PUTRAJAYA: Lebih dari empat juta penduduk akan mengalami gangguan bekalan air selama empat hari bermula 24 April ini berikutan kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2).

Kerja-kerja penambahbaikan itu akan menyebabkan henti tugas loji sepenuhnya yang menjejaskan beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago, pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) itu perlu dibuat dengan segera bagi mencegah sebarang kerosakan atau risiko kegagalan sistem elektrik bagi mengelakkan gangguan bekalan air yang tidak terancang kepada pengguna.

“Keadaan itu akan menyebabkan henti tugas di LRA SSP2 dan sekali gus menyebabkan gangguan bekalan air sehingga 86 jam bergantung kepada lokasi dan kedudukan pengguna dengan sebanyak 620,835 pemegang akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan akan terkesan”

“Kerja-kerja penambahbaikan itu akan mengambil masa selama 14 jam bermula dari jam 9 pagi sehingga 11 malam,”katanya dalam kenyataan yang dipetik Utusan Online.

Facebook

Beliau menambah, Air Selangor juga akan mengambil langkah yang berkenaan dan berusaha untuk mengurangkan impak dan memendekkan tempoh gangguan bekalan air kepada semua pengguna yang terlibat.

“Pihak Air Selangor akan memberikan bantuan bekalan air melalui tangki lori air, tangki statik, pili awam, stesen pengisian air setempat dan agihan botol air minuman,”ujarnya.

Selain itu memastikan bantuan bekalan air turut dibekalkan ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan sebagainya.

Pada masa sama, Santiago menegaskan bekalan air dijangka pulih secara berperingkat selepas kerja-kerja penambahbaikan selesai dilaksanakan dan LRA SSP2 beroperasi semula.

“Kita menjangka hampir 50 peratus daripada kawasan yang terjejas bakal menerima bekalan air dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Sehubungan itu, pengguna dinasihati untuk menyimpan air yang mencukupi bagi tempoh gangguan bekalan air sementara itu dan disarankan menggunakan air secara berhemah bagi mengelakkan pembaziran.

Untuk maklumat lanjut dan status terkini, sila layari laman web SYABAS, Facebook , Twitter .

Sumber: Syabas, Utusan Malaysia, Harian Metro

 

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular