Seorang gelandangan yang kisahnya menjadi tular selepas mengejutkan ramai orang dengan kebijaksanaan dan kefasihannya dalam kesusasteraan dan falsafah dilaporkan tidak kelihatan sejak 1 April lalu.

Kali terakhir gelandangan berbadan kurus kering yang dikenali sebagai Shen Wei dilihat menaiki kereta Mercedes-Benz sambil diiringi oleh lelaki pertengahan umur berjaket warna jingga. Shen yang berusia 52 tahun itu memberitahu dia mahu ‘mendapatkan perlindungan’ apabila ditanya ke mana dia hendak pergi.

The Washington Post

Kepopularan Shen bermula selepas video dia menerangkan falsafah dan menyebut kata-kata bijaksana dari para ahli falsafah seperti Aristotle, Confucius, dan Dante menjadi tular selepas di muat naik di Douyin, sebuah platform video pendek.

Walaupun rambutnya tidak bersikat, jambangnya tidak dirapi dan pakaiannya lusuh, ternyata gelandangan ini mahir dalam kesusasteraan dan falsafah sehingga digelar ‘Vagrant Master’ atau ‘Master Shen’ di Internet China.

South China Morning Post

Selepas dikenali dan dikunjungi ramai tetamu yang datang ke ‘kediaman’nya, Shen berasa cukup letih. Katanya kepada suratkhabar China pada 22 Mac, “Saya tidak menyalahkan sesiapa tetapi saya benci Internet. Internet tidak memberikan apa-apa kepada saya tetapi menyusahkan.”

Bermula 17 Mac, nama “Shen Wei” menjadi carian teratas di enjin carian China seperti Baidu dan artikel Weibo yang berkaitan dengan #VagrantMaster mencatat bacaan berjuta-juta pembaca.

Setiap hari, setiap kali membuka pintu ‘rumah’ Shen akan menemui ramai orang malah ratusan orang yang telah menunggunya di luar pintu tempat perlindungan (sebuah pejabat terbengkalai) sementaranya.

Setiap kali dia membuka mulut, berdozen-dozen telefon dan kamera telah bersedia untuk merakam percakapannya. Selepas Shen menyudahkan satu-satu petikan sastera yang diingatinya, ramai orang akan bertepuk tangan dan bersorak untuknya.

The Washington Post

Lama-kelamaan Shen merasakan dia dieksploitasi. “Saya tahu orang melayan saya seperti seekor monyet. Tiada siapa yang datang pada saya dengan hati yang ikhlas. Awak lakukannya untuk duit.” kata Shen dalam satu video 25 saat pada 19 Mac.

Orang yang mendampinginya sebenarnya cuba meraih keuntungan. Antaranya ialah seorang wanita berjaket kulit yang mengatakan bahawa dia adalah bekas teman wanita Shen telah meraih 400,000 pengikut dalam masa empat hari selepas dia membuka akaun TikTok.

Selain itu, seorang lelaki yang tidak bekerja menjadi popular di saluran live-streaming selepas menyamar sebagai anak Shen.  Dilaporkan juga sekeping kertas sekerap yang mempunyai 10 perkataan tulisan kaligrafi Shen dijual dengan harga RM53 ribu melalui lelongan atas talian.

Ramai wartawan media dan kru televisyen seperti Red Star News, datang untuk menemubual Shen di tempat perlindungannya yang dipanggil rumah sejak 26 tahun lalu. Setiap orang mahu mengetahui siapakah Shen sebenarnya dan sejarah hidup lelaki misteri ini.

China Daily

Menurut Daily Economic Chengdu, Shen dilahirkan dalam sebuah keluarga yang kaya di barat daya Chengdu dan dibesarkan di Shanghai. Dia merupakan antara generasi pertama orang Cina selepas Revolusi Kebudayaan yang melanjutkan pelajaran ke kolej. Selepas tamat pengajian, beliau bekerja sebagai juruaudit di pejabat kerajaan daerah di Shanghai, seperti yang disahkan oleh Biro Audit Xuhui.

Shen memberitahu wartawan Meiri Renwu bahawa pada tahun 1993, dia dipaksa bersara awal di atas ‘kelakuan tidak normal’ termasuklah perbuatannya mengasingkan sampah kertas daripada tong sampah pejabat dan menyusun sampah kitar semula yang biasanya hanya dilakukan oleh “pengemis”. Selepas itu, dia dimasukkan ke hospital sebanyak dua kali.

Pada tahun 1995, Shen memutuskan untuk hidup sebagai lelaki pemungut sampah sepenuh masa. Katanya kepada Red Star News, “Saya telah ditakdirkan untuk menjadi pemungut sampah. Saya mengagumi Gandhi dan mahu hidup secara orang zahid (tidak mementingkan hal keduniaan) seperti dia.”

The Washington Post

Namun selepas merasakan dirinya tidak lagi mempunyai privasi, Shen membuat tindakan drastik dengan memotong rambut dan berpakaian bersih. Shen telah mengubah penampilannya dan sudah tentu perubahan itu dirakam dan video tersebut menjadi tontonan jutaan orang dalam hanya beberapa minit sahaja selepas di muat naik.

Pada 01 April, Shen tidak kelihatan di tempat dia selalu bertinggung namun yang ada hanyalah sekeping nota yang berbunyi, “Encik Shen kepenatan, secara mental dan fizikal dan akan pergi jauh buat sementara waktu. Terima kasih!”.

Nampaknya Shen benar-benar terluka dengan situasi yang dihadapinya itu. Orang ramai tidak hormat akan privasi hidupnya dan hanya mahu mengambil kesempatan atasnya. Semoga Shen sentiasa dilindungi daripada bahaya dan sihat selalu.

Sumber: THE WASHINGTON POST , CHINA DAILY , THAT MAG

Maybe you're interested :

Share

Video Popular