Apabila Quyet Chien dari Vietnam yang baru berusia 13 tahun mendengar adik lelakinya, Van Van yang berusia 2 bulan dimasukkan ke hospital di Hanoi, tanpa berlengah lagi, dia dengan segera telah membuat keputusan untuk bergegas ke hospital itu kerana berasa bimbang.

Apa yang mengagumkan, hospital itu bukannya dekat, sebaliknya terletak kira-kira 300 kilometer dari rumah Chien di pedalaman dan remaja ini hanya mempunyai kenderaan berupa sebuah basikal dengan brek yang tidak lagi berfungsi.

Walau bagaimanapun, kesukaran itu tidak menjadi halangan buat abang penyayang ini daripada melawat adik lelakinya yang sakit dan sedang dijaga oleh ibunya di hospital.

Kenh14

Pada 26 Mac yang lalu, Chien memulakan perjalanan yang jauh itu dari rumahnya di Son La ke destinasinya di Hanoi dengan menunggang basikalnya yang telah uzur.

Chien mengambil masa selama 5 jam dengan mengayuh basikalnya tanpa henti sejauh hampir 100 kilometer dari rumah sehingga remaja ini tiba di bandar Hoa Binh kerana berasa keletihan dan dahaga.

Setibanya Chien di bandar itu ketika hari sudah gelap, kakinya sudah membengkak dan selipar yang dipakainya menjadi haus serta hampir putus kerana dia kerap menggunakan kakinya sebagai brek ketika ingin memperlahankan basikal dan menuruni cerun.

Kenh14

Quyet Chien hampir pengsan ketika itu kerana kepenatan, namun seorang pemandu yang baik hati bernama Le Van Tuyen telah terserempak dengan Chien yang sedang berhenti dan bertanyakan keadaannya. Tuyen tidak mempercayai dengan apa yang didengarnya apabila mendapat tahu budak lelaki ini telah mengayuh basikal dari Son La untuk ke Hanoi semata-mata kerana ingin melawat adiknya yang sedang sakit di hospital.

Chien kemudian telah dibawa ke balai polis berdekatan dan selepas mendapatkan maklumat keluarganya, Tuyen telah menelefon bapa Chien. Selebih baki perjalanan ke hospital di Hanoi itu kemudian telah diselesaikan oleh Tuyen yang menawarkan diri untuk membawa Chien dan bapanya dengan kenderaannya.

Apabila Chien tiba di hospital yang menempatkan adik lelakinya yang sedang dirawat, ibu Chien tidak dapat menahan sebak dan menangis apabila melihat anak lelakinya yang penyayang itu lalu memeluknya dengan erat. Mereka berdua tidak dapat menahan kesedihan masing-masing dalam pertemuan itu.

Kenh14

Memikirkan betapa berbahayanya perjalanan Chien ke Hanoi dengan berbasikal, air mata ibu Chien terus mengalir sepanjang perbualannya dengan Chien.

Setelah mendengar berita itu, ramai doktor dan jururawat berasa bagai tidak percaya apabila mendengar tindakan Chien yang berani demi perasaan sayang dan bimbang terhadap adik lelaki serta ibunya.

Mendengar selipar Chien sudah hampir putus kerana menjadi brek basikal, seorang doktor telah membelikan Chien sepasang selipar baru dan membayarkan tambang perjalanan pulang Chien dan keluarganya ke Son La. Doktor tersebut bertanggungjawab merawat adik lelaki Chien di hospital itu.

Kenh14

Selepas kisah Chien menjadi tajuk berita di Vietnam, ramai yang telah berasa simpati dan menawarkan remaja ini dengan sebuah basikal baru sebagai balasan sikapnya yang mulia dan tidak mementingkan diri sendiri apabila mendapat tahu adiknya sedang sakit dan menerima rawatan di hospital.

Van Van amat bertuah kerana memiliki seorang abang seperti Chien yang sungguh penyayang dan sentiasa bimbang akan keselamatan serta kesihatannya. Semoga Van Van cepat sembuh dan abangnya Chien sudah pasti akan melindunginya dalam apa juga keadaan pada masa hadapan.

Sumber : Kenh14

 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular