Walaupun hanya memperolehi pendapatan kira-kira RM1,250 (2,000 yuan) dalam sebulan, pembersih jalanan berusia 58 tahun dari China ini telah menyumbang RM111,530 (180,000 yuan) kepada kanak-kanak miskin serta yang kurang bernasib baik sejak 30 tahun yang lalu.

Zhao bekerja sebagai pembersih jalanan dari Shenyang di wilayah timur laut Liaoning, China. Dengan hasil pendapatannya, sekurang-kurangnya dia boleh menjalani kehidupan yang selesa tetapi lelaki ini telah memutuskan untuk membantu orang lain yang memerlukan dan tindakannya memberi inspirasi kepada semua.

Berasal dari latar belakang keluarga yang miskin, Zhao amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh kanak-kanak miskin kerana dia sendiri pernah berjuang untuk memenuhi keperluan harian ketika masih muda.

Bapa Zhao meninggal dunia ketika dia masih kecil manakala ibunya menderita penyakit mental. Oleh itu, dia tidak mempunyai pilihan selain bergantung dan menerima bantuan orang lain.

Zhao mengingati kebaikan serta keprihatinan yang diperolehinya daripada jiran-jiran di kampung dan bagaimana dia pernah hidup dengan makan bersama sekurang-kurangnya 100 keluarga yang cukup baik untuk berkongsi makanan.

Apabila telah dewasa dan berjaya mendapat pekerjaan sebagai pembersih jalanan beberapa tahun kemudian, Zhao bertekad untuk memberi kembali kepada masyarakat dengan membantu kanak-kanak miskin lain seperti mana orang-orang kampung membantunya ketika dia masih kecil.

Zhao berkata, “Saya pernah menjadi seperti anak-anak ini, saya tidak mempunyai cukup makanan dan berasa tidak berdaya. Saya mahu membantu untuk mengubah nasib mereka.”

Walau bagaimanapun, ia bukan satu tugas yang mudah pada mulanya apabila dia memutuskan untuk menderma dan menyumbangkan sebahagian besar pendapatannya untuk membantu kanak-kanak miskin.

Keluarganya tidak memahami tindakan Zhao tetapi mereka mengetahui bahawa dia telah melakukan perkara yang mulia dan betul.

Isteri Zhao pernah memberinya masa yang sukar kerana dia sentiasa bertanya kepadanya mengapa Zhao memberi sebahagian besar pendapatannya untuk membantu kanak-kanak miskin ketika keluarga mereka juga sedang bergelut dengan kehidupan yang sukar.

Zhao kemudian membawa isterinya ke sebuah kampung di mana kanak-kanak ini hidup dalam keadaan yang amat daif sehingga isterinya dapat melihat sendiri keadaan mereka yang amat menyedihkan. Sejak lawatan itu, dia terus berhenti bertelagah dengannya.

Zhao telah mengumpul sijil derma yang diperolehnya sejak 30 tahun yang lalu.

Oleh kerana Zhao secara konsisten mendermakan sebahagian besar pendapatan bulanannya kepada golongan yang memerlukan, dia sendiri tidak pernah membeli pakaian dan kasut baru selama bertahun-tahun.

Zhao juga hanya makan mi sup yang murah dan tinggal di rumah yang amat sederhana.

Walaupun dia tidak berniat untuk melihat kebaikannya itu menerima apa-apa balasan, nampaknya anak-anak yang dia telah bantu rata-rata mahu berbuat demikian untuk membalas budinya.

Apabila dia mengalami penyakit usus yang serius pada Disember lalu dan terpaksa dimasukkan ke hospital, tiada orang yang dapat membantu Zhao oleh kerana isterinya berada jauh dari rumah mereka.

Nasib baik ada anak-anak ini yang datang menjenguk dan menjaga Zhao sehingga dia kembali sihat.

Walaupun usia Zhao sudah hampir 60-an dan tugasnya menjadi semakin sukar kerana masalah kesihatan, Zhao enggan bersara kerana dia masih mahu terus membantu kanak-kanak miskin dan kurang bernasib baik selagi kudratnya mengizinkan.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share

Video Popular