Bagi yang memelihara kucing pasti mempunyai nama panggilan untuk si comel masing-masing. Tidak pasti anda perasan atau tidak kucing anda sebenarnya tahu apabila nama mereka dipanggil. Percaya atau tidak?

Walaupun secara realitinya kucing lebih sukar untuk difahami berbanding anjing, tetapi mereka berupaya untuk mengenali nama yang diberikan oleh tuan mereka.

Perkara ini dibuktikan melalui kajian yang dilakukan oleh Atsuko Saito dan pasukannya dari Sophia University, Tokyo, Jepun. Kajian dijalankan terhadap beberapa ekor kucing yang memiliki nama panggilan masing-masing.

Para penyelidik membuat ramalan berikut:

Sesetengah pemilik menegaskan bahawa kucing mereka dapat mengenali nama dan kata-kata mereka yang berkaitan dengan makanan.

Oleh itu, kita boleh membuat hipotesis berikut: kucing boleh mendiskriminasi kata-kata yang diucapkan oleh manusia dari kata-kata lain-terutamanya nama mereka sendiri, kerana nama kucing adalah rangsangan penting kerana mungkin ucapan manusia yang paling sering didengar oleh kucing domestik (kucing yang dipelihara oleh manusia) dan boleh dikaitkan dengan ganjaran, seperti makanan, diusap, dan bermain.

Hasil kajian ini diterbitkan dalam Scientific Reports oleh Atsuko Saito, Kazutaka Shinozuka, Yuki Ito dan Toshikazu Hasegawa . Dalam kajian tersebut, Saito dan pasukannya mengkaji dan meneliti reaksi setiap kucing ketika mendengar nama panggilannya.

Kajian ini turut dilakukan dengan membandingkan reaksi kucing apabila dipanggil dengan perkataan yang memiliki panjang suku kata yang sama dengan nama panggilan mereka.

Untuk menguatkan lagi keputusan kajian tersebut, Saito dan pasukannya juga meneliti reaksi kucing apabila dipanggil dengan nama panggilan kucing lain.

Hasil kajian mendapati bahawa sebahagian besar kucing menunjukkan kepintaran untuk memahami nama mereka apabila dipanggil serta memahami perbezaan antara nama mereka sendiri dan perkataan lain.

Ini boleh dilihat apabila nama mereka dipanggil, mereka akan menunjukkan reaksi dengan menggerakkan telinga dan kepala dengan lebih ketara berbanding biasa.

Menurut kajian, kucing-kucing ini mungkin dilihat tidak menggerakkan ekor atau memberi reaksi suara ketika nama mereka dipanggil. Namun, mereka sebenarnya memahami nama mereka dipanggil kerana ia dapat dilihat daripada reaksi pergerakan telinga dan kepala mereka.

Kajian ini turut menyatakan bahawa kucing cukup sensitif dengan emosi pemiliknya. Selain itu, kucing juga memiliki kemampuan untuk membezakan suara orang yang memeliharanya dengan orang asing.

Oleh itu, jika kucing anda melarikan diri daripada anda ketika anda memanggil nama mereka, anda perlu tahu bahawa mereka sengaja mengabaikan anda dan mungkin ingin bersendirian.

Sumber:  Scientific Reports, Unilad

 

 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular