Berikutan laporan terbaru yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), seorang pengarah eksekutif berkongsi pendapatnya mengapa graduan lepasan institusi pengajian tinggi terkini menerima pendapatan yang lebih rendah berbanding graduan terdahulu ketika zaman sebelum tahun 2010.

Laporan BNM mendedahkan walaupun bilangan graduan yang dikeluarkan oleh institusi pengajian tinggi semakin meningkat dengan ketara demi memenuhi keperluan tenaga kerja semasa negara dalam tempoh 2010 sehingga 2017, gaji permulaan yang diterima oleh mereka kekal dan masih tidak berubah.

Dalam satu post di Facebook yang dihantar oleh Dr Mahaletchumy Arujanan pada 28 Mac, beliau menekankan isu ini sebagai ‘pembuka mata bagi para pelajar dan ibu bapa’.

New Straits Times /Gambar Hiasan

Dr. Mahaletchumy Arujanan yang merupakan pengarah eksekutif di Malaysian Biotechnology Information Centre (MABIC), memberi beberapa sebab mengapa graduan masa kini menghadapi masa yang lebih sukar seperti berikut:

1. Tawaran pekerjaan yang semakin berkurangan walaupun semakin ramai graduan yang telah dikeluarkan oleh IPT.

2. Tawaran gaji masih kekal rendah dan tidak berubah walaupun kos sara hidup semakin meningkat.

3. Terdapat penurunan dalam pasaran pekerjaan yang memerlukan kemahiran tinggi, walaupun kerajaan sentiasa menekankan bidang itu mempunyai potensi dan diperlukan dalam pasaran pekerjaan.

4. Tawaran pekerjaan kebanyakannya lebih tertumpu kepada bidang pemasaran dan jualan.

Menurut pengamatan Dr. Mahaletchumy, ramai graduan kini menghadapi kesukaran dalam mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan bidang yang dipelajari mereka, ditambah dengan kurangnya kemahiran mereka dalam menonjolkan kemahiran insaniah, tidak pasti dengan sasaran kerjaya serta perancangan kewangan keluarga yang lemah.

 The Hustle / Gambar Hiasan

Beliau menekankan graduan perlu menjadi cemerlang terutama dalam menampilkan kemahiran insaniah supaya mereka akan lebih mendapat perhatian dan menjadi pilihan majikan dalam kalangan ribuan pencari kerja yang lain.

Walau bagaimanapun, beliau menambah menjadi cemerlang dalam kemahiran insaniah bukan sekadar mendapat ‘A’ dan menjadi cemerlang.

Apabila seorang graduan menyambung pengajian pasca ijazah ke tahap Sarjana dan PhD, ia juga tidak akan membantu sekiranya mereka tidak mempunyai sasaran kerjaya yang jelas.

Tambahnya lagi, bagi graduan baru yang mampu memiliki keperluan asas terkini seperti telefon pintar, kereta dan menyewa rumah yang berdekatan dengan lokasi pasaran kerja mungkin amat membantu graduan ini dalam mendapatkan pekerjaan. Namun begitu, bagi ibu bapa yang tidak mampu membiayai anak mereka dengan keperluan ini, mereka mungkin menghadapi kesukaran menanggung anak yang masih menganggur.

Astro Awani / Gambar Hiasan

Dr. Mahaletchumy memberi satu cadangan buat ibu bapa supaya membuat perancangan bagi masa depan anak-anak sejak mereka berada di dalam perut lagi. Katanya, ibu bapa kurang membuat perancangan pendidikan untuk anak-anak, tetapi akan mampu berbelanja dan menghabiskan wang dalam majlis perkahwinan dan parti hari jadi untuk anak-anak.

Dr. Mahaletchumy Arujanan turut mempersoalkan langkah yang diambil oleh kerajaan dalam meningkatkan pasaran dan peluang pekerjaan di dalam negara. Katanya, “Bidang saya iaitu bioteknologi dan biosains telah lama diabaikan, tetapi kini mereka mahu mewujudkan ratio 60:40 untuk kelas sains dan sastera.”

The Malaysian Insight / Gambar Hiasan

Dalam satu kenyataannya dalam Malaysiakini, Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik berkata, “Pihak kita tidak mengawal gaji yang dibayar dalam pasaran kerja, tetapi apa yang boleh kita lakukan ialah menyediakan graduan berkemahiran tinggi yang lebih terlatih, berpengetahuan tinggi dan mampu bersaing di pasaran pekerjaan tempatan dan antarabangsa.”

Sumber : Dr Mahaletchumy Arujanan/Facebook , SAYS

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP Kerjaya

Video Popular