Bergotong-royong untuk menjayakan sesebuah majlis atau kenduri adalah sesuatu yang biasa dalam kalangan masyarakat Malaysia. Memang menyeronokkan apabila dapat berkumpul beramai-ramai dan melakukan kerja bersama-sama.

Aktiviti tersebut dilihat lebih menyeronokkan jika dapat dilakukan bersama jiran atau kawan-kawan yang berlainan bangsa dan agama. Selain dapat meringankan beban kerja, hubungan yang lebih erat juga dapat dijalinkan antara satu sama lain.

Perkara itulah yang berlaku kepada seorang pengguna Twitter, Zaty yang telah memuat naik video yang menunjukkan jiran-jirannya yang berbangsa Cina datang untuk membantu mereka sekeluarga selepas selesai kenduri doa selamat. Zaty juga turut melahirkan rasa terharu atas bantuan yang dihulurkan. Bukan satu atau dua, tetapi empat buah rumah yang datang membantunya berkemas-kemas.

Zaty turut menceritakan kebaikan jirannya. Menurutnya, setiap kali sambutan Tahun Baru Cina mereka akan menerima berkotak-kotak limau mandarin dari jiran-jirannya. Menjelang Hari Raya pula mereka sekeluarga akan memberikan kuih raya kepada jiran-jiran mereka.

“Kami tidak pernah kedekut antara satu sama lain. Jika ada yang menanam serai, daun kari atau pandan, tidak perlu bertanya. Hanya ambil.”

Sifat terpuji ini telah menarik perhatian ramai pengguna Twitter yang mana rata-rata memberikan pandangan positif terhadap status tersebut. Ramai yang kagum dengan semangat muhibah yang ditunjukkan oleh mereka.

Ada pengguna Twitter yang mengatakan dapat jiran yang baik juga dikira sebagai rezeki.

Seorang pengguna Twitter lain memberi komen dengan mengatakan semuanya berkaitan dengan rasa hormat-menghormati tanpa mengira agama dan bangsa. Layanlah semua orang dengan baik kerana itu ialah perkara yang paling penting.

Sangat mengharukan apabila membaca kisah-kisah seperti ini. Dunia adakalanya memang rakus tetapi tidak bermakna kita tidak boleh membina ‘dunia’ kita sendiri, dunia yang aman damai dan dihuni oleh masyarakat yang berhati mulia.

Sumber: zaty|Twitter

Maybe you're interested :

Share

Video Popular