CHRISTCHURCH– Suspek lelaki yang dituduh melakukan tembakan rambang di dua buah masjid di Christchurch ketika solat Jumaat akan menghadapi 49 pertuduhan tambahan bagi tuduhan membunuh serta 39 pertuduhan cubaan membunuh pada 5 April, demikian menurut kenyataan Polis New Zealand.

Brenton Tarrant didakwa dengan satu pertuduhan membunuh pada 16 Mac selepas dia didakwa menembak mati 50 orang dan mencederakan lebih ramai lagi dalam insiden kejadian tembakan rambang ketika solat Jumaat pada 15 Mac.

Polis New Zealand menambah bahawa pertuduhan lanjutan juga sedang berada dalam pertimbangan.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern ketika dalam ucapannya kepada sidang media pada 15 Mac menyifatkan tembakan kejam itu sebagai satu tindakan keganasan, dan pembunuhan rambang beramai-ramai ketika masa aman yang terburuk dalam sejarah negara. Tahap keselamatan keselamatan nasional New Zealand telah disemak dari tahap rendah kepada tahap tertinggi.

Vincent Thian/AP

Tertuduh yang berusia 28 tahun itu akan hadir di hadapan mahkamah untuk kali kedua pada 5 April, tetapi tidak akan diminta untuk membuat pengakuan segera. Hakim berkata satu pendengaran ringkas akan diadakan melalui rakaman video. Ia akan hanya berkisar kenyataan wakil pembelaan tertuduh.

Menurut Hakim Cameron Mander menerusi transkrip minit mahkamah, “Tujuan utama panggilan pada 5 April adalah untuk menentukan kedudukan defendan mengenai wakil pembelaan serta untuk menerima butiran maklumat lanjut dari pihak berkuasa mengenai langkah-langkah dan prosedur tertentu, dan bila langkah-langkah itu difikirkan akan diselesaikan.”

Tertuduh mengumumkan pada 16 Mac bahawa dia telah memecat peguam belanya, Richard Peters dari Alpers & Co-Northwest Associate, dan berkata dia merancang untuk mewakili dirinya sendiri di hadapan mahkamah, kerana dia “menganggap pekerjaan itu akan dilakukan dengan lebih baik.” Richard Peters mengumumkan perkara itu pada 16 Mac.

Akses dan laporan media mengenai prosedur mahkamah biasanya dihadkan oleh undang-undang penindasan New Zealand, yang bertujuan untuk melindungi hak tertuduh untuk mendapatkan perbicaraan yang adil serta menghindari pendapat dan pandangan para juri berpotensi daripada dicemari bermula dari awal dan kadang-kadang bagi mengelak laporan berita yang tidak lengkap. Tetapi tertuduh tidak memohon hak ini di bawah undang-undang penindasan bagi melindungi namanya atau diberi jaminan selepas penahanannya pada 15 Mac.

Mark Mitchell / New Zealand Herald/Reuters

Robert Peters berkata pada bulan Mac bahawa dia mengesyaki tertuduh mungkin mahu menggunakan kes perbicaraan berprofil tinggi itu sebagai satu platform untuk menyebarkan pandangannya dan hakim perbicaraan perlu menguruskan risiko ruang mahkamah perbicaraan itu nanti sebagai ‘bahan berunsur politik’.

Sesetengah media telah memutuskan untuk tidak menyiarkan berita sensasi mengenai tertuduh dengan namanya bagi mengelak untuk memberinya peluang menyatakan pandangan ekstremnya. Perdana Menteri Jacinda Ardern juga berhujah untuk tidak bertolak ansur dengan memberi ruang kepada tertuduh dengan tindakan kejamnya.

Perdana Menteri Jacinda Ardern berkata dalam ucapannya di Sekolah Tinggi Cashmere pada bulan Mac yang lalu, “Perhatikan di antara satu sama lain, tetapi juga biarkan New Zealand menjadi tempat di mana kita tidak akan bertolak ansur terhadap mereka yang mempermainkan isu perkauman. Itu sesuatu yang kita semua boleh lakukan.”

Tertuduh mengeluarkan manifesto sepanjang 74 halaman sebelum serangan yang disebutnya sebagai “The Great Replacement,” merujuk kepada penggantian orang Eropah kulit putih oleh orang Islam dan lain-lain kaum pendatang, di mana dia mengenali nilai-nilai politik dan sosialnya yang paling dekat dengan Republik Rakyat China, sebuah rejim komunis. Laporan kebanyakan media telah melabelkan pandangan tertuduh sebagai “haluan-kanan yang jauh”.

Facebook

Menurut laporan The Associated Press, manifesto yang kononnya ditulis oleh tertuduh sama seperti mana yang ditulis oleh pembunuh beramai-ramai di Norway, Anders Behring Breivik.

Tertuduh menulis dalam manifesto itu bahawa “China telah ‘ditetapkan’ menjadi negara paling dominan di dunia pada abad ini “kerana negara itu “kurang dalam kepelbagaian”.

Tertuduh juga menulis dalam dokumen tersebut dengan gaya soalan dan jawapan, “Adakah anda penyokong Donald Trump?”. “Sebagai simbol identiti kulit putih yang diperbaharui dengan tujuan bersama? Pasti.”. “Sebagai pembuat dasar dan pemimpin?” Oh! Tuhan, tidak. “

Pihak polis berkata mereka telah memastikan hanya Brenton Tarrant yang menjadi suspek penembak tunggal dalam insiden kejam itu tetapi masih menyiasat sama ada dia mendapat sokongan daripada orang lain.

Tarrant mendakwa dalam manifesto tersebut bahawa dia telah merancang serangan itu selama dua tahun dan telah mengenal pasti Christchurch sebagai lokasi serangan tiga bulan sebelumnya. Penganalisis keselamatan New Zealand, Paul Buchanan memberitahu program Checkpoint Radio New Zealand pada 15 Mac bahawa Brenton Tarrant mungkin bekerja dengan beberapa orang yang lain sehingga mencapai 10 orang.

Katanya, “Terdapat sekumpulan golongan pelampau kulit putih. Kita bercakap mungkin beberapa kumpulan seperti ini tertumpu di Pulau Selatan. Berkemungkinan individu- individu ini masih bebas dengan aktiviti mereka. Terdapat juga rangkaian sokongan yang aktif untuk menyembunyikan lelaki ini.”

Hannah Peters/Getty Images

Seorang lelaki berusia 44 tahun, Philip Arps, telah dihadapkan di Mahkamah Christchurch pada 20 Mac atas dua pertuduhan menyebarkan rakaman video secara langsung ketika serangan pembunuhan beramai-ramai itu di Masjid Al Noor, masjid pertama yang diserang, dengan pertuduhan melanggar undang-undang penerbitan negara. Setiap pertuduhan membawa hukuman maksimum 14 tahun penjara.

Philips Arps, yang berpakaian kemeja-T dan baju sukan serta bertatu penuh tidak merekodkan pengakuan bersalah. Dia tetap tidak bersuara semasa pendengaran, dengan tangannya digari di belakang. Hakim Stephen O’Driscoll telah menolak ikat jamin bagi tertuduh.

Dalam dokumen pertuduhan  yang dibacakan, Phillips Arps telah menyebarkan rakaman video itu pada 16 Mac, sehari selepas tembakan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan secara kejam ketika umat Islam sedang solat Jumaat.

Kebanyakan butiran perbicaraan dan jaminan tertakluk di bawah peruntukan undang-undang New Zealand. Hakim mengeluarkan perintah penindasan tambahan selepas membuat pertimbangan berdasarkan ringkasan fakta dalam kes ini, dengan mengehadkan hanya pertuduhan yang telah dilaporkan di dalam kertas pertuduhan itu sendiri.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular