Setiap tahun selepas musim sejuk melanda, banyak jalan raya di Amerika Syarikat akan mengalami kerosakan yang teruk dan penuh dengan lubang-lubang yang dalam sehingga memerlukan kerja-kerja pembaikan serta penurapan jalan baru. Lubang yang dalam di atas jalan raya amat membahayakan sehingga mampu merosakkan tayar kenderaan yang melaluinya.

Jalan Maffett di kejiranan Muskegon Height di Michigan antara jalan yang mengalami kerosakan yang teruk sehingga para penduduknya tidak lagi dapat bersabar menunggu bantuan dari pihak majlis perbandaran yang akan menyelesaikan kerja penurapan semula. Oleh kerana bantuan tidak kunjung tiba, Monte Scott yang berusia 12 tahun telah bertindak sendiri untuk menyelesaikan kerja menutup jalan berlubang dengan menggunakan sumber yang berada di sekelilingnya.

Wikimedia Commons /Gambar Hiasan

Dengan menggunakan satu tong sampah yang besar Monte Scott telah mengangkut tanah dari belakang rumahnya dan menarik tong itu ke tengah jalan. Kemudian Monte mengggunakan penyodok dan menimbus kesemua lubang yang dalam dengan tanah tersebut sehingga jalan menjadi rata semula. Walaupun tidak sempurna, sekurang-kurangnya jalan itu tidak lagi berlubang.

Trinell Renee Payne / Facebook

Ibu Monte, Trinell Renee Payne telah terserempak dengan anak lelakinya yang sedang bekerja keras dan telah menghantar rakaman video Monte yang sedang menurap jalan di ruangan Facebooknya.

Tulis Trinell, “Ini adalah anak lelaki saya sedang menurap jalan berlubang di jalan Maffett di Muskegon Heights. Dia pulang awal dari sekolah hari ini dan membuat keputusan untuk menutup semua jalan berlubang kerana tidak mahu ibu dan neneknya akan terlanggar lagi lubang itu dan merosakkan kereta kami. Saya sayang anak lelaki saya. Hatinya sungguh mulia.”

Trinell Renee Payne / Facebook

Post Trinell mendapat perhatian lebih 83,000 tontonan, sambil ramai netizen yang memuji serta berasa kagum dengan tindakan budak lelaki ini yang bertindak sendiri apabila orang lain tidak berbuat demikian. Dan Monte tidak melakukan kerja sukarela itu untuk mendapat pujian sebaliknya dia hanya melakukannya kerana berasa ia perlu dan kemudian dia membuat keputusan menutup semua jalan berlubang itu.

Menurut Monte, “Saya tidak mahu kereta orang lain rosak seperti kereta ibu saya. Sekiranya ada orang lain yang memandu di jalan ini dan terlanggar lubang yang dalam, mereka mungkin terpaksa membayar sehingga $700 (RM2,800) untuk membaiki kerosakan kereta. Mereka juga mungkin akan berasa panas hati.”

MSN

Setakat ini, Monte telah menutup 15 lubang yang dalam di jalan itu, dan dia terus melakukannya sambil berkata ia bukan perkara yang besar buatnya. Baginya ia hanya sebahagian tugasnya sebagai salah seorang ahli komuniti yang baik dan hanya melakukan perkara yang difikirkan perlu menurut kemampuannya. Walaupun tindakan Monte nampak mengagumkan pada pandangan orang ramai termasuk ibunya, Monte merasakan ia hanya satu perkara biasa yang boleh dibantu.

Ibu Monte berkata, “Dia melakukan perkara itu untuk dirinya sendiri. Sikapnya selalu begitu. Apabila dia melihat terdapat satu masalah atau keperluan yang dirasakan boleh dipulihkan oleh dirinya sendiri, maka dia akan melakukannya.”

Trinell Renee Payne/ Facebook

Trinell dan jiran-jiran yang lain berharap kerja keras Monte untuk membantu komuniti tanpa disuruh oleh sesiapa itu akan mendapat perhatian pihak berkuasa dalam mengambil tindakan segera untuk memperbaiki jalan berlubang itu, disamping dapat menepis tanggapan negatif masyarakat akan sikap belia masa kini yang tidak prihatin.

Dunia memerlukan lebih ramai anak muda seperti Monte yang bersikap prihatin dan bertanggungjawab. Monte tidak hanya duduk dan merungut, sebaliknya cuba menyelesaikan masalah itu mengikut kemampuan untuk kebaikan bersama di kejiranannya. Kanak-kanak berjiwa prihatin dan baik hati seperti Monte Scott amat jarang dilihat pada hari ini.

Lihat video di bawah.

Kredit : Trinell Renee Payne / Facebook

Sumber : InspiremoreTrinell Renee Payne / Facebook

 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular