Gaji seorang jurupam stesen minyak adalah hanya RM1,100 sebulan, tetapi untuk Abu Zarin Sanny, itulah jumlah pendapatan untuk menyara hidupnya dan isteri serta 80 ekor kucing mereka.

Kelab Pencinta Kucing Malaysia|Facebook

Menurut mStar, lelaki yang berusia 60 tahun itu membelanjakan kira-kira RM780 daripada gajinya setiap bulan untuk memberi makan haiwan peliharaan mereka. Kira-kira 70% atau tiga perempat daripada gajinya! Beliau telah menjadi tular di Facebook kerana kisahnya yang penuh inspirasi.

Abu Zarin mengatakan bahawa beliau tidak kisah untuk mengikat perut demi memastikan kucingnya tercinta cukup makan.

“Walaupun muka saya nampak garang, tetapi hati saya penyayang. Saya hanya tinggal berdua dengan isteri, saya anggap kucing-kucing ini macam anak sendiri. Saya lebih utamakan kucing-kucing, saya tidak kisah kalau makan ala kadar. Tetapi, saya dan isteri tidak pernah tidak cukup makan, pandai-pandailah bajet,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Kelab Pencinta Kucing Malaysia|Facebook

Abu Zarin berkata, beliau sudah menganggap kucing-kucingnya itu macam anaknya sendiri kerana beliau dan isteri tidak dikurniakan cahaya mata sejak mendirikan rumah tangga sejak 15 tahun yang lalu.

Beliau menambah bahawa merasa simpati apabila melihat tiada siapa yang peduli dengan kucing jalanan, berkata, “Saya memang jenis sayang kucing… kalau kucing mati, saya memang akan menangis.

“Saya tidak suka binatang dianiayai, dilanggar dan ditendang. Saya memang pantang kalau tengok manusia yang tidak berhati perut buat macam tu pada haiwan. Janganlah buat macam itu dengan binatang walaupun pada seekor anjing. Kalau tidak suka pun, halau sajalah, tetapi jangan apa-apakannya,” ujarnya dalam nada sayu.

Beliau juga berkongsi bahawa sebelum ini beliau tidak dapat memelihara banyak kucing kerana tinggal di taman perumahan di Seri Manjung, Perak kerana terdapat jiran yang tidak menyukainya, tetapi sejak beliau pulang ke kampung halamannya di Alor Gajah, Melaka, Abu Zarin dapat membina ruang khas untuk meletakkan sangkar kucingnya.

Kelab Pencinta Kucing Malaysia|Facebook

Selain daripada menggunakan wang pendapatannya untuk membeli makanan kucing dan membaiki sangkar yang usang, Abu Zarin turut menjual tin dan botol terpakai di tempat kitar semula bagi menampung perbelanjaan bulanan.

“Berdekatan dengan tempat kerja saya ini ada banyak bahan buangan seperti kotak, botol dan tin. Sambil-sambil itu saya ambil dan jual untuk tampung kos beli makanan kucing. Tetapi, bukan banyak pun yang dapat. Gaji saya dalam RM1,100, itu pun belum potong Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), lepas tolak itu ini, dapatlah dalam RM800 lebih sebulan,” katanya.

Akibat daripada kekangan kewangan, Abu Zarin hanya mampu memberikan tiga skup makanan sehari kepada setiap ekor kucingnya.

Kelab Pencinta Kucing Malaysia|Facebook

Pasangan tersebut mengalu-alukan jika ada pihak yang sudi menyumbangkan bantuan makanan kucing dan wang tambahan untuk menampung kos memelihara kucing-kucing tersebut.

Sumber: Kelab Pencinta Kucing Malaysia|Facebook, mStar

 

 

 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular