Kebanyakan wanita khususnya ibu-ibu yang bekerja di luar rumah berpendapat mereka sukar untuk memasak di rumah kerana kekangan masa. Selain itu rengekan anak kecil juga membataskan ibu-ibu untuk bergerak aktif di dapur tambahan pula bahan-bahan memasak tidak disediakan dari awal.

Seorang pengguna Facebook, Naeamah Balqis berkongsi cara dia menyimpan lauk serta sayur-sayuran supaya tahan lebih lama.

Kaedah ini dilihat dapat membantu ibu-ibu memasak di rumah dengan lebih terancang khususnya bagi ibu-ibu yang keluar bekerja seawal pagi dan pulang hampir waktu malam.

Puan Naeamah telah membeli lauk mentah untuk 3 minggu dengan bajet tidak sampai RM300 (RM 197.00 untuk lauk mentah dan RM47.00 untuk sayur-sayuran) yang mana kos berkenaan lebih rendah jika dibandingkan dengan makan di luar untuk tempoh yang sama.

Cara-cara menyimpan lauk mentah ialah:

  1. Bersihkan semua lauk mentah.
  2. Masukkan lauk mentah ke dalam bekas yang berasingan. 1 bekas untuk sekali masak.
  3. Untuk udang, sotong, ikan dan ayam, masukkan air sampai menutupi lauk mentah tersebut. Manakala bagi daging dan tulang tidak perlu diletakkan air. Tujuan meletakkan air tersebut ialah untuk mengekalkan kesegaran lauk mentah itu.
  4. Simpan bekas tersebut di dalam peti ais bahagian sejuk beku.
  5. Keluarkan bekas lauk mentah hanya apabila anda hendak memasak.

Cara-cara menyimpan sayur-sayuran ialah:

  1. Letakkan sayur-sayuran ke dalam bekas yang berasingan.
  2. Masukkan air sampai menutupi sayuran seperti halia, kunyit, serai dan lengkuas untuk mengekalkan kesegarannya.
  3. Letakkan tisu kering di bahagian bawah bekas yang berisi cili hijau, cili merah, limau, bawang putih, bawang merah, daun sup, kacang panjang, lobak merah, timun, petai, kubis, kubis bunga, sawi jepun dan brokoli dengan tujuan untuk menyerap air yang menitis di dalam bekas tersebut.

Menurut Puan Naeamah, tidak perlu membeli bekas yang mahal. Ini kerana bekas murah seperti yang dijual di Mr.DIY atau kedai Eco mampu bertahan lama.

Kata Puan Naeamah lagi, bajet yang diperlukan untuk membeli lauk mentah dan sayur-sayuran adalah bergantung kepada isi rumah setiap orang. Seperti Puan Naeamah, keluarganya terdiri dari 3 orang dan bajet yang dikongsikan itu cukup untuk dia sekeluarga.

Mungkin terdetik di hati anda, kaedah penyimpanan lauk mentah seperti ini hanya sesuai bagi mereka yang memiliki peti ais besar. Namun kata Puan Naeamah, orang yang memiliki peti ais kecil juga boleh mencuba kaedah ini. Ini kerana 15 tahun yang lalu ketika masih menggunakan peti ais kecil, Puan Naeamah telah mempraktikkan cara ini dengan mengguna beg plastik.

Memang tidak dinafikan pada awalnya agak sukar dan banyak masa perlu diperuntukkan untuk membersihkan lauk mentah sehinggalah menyimpannya di dalam peti sejuk. Namun percayalah teknik ini sangat menyenangkan apabila anda hendak memasak nanti. Selamat mencuba!

Sumber: FACEBOOK | Naeamah Balqis, Oh Bulan

Maybe you're interested :

Share

Video Popular