Wang Xing Meng baru berusia 6 tahun dan tinggal bersama keluarganya di bandar Nanyang, wilayah Henan di China. Ketika usianya baru 2 tahun, ibunya telah meninggal dunia akibat penyakit. Anak kecil ini ditinggalkan tanpa belaian kasih ibu yang kini tugas itu dipikul oleh neneknya yang sudah tua dan bapa yang sedang menderita penyakit tumor otak.

Oleh kerana bapa Xing Meng yang terlantar sakit dan tidak berdaya untuk bekerja, nenek Xing Meng menggalas tanggunjawab itu dengan bekerja keras mencari wang untuk menyara keluarga dan membiayai perubatan anak lelaki yang sedang sakit. Pada usia yang masih muda, Xing Meng tidak pernah mengenali wajah ibunya secara bersemuka tetapi hanya melihatnya melalui gambar. Katanya, “Saya hanya ada ibu di dalam beg.”

Pada tahun 2014, ketika berusia 2 tahun, Xing Meng telah kehilangan ibu kerana penyakit kanser darah. Bapanya Wang Tingshan bekerja keras untuk membayar hutang perubatan isterinya. Malangnya pada tahun 2018, Wang Tingshan telah didiagnos dengan penyakit tumor otak. Dia meminjam lagi sebanyak 160,700 yuan (RM98,806) untuk menjalani pembedahan membuang tumor di otak, tetapi telah diarahkan pulang ke rumah selepas pembedahan kerana dia tidak mampu membayar kos rawatan di hospital. Wang Tingshan tiada cara lain selain bergantung harapan daripada ibu dan anak perempuannya yang masih kecil.

Sebagai tambahan kepada kos pembedahan, kos rawatan dan penyembuhan Wang Tingshan sebanyak 100,000 yuan (RM62,000) diperlukan. Keluarga ini tidak mempunyai wang sebanyak itu dan kehidupan seharian mereka juga sangat sukar. Sepatutnya pada peringkat perkembangan kanak-kanak sebayanya, Xing Meng memerlukan nutrisi dan pemakanan yang baik. Tetapi oleh kerana situasi keluarganya sangat susah, anak kecil ini hanya mampu diberi makan roti kukus dengan sos, namun begitu dia tidak pernah merungut.

Nenek Xing Meng, Xu Zhiping sudah berusia 60 tahun tetapi sibuk bekerja di ladang dan melakukan kerja kasar seperti di tapak pembinaan di kampungnya untuk menjana pendapatan keluarga. Nenek ini sentiasa sibuk dengan pekerjaannya sehingga tugas menjaga Wang Tingshan yang terlantar kadangkala terpaksa diserahkan kepada Xing Meng yang masih kecil.

Selepas pulang dari sekolah tadika, Xing Meng dapat merasai kesukaran yang dilalui oleh neneknya yang terpaksa bekerja sambil sentiasa bimbangkan kesihatan anak lelakinya. Oleh itu, Xing Meng bertekad untuk hidup berdikari dengan berusaha sendiri sambil tidak menyusahkan neneknya. Ketika neneknya keluar bekerja, Xing Meng akan mengambil alih tugas menjaga bapanya dengan memberinya makan, serta melakukan kerja-kerja rumah seperti membasuh pinggan, menyapu dan sebagainya. Apa sahaja yang terdaya dilakukan olehnya.

Pernah satu ketika Xing Meng pernah bertanya kepada neneknya, “Mengapa ibu saya pergi dulu dan tidak dapat mengambil saya di sekolah?” Ketika itu dia melihat semua rakan-rakannya di tadika diambil oleh ibu bapa dan mereka pernah bertanyakan di mana ibu bapa Xing Meng kerana tidak pernah mengambilnya. Nenek Xing Meng berasa amat pilu lalu mengeluarkan gambar ibu Xing Meng dan memberikan kepadanya untuk disimpan di dalam beg sekolahnya setiap hari.

Wang Xing Meng tidak pernah mengenali wajah ibu sendiri kerana dia telah ditinggalkan mendiang ibu semenjak bergelar bayi. Kasih sayang ibu itu hanya dapat dilihat di dalam gambar. Maka setiap kali orang bertanya, Xing Meng akan menjawab dengan air mata yang mengalir, “Ibu saya ada di dalam beg…”

Penderitaan dan kesukaran anak kecil ini amat memilukan. Pada usia yang begitu muda dia sudah tahu untuk hidup berdikari dan mengharungi kepayahan menguruskan diri sendiri dan menjaga ahli keluarganya yang lain. Sedangkan kanak-kanak lain yang seusia dengannya hanya tahu bermain dan dimanjakan oleh ibu bapa masing-masing.

Sumber : Cocomy

 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular