Seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun melakukan sesuatu yang boleh dianggap genius, iaitu dengan membuat sendiri tompokan merah menggunakan pen marker pada tubuhnya.

Namun, dia tidak sedar akan rancangannya yang bakal memakan diri. Lily Schooley sebenarnya tiada mood untuk ke sekolah ekoran dia tidak bersedia untuk ujian ejaan yang diadakan pada hari berkenaan.

Menurut ibunya, Charlotte Schooley yang berusia 34 tahun, anak perempuannya itu melihat rakan-rakannya tidak hadir ke sekolah kerana kurang sihat dan ia menjadi idea untuk Lily melakukan perkara yang sama sebagai alasan untuk tidak ke sekolah.

“Beberapa murid di sekolah tersebut mengalami cacar air dan Lily juga pernah mengalaminya,” jelas ibunya.

Lily kemudian meminjam pen Sharpie bewarna merah untuk ‘menyiapkan kerja sekolahnya’. Setelah 10 minit, kanak-kanak tersebut berlari menuruni tangga dan mendakwa bahawa dirinya mengalami cacar air.

Tahu akan helah yang dibuat anak mereka, Charlotte dan David kemudiannya menahankan ketawa besar dan mencadang untuk membawa Lily berjumpa doktor, menyebabkan Lily segera cuba memadam tompokan yang dibuatnya.

“Sakit perut saya dan suami dibuatnya, kerana kami cuba berlakon bahawa kami tidak tahu akan helahnya,” kata Charlotte. Sama seperti kanak-kanak lain yang sungguh takut akan doktor, Lily cuba memadam tompokan berkenaan namun malangnya ia tidak hilang.

Lily sebenarnya tidak tahu bahawa pen yang digunakannya itu berdakwat kekal. Ia masih tidak hilang walaupun ia telah dicuci dengan sabun, minyak bayi, sabun mandi dan juga semburan rambut!

Namun, ia tidak berakhir di situ. Pada keesokan harinya, Lily terpaksa pergi ke sekolah. “Ibu, saya tidak boleh ke sekolah. Semua orang akan ketawakan saya,” pujuk Lily. Keadaan tersebut membuatkan ibu bapanya menghantarnya ke sekolah disertakan dengan surat yang menjelaskan bahawa tompokannya itu tidak berjangkit.

“Pada hari itu, dia mempunyai subjek pendidikan jasmani, maka dia terpaksa memakai seluar pendek dan t-shirt. Gurunya juga merasakan bahawa ia sesuatu yang kelakar,” jelas Charlotte.

Lily bernasib baik kerana insiden tersebut berlaku pada malam Khamis dan ini bermakna Lily hanya perlu ke sekolah dengan tompokan merah buatannya itu untuk hari Jumaat sahaja.

Walaupun insiden tersebut agak memalukan untuk kanak-kanak sekecil Lily, namun Charlotte percaya bahawa ia bukan helah terakhir yang dibuat oleh Lily. Hal ini kerana menurut ibunya, Lily gemar menonton video ‘10 Ways to Get Out of School’ di YouTube. Jadi, terdapat 9 cara lagi!

Sumber: Daily Mail

Maybe you're interested :

Share

Video Popular