Pasti anda pernah mendengar frasa Monday Blues bukan? Bukan semua orang mahukan permulaan hari yang suram. Setiap individu mahu sentiasa bersemangat setiap pagi ketika berada di sekolah, tempat kerja mahupun ke pasar.

Tiada siapa yang mahu memulakan hari mereka dengan mendengar bebelan atau berhadapan dengan masalah tertentu seperti kemalangan kecil, pergaduhan, masalah majikan dan sebagainya…

Kadangkala, kita yang akan berhadapan dengan situasi tidak menyeronokkan itu akibat perbuatan orang lain dan adakalanya juga sikap kita sendiri yang mendatangkan kesulitan kepada pihak lain.

Jadi, apa kata anda mula mengamalkan 5 perkara yang sering kali dipandang ringan ini dan membawa perubahan besar kepada kehidupan masyarakat secara menyeluruh.

#1 Beri isyarat ketika memandu

Malaysia khususnya di bandar-bandar besar tidak lari daripada kesesakan trafik. Sudahlah terpaksa menghadap jalan yang sesak, ada pula pemandu yang tidak tahu memberi isyarat sebelum membelok sekali gus menyebabkan hampir berlakunya kemalangan.

Jadi, janganlah kita terlalu mementingkan diri sendiri dan sama-sama fikirkan keselamatan di jalan raya. Pastikan anda sentiasa mematuhi peraturan jalan raya untuk memudahkan urusan semua orang.

#2 Beri tempat duduk kepada golongan yang memerlukan

Terdapat banyak pengangkutan awam di Malaysia seperti KTM, LRT, MRT, bas dan juga monorel. Namun, setiap orang faham pengangkutan-pengangkutan ini sangat sesak dan dipenuhi dengan lautan manusia terutamanya pada waktu puncak.

Tetapi, terdapat juga segelintir individu yang bersikap pentingkan diri sendiri dengan tidak mempedulikan peraturan tempat duduk khas untuk golongan OKU, wanita mengandung dan warga emas.

Justeru, belajarlah cara untuk menghormati hak orang lain dengan memberikan tempat duduk anda kepada golongan-golongan ini. Jika anda menghormati orang lain, pasti orang lain juga akan menghormati anda…

#3 Senyuman itu satu sedekah

Tiada siapa suka melihat orang yang bermuka masam dan kedekut senyuman. Apalah salahnya jika anda memberikan senyuman kepada orang lain meskipun anda tidak mengenali individu berkenaan.

Respon yang anda terima pasti akan menjadikan hari anda lebih ceria dan positif!

#4 Tegur rakan sekerja/serumah

Jika anda melihat rakan-rakan sedang berada dalam kesedihan, bertegur sapa dan bertanya khabar bukanlah satu perkara yang merugikan. Anda boleh mengucapkan selamat pagi atau berbual dan memberikan kata-kata peransang supaya mood mereka akan menjadi lebih baik.

#5 Belanja makan untuk orang yang tidak dikenali

Mungkin anda merasakan ianya mustahil dan aneh untuk dilakukan tetapi tidak salah rasanya untuk memulakan kebaikan. Perbuatan ini sama seperti sedekah dan ianya adalah satu tindakan yang mulia.

Siapa tahu jika anda bersedekah walaupun hanya membayar minuman berharga RM1.20, suatu hari nanti Tuhan akan membalas kebaikan anda dengan ganjaran yang berlipat kali ganda…

Ingat satu perkara ini. “Dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain”. Jadi, berkongsilah rezeki itu sesama manusia!

Sumber: Sirap Limau

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP INSPIRASI

Video Popular