Tidak dinafikan ramai yang mengambil keputusan untuk berhijrah dari tempat kelahiran demi mencari rezeki serta mendapatkan kehidupan yang lebih baik. Mereka yang berhijrah itu bukan sahaja mengorbankan wang untuk memulakan hidup di tempat baharu, malah terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga.

Mujurlah dengan kecanggihan teknologi pada masa kini, kita bukan sahaja dapat mendengar suara malah dapat bertentangan mata. Antara aplikasi telefon pintar yang mendekatkan jarak kita ialah Skype, Whatsapp, Facebook, Line dan macam-macam lagi.

Oleh itu, tidak hairanlah jika kita melihat pekerja asing di Malaysia ini kerap berhubung dengan keluarga mereka yang jauh di kampung.

Seorang pengguna Twitter @azgheenroslan berkongsi kisah mengenai rakan sekerjanya yang sangat merindui keluarganya terutama sekali anak perempuannya.

Menurut @azgheenroslan, hampir setiap hari ketika waktu rehat tengah hari, rakannya yang merupakan warganegara Bangladesh bernama Nobir itu akan melihat gambar anak perempuannya dan tersenyum.

“Saya boleh melihat betapa bangganya dia sebagai seorang ayah.” kata  @azgheenroslan. Menerusi catatannya di Twitter, @azgheenroslan berharap agar anak perempuan Nobir akan membalas usaha dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh ayahnya itu serta menjaganya pada masa hadapan.

Menurut @azgheenroslan lagi, Nobir dan rakan sekerja berbangsa Bangladesh yang lain bekerja seawal 7 pagi hingga 10 malam. Mereka akan menghubungi keluarga masing-masing untuk saling melepaskan rindu melalui panggilan video setiap kali mempunyai masa terluang.

Catatan @azgheenroslan itu telah mendapat balas dari netizen lain dan ada yang berkongsi kisah yang sama mengenai rakan sekerja mereka yang merupakan pekerja asing.

Seperti @hAiKaLL97, dia mengatakan bahawa hampir setiap hari rakannya Harka dari Nepal akan masuk ke ladang untuk mencari ‘line’ supaya dapat berhubung dengan keluarga mereka melalui panggilan video dengan lebih lancar.

Semoga kisah pekerja asing ini dijadikan teladan bagi kita. Sesibuk mana kita bekerja atau sejauh mana pun kita pergi, hubungilah keluarga terutama ibu dan ayah pada bila-bila masa. Ibu bapa tidak mengharap wang dari anak-anak semata-mata tetapi ingatan serta masa yang kita luangkan bersama mereka itu adalah lebih penting walaupun hanya sekejap.

Sumber: TWITTER | @azgheenroslan

Maybe you're interested :

Share

Video Popular