Industri pemindahan organ di China berkembang pesat bermula sejak awal tahun 2000 sehingga hari ini. China kini menjadi negara terkenal bagi industri pelancongan pemindahan organ dari seluruh dunia.

Walaupun kes pendermaan organ sangat kecil jumlahnya di China, bekalan organ yang banyak, serta masa menunggu yang singkat dalam masa beberapa hari sehingga paling lama dalam masa dua bulan boleh menjadi satu persoalan dalam perbincangan bagi mana-mana negara lain di dunia.

Lebih mengejutkan lagi, ada pesakit yang melaporkan bahawa tarikh pembedahan pemindahan organ mereka telah dijadualkan lebih awal dari masa menunggu. Realiti sebenar dari apa yang dimaksudkan ini dibawa pulang ke negara pesakit sehingga ke pendengaran pakar bedah pemindahan jantung yang terkenal, Dr. Jacob Lavee pada tahun 2005, apabila seorang pesakit memberitahu bahawa dia akan berangkat ke China untuk menjalani pemindahan jantung dan pembedahan itu telah dijadualkan.

Bioethic.com / Gambar Hiasan

Menyedari bahawa ini hanya mungkin boleh diperolehi daripada hasil pengambilan organ secara paksa, Dr. Jacob Lavee telah mempelopori dalam membuat rangka Undang-Undang Pemindahan Organ Israel yang telah dikuatkuasakan pada tahun 2008, yang pada dasarnya telah mengharamkan pembelian dan penjualan organ manusia.

Perundangan yang telah dikuatkuasakan memberi kesan yang besar dalam mengurangkan pelancongan pemindahan organ dari Israel. Demikian menurut satu kajian yang diterbitkan dalam ‘American Journal of Transplantation’ pada tahun 2012. Di Kanada, undang-undang yang sama sedang dalam rangka kerja. Rang Undang-Undang S-240 untuk memerangi pemerdagangan organ manusia secara sebulat suara telah diluluskan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara pada 27 Februari dan akan diteruskan untuk bacaan terakhir di House of Commons.

Profesor Jacob Lavee (Alex Ma/The Epoch Times)

Menurut laporan dari Organs Watch, sebuah organisasi yang berpusat di Universiti California, mereka telah mengenal pasti pelancong pemindahan organ dari Kanada sebagai antara pembeli organ utama di dunia.

Ketua pemindahan buah pinggang di Hospital St Michael di Toronto, Dr. Jeff Zaltzman mengatakan bahawa sekurang-kurangnya 50 orang pesakitnya telah pergi ke China untuk pemindahan organ. Dr. Zaltzman berkata dalam satu forum pada tahun 2014 mengenai pemindahan organ secara paksa, bahawa apa yang berlaku di China telah dicipta melalui langkah penyelesaian jenis penderma organ dari pihak ketiga yang tidak ditemui di negara maju seperti Kanada. Dr. Zaltzman memanggil mereka sebagai “penderma mati yang masih hidup.”

Kata Dr. Zaltzman, “Mereka masih hidup dan kemudian mereka mati. Jadi itulah istilah yang unik kepada keadaan di China.”

Sebuah dokumentari bertajuk “Killing to Live : The Dark Side of Transplant Tourism in China” terbitan TV Chosun di Korea Selatan, mendedahkan bahawa kira-kira 3,000 orang Korea telah menerima organ di China dalam setahun sejak tahun 2000.

Dokumentari yang diterbitkan adalah mengenai penyiasatan dan pendedahan di pusat pemindahan organ di Hospital Pusat Tianjin di China. Pihak hospital dengan sepenuh keyakinan boleh memberi jaminan bahawa organ didapati daripada “penderma muda yang sihat” apabila diminta.

endtransplantabuse.org / Gambar Hiasan

Hospital tiga tingkat yang mempunyai 500 katil pesakit pemindahan, yang dibina khas bagi pesakit pemindahan organ antarabangsa dengan bilik pembedahan berfungsi dan beroperasi selama 24 jam sehari.

Seorang jururawat senior memberitahu wartawan penyiasat, “Di China, organ-organ mudah didapati. Saya tidak tahu dari mana ia datang. Ia hanya mengambil masa selama dua jam bagi mereka untuk membawa organ-organ terkini di sini.” Jururawat ini menambah pemindahan hati berharga USD130,000 (RM529,308.00).

Pesakit dari negara lain telah pergi ke China untuk pemindahan organ juga. Laman sesawang Hospital Zhongshan di Shanghai menyatakan bahawa hospital ini telah menarik para pesakit dari lebih 10 negara dan wilayah, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Kanada, Korea Selatan, Hong Kong, Macau, dan Taiwan.

Sumber lambakan organ manusia yang merancakkan industri pemindahan organ yang amat lumayan China telah didedahkan oleh peguam hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa – David Matas yang berasal dari Winnipeg, Kanada serta mantan menteri kabinet, David Kilgour.

Mereka telah mengeluarkan dua laporan siasatan, satu pada tahun 2006 dan satu lagi pada tahun 2016 yang menunjukkan bahawa tahanan agama dan politik tanpa bicara terutamanya pengamal Falun Dafa yang ditahan atas kepercayaan mereka, menjadi penyumbang dan sumber utama kepada penuaian organ secara paksa semasa mereka masih hidup. Dalam erti kata lain, golongan tidak bersalah ini telah dibunuh untuk mendapatkan organ mereka.

Peguam dan bekas Menteri Kabinet Kanada, David Kilgour (Jonathan Ren / The Epoch Times)

‘Saya tidak tahu penderma akan dibunuh’

Seorang penyelidik Amerika bernama Ethan Gutmann telah menulis satu laporan bertajuk “Bloody Harvest / The Slaughter : An Update” yang telah menyenaraikan beberapa kes pelancongan pemindahan organ ke China.

Kebanyakan mereka yang tergolong dalam kumpulan ini telah diuruskan oleh broker. Pada bulan Februari 2001, sekumpulan sembilan pesakit telah mengembara dari Asia Tenggara ke Hospital Taiping untuk pemindahan organ. Sembilan pembedahan pemindahan organ telah diselesaikan dalam masa dua hari, bersama empat orang yang lain.

Sekumpulan tujuh pesakit yang mengembara ke China dari Hong Kong untuk pemindahan buah pinggang semuanya telah selamat menjalani pembedahan pada hari yang sama dan telah dibenarkan pulang ke rumah seminggu kemudian. Seorang wanita dari Taiwan telah pergi ke China untuk menjalani pemindahan buah pinggang melaporkan telah melihat sekurang-kurangnya 10 pesakit lain sedang menunggu pembedahan pemindahan organ atau sedang pulih selepas menjalani pembedahan.

Sementara itu, beberapa penerima pemindahan yang ditemui selepas menyedari hakikat dan perkara sebenar yang sedang berlaku, bahawa “penderma” telah meninggal dunia semasa dalam proses mengeluarkan organ dan ketika itu mereka masih sihat dan hidup, kini berasa gusar dan bersalah dengan pengetahuan yang agak mengganggu fikiran itu.

Seorang warga Taiwan bernama RouRou Zhuang berkata dalam satu dokumentari bertajuk ‘Human Harvest’, “Saya berasa amat terkejut selepas mendengar sumber organ tersebut. Saya berasa amat sedih bahawa saya turut mengambil bahagian dan terlibat sama dalam perkara ini. Saya ingin menceritakan kisah saya supaya semua orang tahu mengenainya.” Wanita ini telah menerima buah pinggang yang baru dari China.

Warga Taiwan Xiusong Tu dalam rancangan dokumentari ‘Human Harvest’ (Human Harvest/ The Epoch Times)

Sementara itu, seorang penerima organ dari Taiwan bernama Xiusong Tu berkata sambil menitiskan air mata, “Apabila saya pergi ke China untuk menjalani pemindahan organ, saya tidak tahu penderma akan dibunuh.”

Pesakit dari Jepun bernama Hokamura Kenichiro pula berasa amat terkejut apabila mendapati betapa mudahnya untuk mendapatkan pemindahan organ dari China. Menurutnya, sepuluh hari selepas menghubungi seorang broker Jepun di China, dia sudah berada di sebuah hospital di Shanghai dan berbaring di bilik pembedahan untuk menerima buah pinggang yang baru. Seorang doktor hanya melakukan pemeriksaan kesihatan ke atasnya pada pagi itu. Kata Hokamura, “Ia berlaku begitu pantas dan saya berasa takut. Harga yang perlu dibayar untuk organ itu ialah USD80,000 (RM326,000).”

Hokamura merupakan salah seorang daripada beratus-ratus warga Jepun yang telah melakukan perjalanan ke China untuk menjalani pemindahan buah pinggang, hati, atau jantung, demikian menurut satu laporan pada tahun 2016.

Laporan itu mendapati banyak kejadian di mana beberapa organ diperolehi untuk pesakit yang sama, sama ada disebabkan oleh penolakan organ atau sebagai alat ganti. Dalam satu kes, lapan organ ganti telah diperolehi untuk pesakit yang sama. Para penyelidik berkata sebanyak 60,000 hingga 100,000 kes pemindahan organ berlaku di China setiap tahun, dengan majoriti terbesar diperolehi sumbernya daripada pengamal Falun Dafa.

‘Organ Crimes’ lukisan minyak oleh Xiqiang Dong / The Epoch Times

Falun Dafa, atau Falun Gong, adalah amalan kerohanian tradisional dengan prinsip Sejati, Baik, Sabar dilaporkan mempunyai kira-kira 100 juta pengamal pada akhir tahun 1990-an. Oleh kerana berasa tergugat dengan populariti amalan kerohanian ini yang semakin berkembang, maka pemimpin Parti Komunis China, Jiang Zemin telah melakukan kempen penganiayaan terhadap pengamal Falun Gong pada bulan Julai 1999 yang berterusan sehingga ke hari ini.

Para penyelidik mendapati bahawa sementara ada juga negara lain di dunia yang telah melakukan salah laku jenayah dalam kes pemindahan organ manusia secara haram, perbezaan di China adalah bahawa ia telah dipersetujui dan digalakkan oleh kerajaan dan negara itu mendapat keuntungan yang besar daripadanya.

Rang Undang-Undang Pemerdagangan Organ Manusia di Kanada

Dalam satu forum mengenai pemindahan organ secara paksa di Hospital Besar Toronto pada 29 Oktober 2014, di mana dilema pelancongan pemindahan organ telah dibincangkan, Dr. Jeff Zaltzman menerangkan keadaan pesakitnya yang telah pergi ke China untuk menjalani pembedahan pemindahan organ.

Katanya, “Saya mempunyai seorang pesakit lelaki muda yang mempunyai dua bekas luka pembedahan. Buah pinggang pertamanya yang dipindahkan di China tidak berfungsi dengan baik dan dalam jangka masa beberapa hari, dia sudah selesai menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang kali kedua. Perkara ini tidak akan berlaku di Kanada.”

Walaupun sesetengah doktor sedia maklum dan menyedari pesakit mereka boleh menjadi pendorong kepada pembunuhan yang sedang berleluasa di China, mereka tidak tahu apa yang mereka boleh lakukan mengenainya.

Sesetengah negara, termasuk Sepanyol, Taiwan, Itali, dan Israel, telah meluluskan undang-undang yang bertujuan menghalang rakyat mereka pergi ke luar negara untuk menjalani pembedahan pemindahan organ.

Perundangan serupa sedang dibincangkan dalam House of Commons di Kanada. Rang Undang-Undang S-240, yang diluluskan sebulat suara di Senat pada Oktober lalu, akan menjadikannya suatu kesalahan jenayah di Kanada untuk menerima suatu organ di luar negara tanpa persetujuan daripada penderma, dan ia juga akan menjadikan orang yang terlibat dalam pengambilan organ secara paksa di mana-mana tempat di dunia tidak akan diterima di Kanada.

Bercakap kepada Jawatankuasa Tetap mengenai Hal Ehwal Luar Negara dan Pembangunan Perhubungan Antarabangsa pada 26 Februari, David Matas berkata perundangan sedemikian mampu memberi kesan yang besar.

Peguam Hak Asasi Manusia David Matas (Matthew Little/The Epoch Times)

David Matas memberitahu jawatankuasa itu melalui telefon, “Di Taiwan dan Israel, ia telah memberi kesan yang dramatik. Masalah di kedua-dua negara adalah pelancongan pemindahan organ ke China.”

“Selepas undang-undang ini diluluskan di Israel, ia menjadi daripada perkara biasa kepada berkurangan secara beransur-ansur. Kini Taiwan juga sudah meluluskan undang-undang yang sama, dan ia telah mengalami kemerosotan yang ketara dalam pelancongan pemindahan organ ke China. Oleh itu, sejak pengenalan undang-undang ini di kedua-dua negara telah memberi impak yang sangat berkesan.”

Dr. Jeff Zaltzman pula berkata jika undang-undang ini diluluskan di Kanada, beliau akan menyokongnya sebagai satu cara untuk membantu menangani dilema yang sedang dihadapi oleh para doktor. Katanya, “Ia akan menjadi satu langkah yang besar demi masa hadapan.”

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL Kebenaran

Video Popular