KAJANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, dilaporkan hilang di Pangsapuri Seri Dahlia, Bandar Seri Putra, Bangi, semalam.

Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )/Facebook

Ibu mangsa Sainih Sunding, 46, berkata, dia menyedari kehilangan anaknya selepas pulang dari tempat bekerja.

“Saya ada menyuruh anak ketiga memanggil  Zahir pulang, namun dia tidak dapat dikesan di kawasan kejiranan, sebelum mencari sendiri di luar kawasan rumah,” katanya.

Kata wanita berusia 46 tahun itu, anak bongsu daripada lima beradik itu tidak pergi ke sekolah dan keluar untuk bermain dengan rakan.

Sainih berkata, anaknya kali terakhir dilihat memakai baju kemeja T berwarna hitam dan seluar panjang berwarna biru itu dikesan sedang bermain dengan rakan oleh jirannya pada waktu tengah hari.

Tambahnya dia sangat bimbang dengan keselamatan anak bongsunya itu kerana dia tidak pernah bersikap sedemikian dan tidak pulang ke rumah.

Susulan itu, satu laporan polis berhubung kehilangan anaknya itu dibuat oleh suaminya di Balai Polis Bandar Seri Putra.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa yang dibuat bapanya pada pukul 12.45 tengah malam.

“Mangsa dipercayai keluar dari rumah melalui pintu hadapan dengan membuka kunci sendiri sebelum mencampakkannya semula ke dalam rumah.

“Kali terakhir bapa mangsa melihatnya adalah sekitar pukul 6 petang semalam ketika kanak-kanak tersebut sedang bermain di taman permainan dalam keadaan hujan,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik Utusan Online.

Ahmad Dzaffir berkata, siasatan awal pihak polis mendapati tiada sebarang masalah berlaku di rumah dan ini merupakan kali pertama mangsa tidak pulang ke rumah.

Tegasnya, kes diklasifikasikan sebagai ‘Orang Hilang’ dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan atau boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Sarjan Farah Nadia Mohd. Hashim di talian 012-3600232,” ujarnya.

Sumber: Utusan Online

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular