Masih segar dalam ingatan Renee Alanko pada hari dia ditinggalkan oleh ayah kandungnya di sebuah pasar di Seoul. Ketika itu umurnya baru 4 tahun.

Facebook/Renee Alanko

Pada musim bunga tahun 1984 Alanko bersama ayahnya pergi ke sebuah pasar. Alanko dibekalkan dengan duit RM3.60 oleh ayahnya pada waktu itu, kemudian ayahnya meminta dia berbelanja sendiri tetapi sekembalinya Alanko setelah berbelanja, ayahnya tidak kelihatan di mana-mana.

Mujurlah seorang wanita mendekati Alanko dan menjumpai nota di dalam poket pakaian Alanko yang berbunyi “Tolong hantar kanak-kanak ini ke rumah anak yatim melalui balai polis. Pada masa ini, dia tidak mempunyai ibu bapa.”

“Saya ditemui pada 24 Mac dan mereka menjadikan 25 Mac sebagai tarikh lahir saya,” kata Alanko kepada KOIN 6 News.

Walaupun ketika ditemui dia berusia 4 tahun, namun Alanko masih ingat dia memberitahu polis nama sebenarnya ialah Lee Jee Young Lee.

Facebook/Renee Alanko

Manakala ayahnya bernama Lee Kyung Kuk dan kakaknya Lee Sang Yeon. Ibu Alanko telah meninggalkan mereka sekeluarga kerana ayah Alanko sering memukul ibunya ketika dia dalam keadaan mabuk.

Itu adalah antara kenangan yang masih segar dalam ingatan Alanko mengenai keluarga kandungnya. Walau bagaimanapun, dia tidak berapa ingat tentang adik lelakinya.

Rupa-rupanya adik Alanko juga ditinggalkan oleh ayah mereka di luar panggung Yongsan. Adiknya berusia sekitar dua tahun pada masa itu.

 Facebook/Justin K Lee

Tidak berapa lama selepas Alanko diselamatkan, dia dijadikan sebagai anak angkat oleh sebuah keluarga dari Northern California. Manakala adiknya pula diberikan nama baharu, Hong Ki Hong oleh lelaki yang telah menyelamatkannya, Encik Hong.

Hampir 4 dekad kemudian, Alanko memulakan perjalanan mencari keluarga kandungnya.

Berdasarkan ujian DNA melalui 23andMe, Alanko mendapat tahu bahawa dia mempunyai kaitan dengan Justin Kragt, dari Salem, Oregon. Kemudian Alanko cuba menjejaki Kragt di Facebook dan nasib menyebelahi apabila mereka dapat bersatu semula.

Ujar Kragt, dia berasa gembira, sedih, terkejut dan tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika bertemu semula dengan kakaknya, Alanko. Selama ini Kragt menyangka dia hidup sebatang kara di dunia ini memandangkan dia menghidap kegagalan jantung kongenital.

Selepas 34 tahun terpisah, Alanko dan Kragt akhirnya bertemu semula dalam satu pertemuan yang sungguh mengharukan dan menyayat hati.

Facebook/Justin K Lee

Ajaibnya, walaupun mereka tidak dibesarkan secara bersama-sama namun mereka berasa ada keserasian sejak pertama kali terpandang akan satu sama lain. Inilah yang dikatakan hubungan darah daging yang tidak akan terputus.

Kragt melalui zaman kanak-kanak yang sungguh memilukan. Dia didera oleh ayah angkatnya dan kini selepas mengetahui dia masih mempunyai keluarga kandung, seluruh kekecewaan dan kelukaan hatinya terubat.

Facebook/Renee Alanko

“Saya selalu menyangkakan bahawa saya seorang diri di dunia ini dan saya terima kenyataan itu,” kata Kragt.

“Sekarang awak sudah ‘terikat’ dengan saya,” balas Alanko sambil memeluk erat adik kesayangannya itu.

Facebook/The Oregonian

Sama ada Kragt atau Alanko, kedua-duanya tidak pernah tahu tentang ibu bapa kandung mereka. Malah mereka sendiri tidak tahu mengapa ayah kandung mereka meninggalkan mereka ketika kecil dahulu.

Walau bagaimanapun, pertemuan semula itu telah mengubati kekecewaan dalam diri masing-masing dan mereka sangat bersyukur dapat bertemu semula.

“Ini ialah sesuatu yang saya akan hargai sepanjang hayat saya,” kata Kragt.

Sumber: The Epoch Times 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular