Legenda tenis dunia tiada tolok banding Roger Federer mencapai kemuncak karier apabila memenangi gelaran juara buat kali yang ke-101 dalam kejohanan tenis dunia termasuk yang terbaru dalam kejohanan jelajah ATP Masters 1000 Miami serta kejayaannya merangkul gelaran pemain terbaik dunia dalam kejuaraan Grand Slam buat kali yang ke-20.

Usianya sudah mencecah 38 tahun, tetapi pencapaiannya amat mengagumkan sehingga Roger Federer kini dikenali ‘pemain tenis terhebat sepanjang zaman’. Roger Federer sering berkata rahsia kejayaannya adalah atas sokongan padu dan pemberi semangat daripada isteri selaku pengurusnya selama lebih 19 tahun iaitu Mirka Federer.

Miroslava Varincova atau Mirka dilahirkan di Republik Czech pada 1 April 1978. Isteri Roger Federer ini juga merupakan seorang pemain tenis profesional. Pada tahun 1998, Mirka berada di ranking ke-215, sebelum mencapai puncak karier dengan berada di ranking ke-76 pada tahun 2001.

Kisah cinta yang berputik antara Roger Federer dan Mirka bermula sejak 19 tahun yang lalu. Mereka bertemu ketika sama-sama menjadi delegasi atlet mewakili Switzerland dalam Sukan Olimpik di Sydney, Australia pada tahun 2000. Semasa itu, Roger Federer baru berusia 18 tahun dan berada dalam ranking ke-100 pemain dunia.

Roger Federer dilihat mempunyai potensi dan berbakat besar untuk menjadi pemain profesional nombor satu dunia. Roger Federer suka menyimpan rambutnya yang panjang sehingga penampilannya yang hebat di gelanggang dikenali dan popular kerana rambut ala singanya itu.

Ketika itu, Mirka sudah berusia 21 tahun, 3 tahun lebih tua daripada Roger. Mirka mula bermain tenis ketika berusia 9 tahun dan menjadi pemain kebangsaan mewakili Switzerland ketika berusia 15 tahun serta pernah memenangi beberapa kejohanan dunia. Pada Sukan Olimpik di Sydney, Roger Federer bertemu cinta pandang pertama, Mirka buat pertama kali, dan dia menjadi begitu terpesona apabila melihat senyuman dengan lesung pipit Mirka yang amat manis. Roger mendekati Mirka kerana sudah jatuh hati, dan menyanyikan lagu popular remaja ketika itu dari kumpulan Backstreet Boys ke telinga Mirka.

Pada ketika itu, Mirka tidak menyedari Roger yang nakal telah jatuh hati dengannya, tetapi sukakan perwatakan Roger yang suka bergurau dan ketawa sebagai sesuatu yang menarik perhatiannya.

Mereka berkenalan sebagai sahabat sehingga pada hari di mana Sukan Olimpik Sydney telah berakhir dan mereka akan meneruskan jalan masing-masing. Roger Federer cuba memberanikan diri untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Mirka dengan memberi ciuman pertama, tetapi dengan cara menyamar ketika mereka beramai-ramai memberikan ciuman selamat tinggal sebagai keluarga dan rakan. Roger cuba meluahkan perasaannya, tetapi Mirka berkata, “Kamu terlalu muda untuk saya.” Tetapi Roger menjawab, “18 tahun setengah, saya tidaklah terlalu muda!”

Ciuman pertama itu hanya satu ciuman cinta yang mengelirukan, dan tidaklah berapa romantik akhirnya. Roger Federer sentiasa menaruh harapan, yang Mirka akan menilainya dengan tanggapan yang baik dan mereka berdua akan jatuh cinta juga akhirnya.

Selepas sering berjumpa dan akhirnya jatuh cinta, Roger dan Mirka telah bertemu dengan ibu bapa masing-masing dan membincangkan perhubungan mereka secara serius. Mereka berjumpa dalam perjumpaan keluarga dari semasa ke semasa. Ada kala mereka melakukan aktiviti memancing dan berenang bersama pengawasan keluarga. Mereka juga memberi sokongan di antara satu sama lain ketika kejohanan tenis berlangsung.

Semuanya berjalan lancar apabila mereka meraikan kemenangan dan kejayaan masing-masing dalam beberapa perlawanan tenis. Malang buat Mirka apabila dia mengalami kecederaan kaki yang serius pada tahun 2002, sehingga menyebabkan dia tidak lagi boleh bermain tenis secara profesional dan terpaksa mengambil keputusan untuk bersara.

Selepas bersara dari arena tenis profesional, Mirka telah membuat keputusan untuk menyokong Roger Federer secara senyap dari belakang. Mirka menjadi pembantu Roger dan rakan latihannya. Mirka akhirnya menjadi pengurus Roger yang memastikan kehidupan peribadi dan latihan tenisnya sentiasa berjalan seiring.

Mirka akan menyelesaikan segala masalah yang membelenggu Roger dan sentiasa memberinya semangat untuk terus berasa yakin dan fokus dengan keupayaan diri untuk menjadi juara dunia ketika berada di gelanggang. Kerjaya tenis Roger Federer terus meningkat selepas Mirka menjadi pengurusnya.

Dengan sokongan Mirka, ibu bapa serta keluarga dan kerja keras Roger Federer sendiri, beliau mula merangkul gelaran pemain nombor satu dunia dan menjuarai Grand Slam pertama pada tahun 2003. Selepas itu, nama Roger Federer sentiasa bermain di bibir peminat dan pihak media sentiasa mengekorinya ke mana sahaja pemain tenis hebat ini pergi.

Roger Federer menjadi idola sempurna pada pandangan umum dengan sikapnya yang sentiasa merendah diri dan tidak pernah leka dengan populariti. Pemain tenis baru yang lebih muda berasa hormat dan kagum dengan personaliti serta kehebatannya bermain tenis di gelanggang. Bersama kejayaan itu, Roger Federer sentiasa membawa Mirka di sisi. Roger Federer tidak pernah memandang wanita lain melainkan Mirka. Beliau sentiasa menyebut nama Mirka sebagai penyumbang utama di atas kesemua kejayaan yang dirangkulnya.

Sebagai pengurus dan pembantu peribadi, Mirka mencadangkan Roger mengubah penampilan dengan memotong rambut ala singa kepada lebih pendek dan kemas. Mirka juga mengatur semua jadual senaman dan latihan Roger serta menjaga pemakanannya. Mirka sentiasa menggalakkan Roger untuk terus berusaha keras demi mengekalkan gelaran dan sentiasa konsisten.

Roger Federer pernah berkata, “Teman wanita orang lain akan merengek untuk menghabiskan masa bersama-sama, tetapi bagi saya, Mirka akan meminta saya berlatih dengan bersungguh-sungguh di gelanggang setiap hari dan dia akan memerhatikannya.”

Oleh kerana Mirka pernah menjadi pemain tenis profesional, maka dia sendiri mengetahui erti kerja keras untuk mempamerkan aksi permainan hebat yang memukau di gelanggang. Tidak hairan Roger Federer akan menurut apa sahaja arahan teman wanitanya yang dicintainya ini demi mencapai kejayaan.

Sebelum bertemu dan menjalinkan hubungan cinta dengan Roger Federer, Mirka sebenarnya pernah dilamar oleh seorang putera kaya dari Dubai. Tidak cukup dihadiahkan sebuah kereta Ferrari, Mirka juga dilayan bagai puteri raja. Semasa putera ini membuat lamaran, syarat utama yang dikenakan ialah Mirka meninggalkan langsung gelanggang tenis. Maka dengan itu, Mirka telah menolak lamaran tersebut kerana dia amat cintakan sukan tenis walaupun tidak lagi menjadi pemain profesional.

Merujuk kepada pandangan umum dan media yang sentiasa mengecam Mirka sebagai tidak layak menjadi teman wanita Roger Federer yang tampan dan hebat, kerana penampilannya yang sedikit berisi dan tidak cantik seperti supermodel, pemain tenis ini sentiasa berdiri teguh dengan pendiriannya yang sentiasa memilih Mirka. Baginya, siapa mereka semua yang mahu mencampuri urusan peribadi dan perasaan cintanya terhadap Mirka.

Walaupun Mirka tidak pernah kisah dengan cakap-cakap orang lain, tetapi Roger Federer berasa terguris dan terus mempertahankan teman wanitanya apabila mendapat peluang. Semasa menjuarai kejohanan Wimbledon pada tahun 2005, Roger Federer telah meluahkan perasaan cintanya terhadap Mirka secara langsung kepada dunia.

Roger berkata, “Mungkin ramai orang berkata saya adalah yang terbaik, tetapi saya memerlukan Mirka untuk menjadi yang terbaik. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas usahanya selama beberapa tahun ini, dan dia banyak membantu saya. Mirka adalah pilihan hati saya seumur hidup. Pada suatu hari nanti, saya akan melamarnya di gelanggang tenis ini dan memberinya kebahagiaan masa depan.”

Raja tenis dunia mempunyai hati yang sangat baik dan lembut kerana cintanya yang amat mendalam terhadap Mirka. Roger berkata, “Sebagai pengurus dan wakil saya, Mirka sentiasa sibuk dan tiada masa untuk bersenam di gimnasium. Dia juga akan menjadi orang pertama yang mencuba semua menu baru saya. Saya sukakan keju dan kentang goreng, tetapi dia akan memberi saya sedikit dan menghabiskan selebihnya. Mirka menjaga pemakanan saya. Saya tidak dapat membayangkan hidup tanpa Mirka. Saya amat cintakannya!”

Ketika ada masa terluang, Roger dan Mirka tidak segan silu untuk menunjukkan cinta mereka dengan perasaan romantik di khalayak ramai. Ramai orang yang berasa cemburu kepada Mirka kerana menyedari Roger Federer tidak akan membuka hatinya kepada wanita lain.

Di kediaman Roger Federer di Basel, tiada majalah dan suratkhabar yang dibenarkan memasuki rumah kerana Roger tidak mahu tahu apa yang mahu diperkatakan oleh media mengenai Mirka dan gosip mengenai dirinya yang tidak pernah benar.

Akhirnya pada tahun 2009, semasa Roger Federer berada di kemuncak kerjaya sebagai pemain tenis nombor satu dunia, Mirka dan Roger telah disatukan sebagai pasangan Federer dalam satu majlis perkahwinan yang ringkas dan romantik.

Tidak lama selepas itu, pasangan Federer menerima berita gembira yang mereka bakal menyambut kelahiran bayi kembar. Roger Federer berasa amat teruja dan tidak sabar menyambut kelahiran berganda itu sehinggakan tidak pernah lekang dengan telefon bimbit yang diletakkan di kakinya semasa latihan.

Sebelum melahirkan kembar mereka, Mirka sering bersama Roger di gelanggang walaupun kadangkala dia terasa amat letih dan sukar kerana kehamilannya. Roger berkata Mirka perlu menjadi pemberi semangatnya setiap kali beliau berada di gelanggang kejohanan.

Pasangan Federer melahirkan dua set anak kembar, Myla Rose dan Charlene Riva pada 23 Julai 2009 dan Leo dan Lennart pada 6 Mei 2014. Tiada apa yang lebih membahagiakan Roger Federer melainkan bersama isterinya, Mirka dan anak-anak kembar yang comel, dan beliau terus konsisten dalam kerjayanya sebagai pemain tenis profesional terunggul dunia.

Roger Federer pernah berkata, “Selagi Mirka ada bersama saya pada setiap pagi, dunia saya tidak akan berubah. Saya lebih sukakan kemeriahan anak-anak dan tidak sanggup meninggalkan isteri saya. Cinta ini terus kekal selama lebih 19 tahun. Apabila saya melihat dari gelanggang tenis yang jauh, saya perlu melihat Mirka. Walaupun saya perlu merantau jauh, Mirka perlu berada di tempatnya. Dia adalah rumah dan penstabil kehidupan saya.”

Apabila NIKE menaja Roger Federer dalam setiap perlawanannya, Mirka telah bertindak sebagai pereka logo Roger Federer dan ia menjadi tanda singkatan nama yang kekal sehingga ke hari ini.

Pada tahun 2013, dunia tenis merasakan sudah tiba masanya bagi Roger Federer untuk bersara memandangkan faktor usianya yang semakin meningkat serta kecederaan lututnya yang berulang. Prestasi Roger Federer yang merudum tidak memungkinkan beliau untuk aktif dan bangkit kembali. Tetapi Mirka berfikir sebaliknya. Mirka memberi Roger sepenuh kepercayaan dan sokongan serta semangat untuk kembali bangkit menyinari arena tenis dunia. Dan akhirnya, Roger Federer telah berjaya melakukannya.

Roger Federer terus bertahan dalam arena tenis dunia selama 21 tahun. Apa yang membuatnya bertahan, semua orang akan memperkatakan tentang penampilannya, personalitinya dan kemahirannya di gelanggang. Tetapi bagi Roger Federer, terdapat satu perkara utama yang lebih penting dalam bidang tenis, iaitu cinta dan perkahwinannya bersama Mirka. Mirka menjadi penyokong kuatnya untuk terus bekerja keras selama 20 tahun dan Roger Federer menjadi legenda tenis dunia kerananya.

Dalam satu temu bual media, Roger Federer telah ditanya bila masanya beliau akan bersara, oleh kerana usianya akan memasuki 40 tahun dalam beberapa tahun lagi. Roger Federer menjawab, “Apabila isteri saya tidak mahu mengikuti saya lagi ke mana-mana, maka pada hari itu saya akan bersara.”

Seorang wartawan juga pernah bertanya selepas Roger Federer menjuarai Grand Slam, “Apakah keputusan terbaik yang pernah anda lakukan di sepanjang karier tenis ini? Roger Federer menjawab, “Saya berasa diri amat bertuah. Saya bertemu Mirka pada usia yang masih muda. Berkongsi hidup dengannya merupakan keputusan terbaik yang pernah saya lakukan di sepanjang kehidupan ini.”

Siapa sangka, seorang gadis yang mengenepikan impiannya menjadi pemain tenis profesional kerana kecederaan telah berjaya menjadi pendorong dan tulang belakang yang kuat di sebalik kejayaan legenda tenis dunia yang tiada tolok bandingnya, Roger Federer.

Kejayaan demi kejayaan Roger Federer selama 21 tahun merupakan satu pencapaian yang hebat lagi mengagumkan dalam bidang sukan tenis. Akan tetapi, kisah cinta sejatinya yang sentiasa setia bersama Mirka merupakan satu pencapaian yang lebih hebat dalam kehidupan, yang perlu menjadi contoh dan inspirasi buat semua.

Sumber : Cocomy

Maybe you're interested :

Share

Video Popular