Kedatangan buruh asing di Malaysia adalah bertujuan untuk meraih peluang pekerjaan yang lebih baik sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup keluarga di kampung, dan tidak dinafikan bahawa buruh asing telah membantu negara dalam mempertingkatkan pendapatan di samping memperkembangkan industri pembangunan. Jadi, kita tidak seharusnya bersikap stereotaip terhadap warga asing.

easymanpower/Gambar Hiasan

Ini adalah satu kisah mengenai seorang warga Bangladesh yang dikongsikan oleh Humans of Kuala Lumpur di Facebook. Ia mengisahkan tentang seorang tukang cuci berusia 70 tahun yang bernama Abu Bakar. Abu Bakar yang telah menetap di Malaysia sejak 27 tahun yang lalu dikatakan bekerja di pusat beli-belah Klang Parade.

“Saya tinggalkan negara Bangladesh sejak 27 tahun yang lalu sewaktu anak kelima saya berusia 6 bulan. Sejak itu, saya tidak lagi kembali ke sana. Saya rindukan keluarga dan mereka juga rindukan saya. Tetapi ini semua untuk mereka. Kesemua ini adalah demi masa depan mereka.”

Menurut Abu Bakar, ketika kali pertama dia tiba di Malaysia, tujuannya adalah untuk mencari peluang pekerjaan dan dia menegaskan bahawa dia sanggup melakukan pekerjaan yang tidak mahu dilakukan oleh kebanyakan manusia.

ssf/Gambar Hiasan

Abu Bakar juga seorang yang sangat rajin bekerja. Selama 27 tahun berada di Malaysia, dia langsung tidak pernah mengambil cuti meskipun tidak sihat. Bukan sahaja itu, dia turut menghantar kesemua pendapatan yang diperolehinya kepada keluarga di kampung.

“Saya bangun tidur, mandi, sarapan, pergi kerja, balik kerja, berbual dengan keluarga menerusi telefon, berehat dan melakukan aktiviti yang sama pada keesokan hari dan hari-hari yang seterusnya. Saya juga mempunyai beberapa rakan baik di sini,” kata Abu Bakar lagi.

Berkat kegigihan Abu Bakar, kini masa depan anak-anaknya menjadi cerah apabila mereka berjaya mendapat pekerjaan yang bagus-bagus belaka.

“Salah seorang anak perempuan saya kini menjadi hakim, seorang lagi menjadi doktor dan anak lelaki saya adalah seorang jurutera. Saya bersyukur dengan pencapaian mereka.”

Lebih menyentuh hati lagi, setelah 27 tahun menjadikan Malaysia sebagai rumah keduanya, Abu Bakar akhirnya akan pulang ke Bangladesh untuk bertemu keluarganya. Pemergiannya pada kali ini adalah untuk masa yang panjang dan Abu Bakar tidak merancang untuk kembali berjauhan dengan keluarga tercinta…

“Bulan Disember ini saya akan pulang untuk selama-lamanya dan akhirnya dapat bertemu keluarga saya semula. Inilah kali pertama saya akan melihat dua cucu saya. Saya tidak sabar.”

Humans of Kuala Lumpur | Facebook

Begitulah keperitan hidup yang terpaksa ditanggung oleh Abu Bakar dan juga pekerja-pekerja asing yang datang ke negara kita demi mencari sesuap nasi. Besar sekali pengorbanan yang dilakukan oleh Abu Bakar semata-mata untuk mengubah kehidupan keluarganya.

Semoga Abu Bakar dapat pulang dengan selamat dan hidup bahagia bersama isteri, anak-anak dan cucu tersayang…

Sumber: Humans of Kuala Lumpur | Facebook

Maybe you're interested :

Share

Video Popular