Bukan mudah melihat untuk orang tersayang terpaksa berhadapan dengan penyakit serius. Setiap hari mereka menghadapi kesukaran untuk berjuang bagi meneruskan hidup. Pergerakkan mereka agak terhad dan apa yang lebih sukar ialah apabila ada antara mereka mulai hilang ingatan.

Itulah yang mendorong seorang anak muda untuk mencipta alat yang akhirnya mendapat pengiktirafan daripada “laman web Internet Doktor” (WebMD) dengan menggondol “Anugerah Kesihatan Hero Tahunan 2015”.

Dia telah mencipta ‘stoking pintar’ untuk datuknya yang menghidap dementia. Ciptaan ini telah diitiraf di peringkat antarabangsa dan dijangka akan memberi manfaat kepada 47.5 juta orang penghidap dementia di seluruh dunia.

Pencipta hebat, Kenneth Shinozuka hanya berusia 4 tahun ketika datuknya, Feng Deming (Deming Feng) mula menunjukkan simptom menghadapi dementia. Kenneth menjaga datuknya sejak dia masih kecil lagi. Bukan itu sahaja Kenneth turut menyanyikan lagu kegemaran datuknya namun semua itu tidak dapat menghalang datuknya daripada terus kehilangan ingatannya.

Suatu pagi pada bulan Ogos 2005, datuknya pulang ke rumah dengan berpakaian baju tidur sambil ditemani oleh anggota polis hingga ke pintu rumah. Ketika itu semua orang sedang tidur dan rupa-rupanya datuknya telah keluar rumah dan berkeliaran di jalanan sejauh dua kilometer dari rumah.

Menurut Kenneth, datuknya tidak boleh makan dan berjalan dengan sendiri. Mereka sering terjaga pada waktu tengah malam dengan kehadiran polis di rumah yang menghantar datuknya pulang dan pengalaman tersebut adalah sesuatu yang sangat menakutkan. Oleh kerana itulah pemuda ini bertekad untuk mencari jalan bagi membantu datuknya.

Satu hari ketika Kenneth sedang menjaga datuknya, sewaktu dia melihat kaki datuknya mencecah ke lantai dia mula berfikir untuk meletakkan ‘sensor’ di kaki datuknya.

Dengan cara ini setiap kali datuknya bangun dari katil ‘sensor’ tersebut dapat mengesan tekanan berat badan yang bertambah secara mendadak seterusnya dapat memberi isyarat melalui telefon bimbit kepada semua orang di dalam rumah. Dengan itu, mereka sekeluarga tidak perlu risau sepanjang malam.

Sejak itu, Kenneth menghabiskan banyak masa dengan belajar, menonton video atas talian dan meminjam banyak buku fizikal dari perpustakaan. Selepas melakukan eksperimen dengan pelbagai bahan, dia menggunakan dakwat elektronik untuk mencetak ‘sensor’ filem dan berjaya menghasilkan sistem litar yang positif.

Kemudian, Kenneth menghabiskan beberapa bulan untuk mencipta aplikasi mudah alih yang menggunakan peranti Bluetooth dan menjadikan telefon sebagai alat kawalan jauh. Melalui alat itu, keluarganya boleh memantau jika datuknya terbangun di tengah malam.

Menurut Internet setiap 57 saat akan ada pesakit baru yang didiagnosis menghidap dementia. Di Amerika Syarikat contohnya mempunyai kira-kira 5 juta orang warga tua yang menghidap penyakit ini dan secara keseluruhan pesakit dementia boleh mencecah seramai 47.5 juta orang di seluruh dunia. Tidak hanya itu, bilangan ini dikatakan akan meningkat sebanyak tiga kali ganda menjelang tahun 2050.

Setelah muncul dengan ciptaan hebat dan mendapat banyak pengiktirafan, Kenneth diundang untuk menyampaikan ucapan di pentas TED ketika berusia 15 tahun. Dengan yakin dia memberitahu penonton bahawa apa yang dilakukan ialah untuk menjadikan hidup lebih baik supaya orang ramai boleh hidup dengan gembira dan itulah adalah impiannya.

TED Talk/Youtube

SafeWander/Youtube

Era Baru

Maybe you're interested :

Share

Video Popular