Sebagai ibu bapa, sudah semestinya kita akan berusaha melakukan yang terbaik untuk keluarga dalam menghadapi apa jua situasi, namun kadangkala takdir kehidupan sukar diramalkan. Maka, sebuah keluarga yang baik perlu bersatu dalam mengharungi susah senang kehidupan bersama-sama.  

Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dari Nevada, Amerika Syarikat membuktikan kepada dunia bahawa usia yang muda tidak menjadi halangan buat dirinya untuk menjaga ahli keluarga yang disayangi. Pemberian hadiah daripada hasil usahanya yang tidak mementingkan diri telah membuat ibunya yang merupakan seorang ibu tunggal menitiskan air mata.

Krystal June Preston / Facebook

William Preston yang berusia 13 tahun tinggal di Fernley, Nevada bersama ibunya Krystal, dua adik-beradiknya, dan anjing peliharaan mereka. Keluarga Preston baru-baru ini memulakan kehidupan baru selepas mengharungi beberapa episod peristiwa malang dan Krystal melakukan yang terbaik untuk memenuhi keperluan keluarga dengan bergerak mencari rezeki tanpa sebuah kenderaan persendirian.

KOLO 8 News

William menyedari betapa ibunya sedang menghadapi waktu yang sukar dan oleh kerana dia menjadi anak lelaki sulung di rumah, William memutuskan untuk melakukan sesuatu buat ibu kesayangannya.

Menurut Krystal, “Pada saat saya dilanda kesusahan, anak saya tiba-tiba datang membantu. Semua orang akan mengharungi tahap sukar dalam kehidupan mereka, tetapi sesuatu yang baik juga akan datang bersama selagi terdapat seseorang dengan hati yang baik melakukannya.”

William mengambil keputusan untuk melakukan beberapa pekerjaan untuk mengumpul wang iaitu mengambil upah membersihkan halaman untuk jiran-jiran dan mencari ikhtiar lain dalam melihat cara-cara untuk menyimpan wang bagi membantu ibunya.

Kata William, “Saya melihat di YouTube di mana ada orang mendapatkan kereta dan membuat kejutan buat ibu mereka dan saya juga mahu berbuat demikian.”

KOLO 8 News

Semasa membuka halaman Facebook, William terlihat terdapat seorang wanita ingin menjual kereta Chevrolet Metro putih keluaran tahun 1999 dan memutuskan untuk menghubunginya. William juga membuat tawaran untuk menukarkan dengan Xbox kesayangannya supaya dia dapat membeli kereta itu bersama tambahan wang simpanannya.

Jelas William, “Ia benar-benar murah jadi saya bertanya kepadanya jika saya boleh menukar dengannya untuk mendapatkannya. Pada mulanya dia berkata tidak dan selepas dia memikirkannya, akhirnya dia berkata ya.”

Selepas membeli kereta itu, William tidak sabar-sabar untuk memberitahu ibunya dengan berita itu. Apabila William memberitahu, “Ibu, saya membelikan ibu sebuah kereta,” dan Krystal tidak mempercayainya.

KOLO 8 News

Wanita yang menjual kereta itu kemudian muncul di rumah keluarga Preston dengan kereta itu dan meminta Krystal serta William untuk mengambil kereta mereka. Krystal tidak mempercayai apa yang telah dilakukan oleh anak lelakinya.

“Saya kehilangan kata-kata dan hanya berdiri di situ. Dan kemudian dia memberikan saya kunci dan geran kereta,” kata Krystal dengan rasa bersyukur.

Kata ibu ini, “Hakikat bahawa anak saya yang melakukan semua ini, saya berasa bangga tetapi sebagai ibu, saya yang sepatutnya menjaga anak-anak saya. Saya yang sepatutnya melakukan semua ini, bukan sebaliknya.”

Krystal telah berkongsi kisahnya di halaman Facebook di mana ia telah menjadi tular. Keluarga ini kemudian mendapat perhatian ramai, tetapi William mengatakan bahawa dia tidak membelikan kereta itu buat ibunya untuk mendapatkan publisiti.

Krystal June Preston / Facebook

Menurut William, “Saya tidak mahu semua perkara tular ini berlaku. Saya hanya mahu melakukan perkara yang sepatutnya buat ibu, itu sahaja.”

Krystal tidak dapat berkata apa-apa selain amat berbangga dengan sikap anak lelakinya yang prihatin serta bertanggungjawab menjaga keluarga yang disayanginya.

Krystal berkata, “Berapa ramai anak lelaki berusia 13 tahun membelikan kereta untuk ibu mereka? Saya tidak pernah mendengarnya. Saya tidak dapat meluahkan dengan banyak perkataan melainkan hanya berasa bersyukur dan betapa berbangganya saya.”

Sumber : Sunny Skyz, WSLS News/Youtube

Maybe you're interested :

Share

Video Popular