Gambar hidangan menu di restoran ini kelihatan lazat dan mengiurkan, dan pelanggan yang lalu di hadapannya pasti mahu singgah untuk menikmati hidangan. Selepas memesan hidangan dan melihat sendiri, ternyata perasaannya amat berbeza dan bertukar kepada mengecewakan. Baru-baru ini seorang netizen di Hong Kong berasa seperti tertipu setelah berkunjung ke restoran Yoshinoya di New Territories untuk menikmati makanan Jepun yang lazat memandangkan iklannya yang amat menarik perhatian, tetapi apabila makanan itu sampai di atas meja, seleranya terus dipatahkan.

Iklan hidangan di restoran Yoshinoya memaparkan dua set hidangan tempura bersama nasi iaitu set V2 ‘Supreme Tycoon Bowl’ yang berharga HK$56 (RM30.00) yang mengandungi tempura udang, sotong dan ayam bersama sayur-sayuran. Manakala set V1 ‘Tycoon Bowl’ yang berharga HK$49 (RM26.00) mengandungi tempura udang, sotong dan tiram bersama sayur-sayuran. Kedua-dua hidangan tempura nampak mengiurkan dan hidangan nasi dipenuhi dengan makanan laut yang digoreng sempurna dan rangup sesuai dengan istilah ‘tempura’ yang dinyatakan.

Cocomy

Iklan ini amat menarik perhatian pelanggan sehingga mampu membuat semua orang berasa lapar. Netizen ini telah memesan set hidangan V1 dan ternyata apa yang dipersembahkan di atas meja tidak seperti yang dipaparkan pada papan iklan. Cara gorengan tempura amat menyedihkan dan semangkuk nasi tidak pun dipenuhi dengan hidangan tempura seperti mana yang dilihat pada iklan. Terdapat jurang perbezaan yang teramat besar, seolah-olah pelanggan telah ditipu bulat-bulat.

Cocomy

Netizen wanita ini berasa tertipu sehingga terus berasa kenyang. Kerana berasa tidak puas hati dia telah memuat naik dua gambar perbezaan set tempura, satu di papan iklan promosi dan set tempura dunia nyata yang diterimanya bersama resitnya sekali. Netizen ini mempersoalkan kaedah pemasaran yang telah dijalankan oleh restoran Yoshinoya yang ternyata telah mengelirukan pelanggan dengan penerangan produknya serta melanggar hak pengguna.

Setelah muat naik gambar iklan dan realiti menjadi tular, beberapa orang netizen telah memberikan maklum balas dengan menyatakan mereka juga pernah melalui pengalaman yang sama, memesan set tempura yang dilihat amat menyelerakan, tetapi apa yang dipersembahkan sebagai hidangan ternyata amat mengecewakan. Dengan tidak kurang pula netizen yang mempertahankan nama restoran ini dengan berkata iklan Yoshinoya turut menyatakan ‘gambar itu hanya sekadar hiasan dan rujukan sahaja’.

Cocomy

Pihak Yoshinoya kemudian memberi maklum balas dengan menjawab tuduhan tersebut bahawa syarikat mereka telah membuat satu garis panduan untuk bahagian pengeluaran dan pemprosesan makanan, bahawa setiap cawangan perlu mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan demi mengekalkan kualiti makanan secara seragam dan konsisten, sesuai dengan apa yang telah diiklankan. Bagi para pelanggan yang tidak berpuas hati, mereka akan memberi perhatian secara serius terhadap aduan yang dikemukakan.

Jurang pengiklanan dan realiti yang terlalu besar sehingga membuat para pelanggan berasa kecewa. Sepatutnya setiap restoran perlu memberi perhatian yang lebih kepada kualiti makanan berbanding kaedah pemasaran yang dinyatakan secara gah dan hebat, tetapi ternyata indah khabar dari rupa, sehingga mampu menjejaskan perniagaan secara keseluruhannya.

Sumber : Cocomy

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: BISNES GAYA HIDUP

Video Popular