Ketika remaja lain menikmati masa remaja mereka dengan keluar bersama rakan, menonton wayang dan melakukan aktiviti sosial, lain pula yang dilakukan oleh remaja lelaki ini. Pada usianya 18 tahun Janryl Tan sudah mula bekerja untuk menampung yuran kuliahnya sepanjang dia belajar di University of Cebu. Pelajar kursus kejuruteraan awam ini dikatakan telah bekerja sebagai penjaga keselamatan pada waktu malam.

Statistik yang dikeluarkan oleh Lembaga Statistik Filipina menunjukkan bahawa 1 daripada 10 orang Filipina tercicir dalam pelajaran mereka akibat masalah kemiskinan. Namun Tan tidak mahu menjadikan kemiskinan sebagai alasan untuk dia tidak mencapai impiannya dan kini dia boleh berbangga dengan diploma kepujian yang diraih.

The Freeman

Tan datang daripada keluarga yang berantakan. Ibu bapanya telah berpisah dan meninggalkan Tan serta adik-beradiknya bersama ayah mereka, Jerry. Keluarga mereka sering berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain memandangkan mereka tidak mempunyai tempat tinggal yang stabil.

Apabila mereka berpindah ke bandar Cebu, Tan teringat bahawa mereka sekeluarga telah melakukan perjalanan dan berpindah sekurang-kurangnya 13 kali. Mereka juga pernah tinggal di gerai neneknya di Tabo sa Banay, sebuah pasar barang kering yang popular di pusat bandar Cebu.

Tidak lama selepas itu, dia kehilangan dua daripada empat adiknya akibat denggi.

Bertekad untuk mengubah nasibnya kepada yang lebih baik telah memberi motivasi kepada Tan untuk belajar dan bekerja pada masa yang sama.

Dia mengakui bahawa sukar untuk pergi ke kelas pada siang hari dan bekerja pada waktu malam. “Ia sukar,” Tan memberitahu The FREEMAN. “Ada kalanya anda tidak dapat menahan rasa mengantuk.”

Facebook/Superbalita Cebu

Rutin hariannya bermula seawal pukul 6 pagi ketika dia bersiap untuk kelas dan pada jam 6 petang, dia bersiap sedia untuk tugas berjaga malam. Dia terpaksa meronda kampung, memantau CCTV, menulis laporan dan kadang-kadang membantu penduduk yang memerlukannya.

Walaupun jadual hariannya begitu padat, namun Tan enggan berputus asa. Dia mengimpikan untuk memberikan sebuah rumah untuk keluarganya dan itulah antara sebab mengapa dia mengambil kursus kejuruteraan.

Walau bagaimanapun, semua itu tidak semudah yang difikirkannya lebih-lebih lagi apabila dia mengetahui akan harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan segulung diploma.

Sebagai pelajar, Tan menerima P15,000 (sekitar RM 1,160) setiap semester dari Pesuruhjaya Pengajian Tinggi manakala dia terpaksa membayar antara P19,000 (sekitar RM1,469) dan P23,000 (sekitar RM 1,780) untuk yuran pengajiannya.

Syukurlah, apabila terdapat jawatan kosong pengawal di kampung, Tan segera merebut peluang tersebut. Dengan bekerja, dia berjaya mendapatkan P6,500 (sekitar RM 500) dan dia menggunakan wang berkenaan untuk membayar yuran pengajian.

Melihat semula perjalanan hidupnya membuatkan Tan sedar bahawa semuanya tidak akan boleh dicapai melainkan dengan memiliki sikap positif.

Facebook

“Jika anda mempunyai impian untuk belajar, lakukannya. Kemiskinan bukan halangan. Tabahlah dan bersikap positif. Jangan bergantung pada ibu bapa anda untuk mendapatkan bantuan. Sebaliknya, anda harus memahami keadaan mereka,” katanya.

“Anda perlu melakukan sesuatu untuk mencapai impian anda.”

Sumber: The Freeman

Maybe you're interested :

Share

Video Popular