Walaupun isu pencemaran sungai Kim Kim masih lagi belum reda, muncul satu lagi kes yang melibatkan pencemaran sungai telah tular di Twitter.

Difahamkan setakat ini terdapat sebanyak 2.43 tan sisa toksik yang dikumpulkan daripada sungai Kim Kim.

Kita mungkin berfikir bahawa isu hangat berkenaan membuatkan lebih ramai orang di luar sana mempunyai kesedaran untuk tidak membuang sisa sampah di sungai, bukan?

Seorang pengguna di Twitter telah berkongsi satu video yang dipercayai berlaku di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Rakaman selama 44 saat tersebut menunjukkan sisa buangan berbentuk cecair bewarna hitam dilepaskan ke sungai, membuatkan semua tertanya-tanya tentang amalan pengurusan sisa buangan yang seharusnya dipraktikkan.

Tweet video berkenaan bertulis, “Lihatlah bagaimana sisa buangan ini dilepaskan begitu sahaja ke dalam sungai”. Tweet berkenaan juga turut dipautkan kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bagi meminta perhatian mereka berkaitan dengan perkara yang dibangkitkan itu. “Kami tidak mahu kejadian seperti di Pasir Gudang berulang lagi.”

Majoriti individu lazimnya memandang ringan akan isu ini dan hanya mempunyai kesedaran setelah berlaku sesuatu seperti yang terjadi di Pasir Gudang.

Sudah terhantuk baru terngadah, orang ramai seperti tidak menghiraukan persekitaran mereka yang sedang rakus dimusnahkan oleh tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab sehinggalah mereka sendiri yang menjadi mangsa.

Seperti yang kita dapat lihat, air sungai yang bewarna coklat kekuningan telah bertukar menjadi kehitaman kurang daripada 2 jam.

Prihatin terhadap tindakan tidak bertanggungjawab berkenaan, terdapat beberapa individu yang membalas tweet tersebut dengan meninggalkan nombor telefon hotline Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ini masanya untuk kita segera melaporkan mana-mana kejadian yang dirasakan memberi ancaman bukan sahaja kepada persekitaran, malah terhadap manusia secara amnya. Jalankan tanggungjawab anda agar kejadian buruk di Pasir Gudang baru-baru ini tidak akan berlaku lagi.

Sumber: World of Buzz , @mathissarawanan|Twitter

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL VIDEO

Video Popular