Seronok rasanya dapat menikmati biskut buatan sendiri ketika minum petang atau menonton televisyen. Ini kerana dengan membuat sendiri biskut tersebut, kita dapat mengurangkan kuantiti gula untuk mengurangkan manis atau menambah kuantiti cip coklat dalam adunan. Pasti hasilnya sangat memuaskan hati!

Hazlita Ishak|Facebook

Bagi yang sedang tercari-cari akan resipi biskut untuk dibuat sendiri di rumah, anda mungkin boleh mencuba resipi biskut nestum ini. Caranya mudah, bahan yang digunakan juga mudah didapati dan apa yang penting rasanya yang pasti akan membuatkan anda tidak berhenti mengunyah!

Resipi ini telah dikongsi oleh seorang pengguna Facebook, Puan Hazlita Ishak dan menurutnya biskut ini merupakan resepi asal oleh Cikgu Azlina Ina iaitu honey nestum almond cookies crunch. Berikut adalah bahan-bahan dan cara membuatnya.

RESIPI BISKUT NESTUM RANGUP DENGAN MADU, CIP COKLAT & BADAM

Bahan A

  • 250 gram mentega atau marjerin
  • 1/2 cawan gula perang halus
  • 1 penutup esen vanila
  • 2 sudu besar madu

Bahan B

  • 1 sudu kecil serbuk penaik
  • 1/2 sudu kecil soda bikarbonat
  • 1 sudu besar tepung beras
  • 1 sudu besar tepung jagung

Bahan C

  • 1 1/2 cawan tepung gandum

Bahan D

  • 2 sudu besar susu tepung

Bahan E

  • 1/2 cawan nestum
  • 1/2 cawan cip coklat
  • 1/2 cawan almond nips / strip

CARA-CARA

1. GAUL BAHAN

Mula-mula gaul bahan A dengan rata dengan menggunakan whisk atau senduk biasa. Selepas itu masukkan bahan B dan kacau lagi sehingga rata.

Hazlita Ishak|Facebook

Kemudian, masukkan pula bahan C sedikit demi sedikit dan kacau lagi sehingga rata. Selesai dengan campuran adunan tersebut masukkan pula bahan D dan terus gaul bahan-bahan tersebut.

Hazlita Ishak|Facebook

Langkah terakhir ialah campurkan semua bahan E dan gaul sehingga semua bahan sebati.

Hazlita Ishak|Facebook

2. SIMPAN 30 MINIT DI DALAM PETI SEJUK

Pastikan adunan berada dalam keadaan elok dan tidak berderai. Jika adunan berderai boleh tambahkan mentega atau majerin sedikit demi sedikit sehingga adunan menjadi elok dan tidak berderai.

Kemudian, letakkan adunan tersebut di dalam peti sejuk selama 30 minit.

Hazlita Ishak|Facebook

3. SEDIA UNTUK DIBAKAR

Sebelum membakar biskut, panaskan ketuhar dengan suhu 160 darjah celcius selama 10 minit. Sementara menunggu ketukar panas, ambil adunan sejemput-sejemput atau gunakan sudu dan susun di atas dulang pembakar. Bakar adunan selama 30-35 minit mengikut ketuhar masing masing. Pastikan api yang digunakan perlahan.

Hazlita Ishak|Facebook

4. SIAP

Semasa biskut baru dikeluarkan dari ketuhar dan dalam keadaan panas, biskut itu agak lembut. Apabila sejuk, baharulah biskut tersebut mengeras.

Hazlita Ishak|Facebook

Inilah biskut nestum yang telah siap! Rupanya sahaja sudah boleh membangkitkan selera dan ditambah lagi dengan baunya yang wangi, pasti anda tidak sabar untuk menikmatinya!

Hazlita Ishak|Facebook

Jadi, apa tunggu lagi? Cuba sekarang dan siapa tahu anda boleh membuatnya lagi untuk hari raya akan datang? Selamat mencuba!

Sumber: Hazlita Ishak|Facebook, Sirap Limau

Maybe you're interested :

Share

Video Popular