KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tommy Thomas dalam ucapan pembukaan pendakwaan akan membuktikan sebahagian daripada sejumlah dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, telah digunakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tujuan peribadi.

The Straits Times

Tommy dalam ucapan pembukaan pendakwaan yang berlangsung di bilik bicara Mahkamah Tinggi Jenayah 3 berkata, bukti pendakwaan akan menunjukkan Najib telah mengeluarkan sejumlah 15 cek dari akaun peribadi beliau sebanyak RM10,776,514.00.

Katanya, pendakwaan juga akan membuktikan Najib mengeluarkan perbelanjaan sejumlah USD130,625 melalui kad kredit Najib di butik Chanel di Honolulu, Hawaii, serta penggunaan sejumlah cek untuk kerja-kerja pengubahsuaian kediaman peribadi Najib di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur dan di Pekan, Pahang.

Turut akan dibuktikan beberapa cek yang didakwa dikeluarkan Ahli Parlimen Pekan itu bagi parti-parti komponen di bawah Barisan Nasional (BN).

“Beban pendakwaan kini terletak di atas pasukan pendakwa raya untuk membuktikan, melampaui keraguan yang munasabah, bahawa tertuduh Mohd Najib bin Haji Abd Razak adalah bersalah terhadap setiap tuduhan ke atasnya dalam perbicaraan ini,” kata Thomas yang dipetik Astro Awani.

CNA/Youtube

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram milik SRC International berjumlah RM42 juta.

Kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Dalam pertuduhan berkenaan, Najib mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan untuk kesemua tuduhan.

Penolong pendaftar dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhamad Akmaluddin Abdullah, 35 dipanggil sebagai saksi pendakwa raya yang pertama dipanggil.

Muhamad Akmaluddin membacakan semula keterangan saksi selepas mengangkat sumpah, dan mengaku telah diminta oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memeriksa rekod tiga syarikat melalui pangkalan data SSM – SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd, dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Kosmo

Sementara itu, peguam kepada Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempertikaikan kenyataan pembukaan yang dibaca Peguam Negara, Tommy Thomas ketika perbicaraan sambil menjelaskan kenyataan berkenaan tidak mengikut Seksyen 179 Kanun Prosedur Jenayah berikutan kesemua pertuduhan tidak dinyatakan secara jelas.

Sumber: Astro Awani, Harian Metro

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular