GEORGETOWN: Penduduk sekitar kawasan Tanjung Bungah, Pulau Pinang  berdepan detik cemas apabila fenomena belalai air berlaku selama 20 minit di perairan kawasan tersebut pada 1 April yang lalu.

Kejadian berkenaan menjadi tular di laman sosial selepas beberapa penduduk sempat merakam detik mencemaskan tersebut.

Seorang saksi, Muhammad Alwafi Mustaffa Albakri berkata, fenomena tersebut telah menyebabkan beberapa bumbung di kawasan perumahan sekitar Tanjung Bungah tercabut sekali gus menyebabkan penduduk lari berselindung di tempat yang selamat.

“Kejadian berlaku pada pukul 2.15 petang semasa hujan lebat dan ribut kencang di sini. Saya ketika itu berada di tingkat 10 bangunan Springtide Residence atas urusan kerja.

“Saya terkejut apabila memandang di luar tingkap kerana melihat belalai air secara perlahan-lahan menghala ke arah bangunan ini. Mujurlah selepas 20 minit belalai air itu hilang,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia.

Belalai air ialah fenomena puting beliung kecil yang berlaku di pesisiran pantai.

Fenomena itu bukanlah puting beliung kerana ia terjadi dalam skala yang sangat kecil dan berlaku dalam masa singkat lebih kurang seminit sahaja.

Kebiasaan fenomena tersebut berlaku di kawasan persisiran pantai dan ia akan hilang apabila menghampiri permukaan darat.

Belalai air tidak membawa bencana kepada orang awam, namun  boleh mendatangkan bahaya kepada bot dan kapal-kapal kecil di kawasan tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia, mStar, Penang Kini/Facebook, Making English Fun/Youtube

Maybe you're interested :

Share

Video Popular