COLOMBO: Polis Sri Lanka menahan 13 orang berhubung beberapa siri letupan yang meragut 228 nyawa di seluruh negara pulau itu.

Memetik agensi berita China Xinhua sebagai berkata, kesemua suspek kini ditahan dan 10 daripada mereka telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah untuk tindakan lanjut.

Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe berkata, kesemua yang ditahan adalah warga Sri Lanka dan operasi pencarian lebih ramai suspek masih dijalankan.

Daily Express

“Dalam kejadian tersebut, sejumlah 228 orang maut manakala 450 lagi cedera dalam lapan insiden letupan,” katanya yang dipetik Bernama.

Sementara itu, Presiden Maithripala Sirisena berkata, satu suruhanjaya khas bagi menyiasat serangan itu telah ditubuhkan.

Semalam, letupan terbabit dilaporkan berlaku di seluruh Sri Lanka semasa ratusan penganut berhimpun di gereja untuk memperingati Hari Easter.

Astro Awani

Sementara itu, jurucakap polis SP Ruwan Gunasekara berkata, letupan pertama berlaku di Gereja St Anthony di Kochchikade diikuti letupan kedua di Gereja St Sebastian di Negombo, kedua-duanya terletak di pinggir ibu kota.

Sementara itu, letupan ketiga pula berlaku di timur bandar Batticaloa, menggegarkan Gereja Zion.

Selain itu, beberapa letupan lain turut menggegarkan tiga buah hotel lima bintang di Colombo manakala di sebelah petang pula, satu letupan dilaporkan berlaku di sebuah hotel yang terletak bertentangan dengan sebuah zoo di Dehiwala.

Turut berlaku letupan di sebuah kompleks perumahan di Dematagoda, terletak di ibu kota tersebut.

Sementara itu, saksi kejadian letupan di Sri Lanka berkongi detik cemas ketika mendengar lapan siri letupan yang menyasarkan gereja dan hotel di bandar itu.

Seorang penduduk, Asela Waidyalankara berkata, dia mendengar letupan kuat dan bertindak memanjat ke atas bumbung sebelum melihat kepulan asap di udara berikutan letupan tersebut.

Menurutnya, dia mendengar tujuh letupan yang berlaku di rumah tetamu di pinggir bandar Dehiwala berhampiran taman zoologi.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mangala Karunaratne berkata, ketika kejadian dia sedang membeli barangan keperluan.

“Saya seperti tidak percaya insiden serangan itu boleh berlaku kerana setelah berpindah ke Colombo selepas perang saudara, Sri Lanka disifatkannya sebagai sebuah negara yang aman,” katanya yang dipetik Astro Awani.

Katanya, 30 tahun lalu penduduk di sini sudah biasa dengan letupan berikutan perang saudara namun selepas 10 tahun negara itu mengecapi keamanan, insiden ini disifatkan sebagai kejadian mengejutkan.

Buat masa ini, kerajaan Sri Lanka telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara dengan serta-merta dan menghalang akses kepada semua media sosial.

Setakat ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Dalam masa sama, Malaysia bersedia untuk menghantar bantuan kepada kerajaan Sri Lanka bagi kerja-kerja pemulihan di kawasan terjejas ekoran serangan bom

Menteri Luar  Datuk Saifuddin Abdullah dalam kenyataan ringkas yang dimuat ke dalam akaun Facebook berkata, telah bercakap dengan rakan sejawatannya dari Sri Lanka,  Tilam Marapana untuk menyampaikan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terjejas.

Beliau menyifatkan insiden serangan yang meragut nyawa penduduk tempatan itu tidak masuk akal serta kejam.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan ini dan menggesa supaya pelaku dibawa ke muka pengadilan,” tegas beliau.

Sumber: Bernama, Astro Awani

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular