Setelah menghabiskan masa selama 36 tahun di penjara atas tuduhan jenayah rogol, lelaki ini akhirnya dibebaskan selepas dia didapati tidak bersalah.

Pada tahun 1982, lelaki yang dikenali sebagai Archie Williams, 58 tahun dari Louisiana ini telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa mendapat parol. Archie yang pada ketika itu baru berusia 22 tahun telah disabitkan dengan kesalahan merogol serta menikam seorang wanita di rumahnya yang terletak di Baton Rouge.

Dalam beberapa gambar yang ditunjukkan oleh pihak polis, mangsa wanita berkenaan telah memilih Archie sebagai pelakunya. Archie yang sedang tidur di rumah pada ketika itu mempunyai bukti bahawa dia tidak berada di tempat kejadian (alibi) selain ketinggiannya yang kurang beberapa inci daripada gambaran suspek yang dikemukakan oleh mangsa.

Selain itu, cap jari milik individu lain turut ditemui di lokasi jenayah. Bagaimanapun, pihak pendakwa raya tidak melakukan ujian pengesahan terhadap pemilik cap jari berkenaan menerusi pangkalan data FBI disebabkan oleh undang-undang negeri Louisiana yang menghalang banduan melakukan ujian DNA selepas dibicarakan.

TheAdvocate

Akan tetapi, dengan kemajuan teknologi, cap jari berkenaan telah diperiksa dan ianya merupakan milik seorang perogol bernama Stephen Forbes yang meninggal dunia pada tahun 1996 sewaktu berada di dalam penjara.

Mengumumkan pembebasan di mahkamah, Pesuruhjaya Kinasiyumki Kimble menyatakan:

“Padanan cap jari membuktikan Stephen Forbes melakukan jenayah ini dan bukannya Archie Williams. Dengan bukti dan fakta tidak bersalah yang dikemukakan di mahkamah ini, Encik Williams tidak patut dan tidak akan dipenjarakan lagi bagi kesalahan jenayah ini.”

Tambah Kimble, “Saya percaya dengan kebenaran dan kebenaran perlu ada dalam keadilan. Tetapi ia tidak berlaku. Kebenaran selalu diabaikan demi agenda peribadi dan sebagainya… Peristiwa ini membuktikan bahawa apa sahaja kepercayaan yang anda pegang, bersama-sama dengan kepercayaan keluarga dan sikap peguam yang tidak jemu untuk menyelesaikan kes, segalanya pasti terjawab.”

Memetik laporan ABC Newspembebasan Archie adalah hasil usaha tanpa henti oleh Innocence Project. Pengarahnya iaitu Vanessa Potkin menjelaskan, “Pertama kali Encik Williams menulis surat kepada Innocence Project untuk mendapatkan bantuan adalah pada tahun 1995. Ketika itu dia berusia 35 tahun. Hari ini, dia keluar dari penjara pada usia 58 tahun. Tiada apa yang dapat menggambarkan kesakitan dan kehilangan yang terpaksa dia lalui.”

“Innocence Project berjuang bersama-sama Encik Williams selama hampir dua setengah dekad dengan menggunakan kemajuan ujian forensik bagi membuktikan bahawa dia tidak bersalah”.

Sementara itu, Archie Williams yang menyatakan rasa leganya setelah dibebaskan turut berharap agar banduan lain yang dipenjarakan atas satu kesalahan yang tidak mereka lakukan akan diberikan keadilan sewajarnya.

“Terdapat ramai individu tidak bersalah di Angola. Mereka yang telah dipenjarakan melebihi 50 tahun. Saya gembira kerana akhirnya dibebaskan, tetapi saya tidak akan bebas selagi mereka juga tidak dibebaskan.”

Sumber: Unilad@innocence|Twitter

Maybe you're interested :

Share

Video Popular