Denis Robinson, seorang warga emas berusia 91 tahun sudah biasa bermain piano yang diletakkan di stesen kereta api St. Pancras di London sebanyak 3 kali seminggu. Penumpang kereta api sudah biasa mendengar Denis bermain piano dan menghargai setiap lagu dan alunan melodi indah dari piano yang dimainkannya.

Pada satu hari, rutin permainan piano Denis menjadi sedikit berbeza apabila seorang aktres muzikal dan penyanyi profesional menemaninya menjadi pasangan duet ketika bermain piano sambil menyanyikan lagu dengan suaranya yang merdu.

Matthew Rowland / Twitter

Ceili O’Connor telah turun di stesen St. Pancras bersama rakan-rakannya selepas selesai membuat satu persembahan teater muzikal ‘Cats’ apabila terserempak dengan Denis yang sedang bermain piano. Ceili menghampiri Denis dan dia telah menyanyi bersamanya sambil Denis mengalunkan melodi indah dari piano. Rakannya Matthew Rowland telah merakamkan aksi persembahan yang agak indah itu seperti nyanyian seorang datuk dengan cucunya.

Dalam teater muzikal ‘Cats’, Ceili memegang watak Gumbie dan juga mempelajari watak Grizabella yang menyanyikan lagu popular “Memories”. Dengan bakat nyanyian secara langsung dan profesional di atas pentas teater muzikal, Ceili memegang bahu Denis dan mula menyanyikan lagu “Somewhere Over The Rainbow” di stesen kereta api itu sambil diiringi alunan piano oleh Denis dengan persembahan yang menyentuh hati.

Ceili O’Connor / Twitter

Persembahan itu berjaya mencuri tumpuan dan ramai penumpang yang telah berhenti sambil merakamkan aksi yang agak istimewa ini.

Matthew telah memuat naik rakaman video ini di Twitter dan ia telah menjadi tular dengan ramai yang memberi komen bahawa persembahan yang amat indah dan manis itu telah membuat ramai orang berasa gembira serta memberi harapan.

Matthew Rowland/Twitter

Ceili menulis di dalam Twitter, “Terima kasih dengan respon yang diberikan, tetapi bintang utama dalam video ini ialah kawan baru saya yang bermain piano bersama hati dan seluruh jiwanya. Sekiranya boleh, saya ingin menyanyi bersamanya sepanjang hari.”

Tambah Ceili, “Saya ingin berkongsi sikap positif lelaki yang mengagumkan ini kerana dia begitu mencintai kehidupannya dan membuktikan yang anda masih boleh berseronok dan melakukan apa sahaja yang disukai walaupun pada usia yang sudah lanjut.”

Lihat rakaman video yang menyentuh hati ini di bawah.

Sumber : InspiremoreMatthew Rowland/Twitter

 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular