Pasangan suami isteri ini dahulunya mempunyai pekerjaan tetap dengan gaji yang lumayan. Seorang bekerja sebagai penyelaras IT dan seorang lagi merupakan seorang pengurus cawangan bagi sebuah syarikat perkakasan rumah.

Bagaimanapun, sekitar tujuh bulan yang lalu, kedua-duanya nekad mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan meneruskan kerjaya sebagai tukang pencuci.

Kenali Raqib dan Linda, pasangan suami isteri yang kini menjadi pembersih rumah bagi sebuah syarikat pembersihan yang dikenali sebagai Maideasy. Keputusan mereka untuk menukar kerjaya ini ternyata mendapat pelbagai respon dan reaksi daripada masyarakat serta ahli keluarga.

Namun, jelas Raqib, “Saya mahu mempunyai keupayaan untuk mengawal pendapatan yang saya perolehi dan mengatur masa sendiri. Dengan agensi ini, saya dapat mengetahui tugasan apa yang ada pada minggu ini dan seterusnya serta hanya memilih sebanyak mana yang saya mampu pada waktu yang saya inginkan.”

World of Buzz

Menurutnya lagi, pekerjaannya sebagai pengurus cawangan betul-betul membuatkan Raqib keletihan kerana dia sering keluar bekerja pada awal pagi dan hanya pulang pada waktu malam.

Namun, setelah berhenti dan kini berkhidmat sebagai pencuci rumah, Raqib dan Linda mampu membersihkan sekitar tiga buah rumah dalam sehari di mana setiap rumah mengambil masa selama empat jam sahaja.

Jelas pasangan ini, dahulu mereka mempunyai pandangan stereotaip terhadap golongan yang bekerja sebagai orang gaji dan tukang pencuci. Namun demikian, segalanya berubah setelah mereka melalui sendiri pengalaman baharu ini. Tambahan pula, setiap pelanggan mengamalkan sikap yang positif selain menghormati mereka meskipun hanya bekerja sebagai tukang pencuci.

Mengingati semula salah satu peristiwa di mana seorang wanita tua telah mengupah Raqib dan Linda untuk membersihkan rumahnya setiap minggu selama sebulan memandangkan pembantu rumah wanita berkenaan tiada atas urusan lain.

Kata Raqib, “Apabila kami tiba, dia hanya minta kami bersihkan tandas dan mengemop lantai. Jadi, kami mempunyai banyak masa terluang namun kami tidak mahu pulang awal kerana kami telah dibayar. Oleh itu, wanita ini hanya memerlukan teman kerana dia sudah tua dan anak-anaknya duduk berjauhan.”

Seperti mana-mana pekerjaan lain, pasangan ini turut pernah melalui beberapa rintangan dan cabaran. Misalnya, Raqib dan Linda telah membersihkan sebuah rumah dan menemui cermin yang sudah bercalar. Bagaimanapun, pemilik rumah berkenaan berang lalu bertindak meminta wang sebagai ganti rugi kepada kerosakan kecil itu meskipun terdapat banyak lagi cermin lain di rumah tersebut.

Insiden itu mengajar mereka supaya sentiasa berhati-hati dan akan memaklumkan lebih awal kepada pelanggan jika terdapat sebarang kerosakan pada barangan rumah sebelum mereka membersihkannya.

World of Buzz

“Ada juga segelintir pelanggan yang mahu perkhidmatan murah dan tidak melihat ini sebagai satu pekerjaan yang profesional. Untuk jumlah jam yang sama, mereka mahu rumah besar mereka dibersihkan dengan kualiti perkhidmatan yang sama seperti pangsapuri kecil dan itu adalah sangat tidak realistik,” kata Linda.

Pasangan Linda dan Raqib turut berharap agar masyarakat tidak lagi memandang rendah pada pekerjaan sebagai tukang pencuci kerana ada segelintir daripada merupakan pemegang ijazah di universiti!

“Ketahui kekuatan anda dan kekalkan pendirian yang positif. Fahami secara menyeluruh tentang apa yang bakal anda tempuhi kerana ia melibatkan kerja fizikal dan anda perlu kuat dari segi mental dan juga fizikal untuk mengendalikan kerja ini,” nasihat Raqib kepada sesiapa yang ingin menyertai kerjaya seperti mereka.

Sumber: World of Buzz

Maybe you're interested :

Share

Video Popular