Tiada apa yang lebih bermakna sepanjang kehidupan ini melainkan dapat menyaksikan sendiri bukti keindahan semula jadi, seperti apa yang dialami oleh staf yang bertugas di Zoo Metro Richmond. Alam ciptaan Tuhan ini nampaknya tidak pernah berhenti membuatkan manusia mengaguminya daripada dahulu hinggalah sekarang.

Pada 30 November 2018, pihak zoo berkenaan dengan girangnya menyambut kelahiran anak cheetah daripada seekor cheetah betina dewasa yang bernama Vaila. Uniknya, Vaila melahirkan tujuh ekor anaknya sekali gus. Menurut pemilik zoo tersebut, Jim Andelin, kejadian itu bukanlah sesuatu yang biasa dan ia amat jarang berlaku.

“Ia merupakan satu kelahiran yang amat bermakna kepada kami kerana ia membantu pemuliharaan cheetah bagi meningkatkan populasinya. Peluang untuk melahirkan tujuh ekor anak sekali gus juga hanya berlaku 1% dalam satu-satu masa,” jelasnya.

Menurut WVTR, ketika sesi pengambaran pada bulan Januari lalu mendapati bahawa kesemua anak cheetah berkenaan berada dalam keadaan yang baik dan sihat. Kelahiran tujuh ekor ini merupakan kali kedua yang dialami oleh Vaila, manakala ia merupakan kelahiran anak pertama buat bapa mereka, seekor cheetah jantan dewasa bernama Kalu.

Kalu difahamkan dilahir dan dibesarkan di zoo berkenaan. Zoo Metro Richmond ini menempatkan lebih 2,000 ekor haiwan, mewakili 180 spesies daripada seluruh dunia. Usaha pemuliharaan cheetah ini dilihat telah menyumbang kepada kenaikan jumlah spesies terancam.

Pada tahun 2011, zoo terbabit melancarkan Program Pembiakan Cheetah dan mula membina Pusat Pembiakan Cheetah, di mana ia merupakan kemudahan untuk usaha pemuliharan spesies berkenaan. Ia dilengkapi dengan 10 buah kandang dan pusat berkenaan difahamkan siap sepenuhnya pada tahun 2012.

Pada mulanya, ia menempatkan tujuh ekor cheetah betina dan dua ekor cheetah jantan, yang membawa jumlah sembilan ekor. Namun pada tahun 2016, bilangan itu meningkat kepada 35 ekor secara keseluruhan. Sejak daripada itu, 12 ekor cheetah lagi telah dilahirkan di pusat tersebut.

Selain daripada program berkenaan, pihak zoo ada juga menjalankan program pembiakan untuk penguin Afrika dan monyet Diana.

WSYX ABC 6/Facebook

“Cheetah di Afrika merupakan cheetah paling terancam dan populasi mereka di habitat asal sudah menurun, daripada 100,000 ekor kepada 7,000 ekor sahaja,” jelas Andelin. Isu utama yang menjadi ancaman spesies berkenaan adalah kehilangan habitat, variasi genetik, dan konflik bersama manusia.

Menurut laman web zoo berkenaan, misi mereka adalah untuk mempromosikan pemuliharaan haiwan, selain mendidik dan menginspirasi pengunjung.

“Pihak zoo cenderung untuk mempromosikan pendidikan mengenai haiwan dan usaha pemuliharaan menerusi interaksi yang tidak boleh dilupakan yang disediakan buat pengunjung. Kami harap apabila pengunjung meninggalkan zoo ini, mereka akan tergerak untuk turut terlibat sama dalam usaha perlindungan terhadap haiwan,” tulis maklumat di laman web mereka.

Pihak zoo terbabit juga menjalankan kerjasama dengan zoo lain dalam usaha pembiakan di seluruh dunia bagi meningkatkan populasi spesies terancam. Pada 23 Mac 2019, zoo tersebut ada memuat naik satu video yang menunjukkan keadaan anak cheetah berkenaan.

Metro Richmond Zoo/Youtube

“Semua dalam keadaan baik dan sihat. Mereka sudah mula makan daging dan sangat suka bermain serta aktif. Kesemua mereka pasti akan bergerak ke tempat yang berbeza. Vaila pula menjalankan tugasnya dengan baik walaupun saya percaya Vaila sebenarnya keletihan. Namun, Vaila masih menjaga anaknya dengan baik,” kata seorang juruteknik veterinar, Molly Water.

Sumber: Metro Richmond Zoo/YoutubeWSYX ABC 6/Facebook

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Pesona Ria

Video Popular