisar buah anggur dengan sedikit air sehingga menjadi halus.
  2. Kemudian tapiskan hampas anggur supaya untuk mendapatkan tesktur yang halus supaya mudah untuk anak meminumnya.
  3. Selepas itu, kisar semula anggur itu dan campurkan dengan 1/4 cawan yogurt. Memandangkan terdapat banyak jenis yogurt, anda boleh gunakan full fat yogurt kerana yogurt itu mempunyai lebih banyak lemak dan sesuai untuk anak-anak kecil jika dibandingkan dengan low fat yogurt.
  4. Selepas itu, minuman itu sudah boleh dituangkan ke dalam cawan kesukaan anak-anak anda dan sedia untuk dinikmati!

Anda juga boleh membuat minuman ini dengan kuantiti yang banyak. Tetapi, pastikan anda meletakkannya di dalam peti sejuk dan maksimum ia boleh diminum dalam masa tiga hari sahaja.

Jika anda melihat ada ketulan yogurt yang terapung di atas, goncangkan dahulu sebelum meminumnya seperti biasa.

Selain itu, menurut Puan Atiqah, minuman ini sesuai untuk anak berusia 10 bulan ke atas dan boleh ditukar kepada buah buahan lain seperti blueberry, strawberi, kiwi, pisang, mangga dan lain-lain.

Daripada membiarkan anak-anak minum minuman yang tinggi gulanya lebih baik belajar dan membuatnya sendiri. Dengan itu, kita dapat mengawal kuantiti gula dan minuman juga lebih sihat dan segar. Jadi, apa tunggu lagi? Selamat mencuba!

Kredit: Facebook| Tqah Nasir 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular