Selepas seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun meninggal dunia akibat alahan terhadap sumber yang tidak disangka-sangka, ibu kanak-kanak tersebut menyeru agar orang ramai menjadi lebih prihatin apabila berbicara tentang masalah alahan anak-anak.

Gambar sekadar hiasan. Kredit: PeriClean

Monique Altamirano yang berasal dari California ditemubual oleh Allergic Living selepas anak perempuannya, Denise Saldate meninggal dunia akibat menggunakan ubat gigi. Denise didiagnosis dengan alahan susu ketika berusia 1 tahun. Sejak diagnosis, seluruh keluarganya telah berhati-hati dan membaca semua ramuan produk dalam semua makanan yang diambil oleh Denise untuk memastikan semua bahan adalah selamat untuknya.

Pada 4 April, Monique membawa anak perempuannya ke janji temu bersama doktor gigi yang mana pejabat pergigian itu mencadangkan anaknya memakai ubat gigi berjenama MI Paste One untuk membantu menguatkan enamel gigi Denise. Oleh kerana tidak pernah melihat susu disenaraikan sebagai bahan pembuatan ubat gigi sebelum ini, jadi Monique tidak memeriksa ubat gigi berkenaan terlebih dahulu.

“Saya tidak terfikir untuk melihat ramuan produk,” katanya. “Dia hanya teruja untuk mendapatkan ubat gigi khasnya.”

Kredit: Allergic Living

Jenama ubat gigi tersebut mengandungi bahan Recaldent dan protein susu. Kesannya, Denise dengan cepat mempunyai tindak balas alergi selepas menggunakannya untuk menggosok gigi.

“Denise berkata, ‘Saya rasa saya mempunyai alahan terhadap ubat gigi,’ dan bibirnya sudah berwarna biru,” kata Monique. “Saya mengangkatnya dan meletakkannya di atas katil saya. Saya berlari ke ruang tamu, memberitahu anak perempuan saya-‘Telefon 911!’- dan saya mencapai EpiPen.”

Monique memulakan CPR sebelum paramedik tiba dan mengambil alih. Mereka memindahkannya ke ambulans, tetapi Denise meninggal dunia sebelum sampai ke hospital.

Monique kini mahu ibu bapa bagi kanak-kanak yang mempunyai alahan untuk menyemak segala-galanya dan jangan sesekali membuat andaian mengenai apa yang selamat untuk mereka.

“Baca semuanya. Jangan merasa selesa, hanya kerana anda telah menguruskannya untuk beberapa tahun,” katanya. “Anda tidak boleh merasa selesa atau malu atau takut untuk bertanya dan memastikan ramuannya selamat. Jadilah seorang yang teliti untuk anak anda.”

Kredit: Allergic Living

Walaupun produk ini mempunyai label, namun undang-undang tidak memerlukan pendedahan alahan pada produk penjagaan diri, jadi ibu bapa harus berhati-hati apabila menggunakan produk baru.

Monique berharap berita tentang tragedi ini akan memberi kesedaran dan pengajaran kepada semua ibu bapa di luar sana.

“Keluarganya memohon kepada mereka yang tahu mengenai perkara ini untuk berkongsi pengetahuan mereka dan memberitahu orang-orang yang tidak biasa dengan alahan dan keseriusan keadaan ini,” katanya semasa pengebumian Denise. “Mereka berharap dengan berkongsi cerita ini, keluarga, penjaga, kakitangan sekolah dan orang-orang secara umum akan mengambil keadaan ini dengan lebih serius dan memeriksa ramuan bagi semua produk, bahkan mungkin produk yang tidak relevan.”

Sumber: Working Mother

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN

Video Popular