KUALA LUMPUR:  Selepas seminggu usaha mencari mangsa serangan pengganas di masjid Chrischurch, New Zealand, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi yang hilang sejak kejadian berdarah itu disahkan meninggal dunia.

Memetik Sinar Harian, pengesahan terbabit dilaporkan Exco Jawatankuasa Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Pooh, pada 11.20 malam ini.

“Kedutaan Malaysia sudah terima maklumat bahawa Haziq sudah meninggal dunia,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Misteri kehilangan Mohd. Haziq Tarmizi (dalam bulatan) akhirnya terungkai selepas disahkan terkorban dalam serangan di masjid, New Zealand, minggu lalu. – Facebook

Haziq, remaja berusia 17 tahun merupakan anak kedua Mohd Tarmizi Shuib, 42, rakyat Malaysia yang parah dalam serangan di Masjid Al Noor.

Difahamkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof akan bertolak ke Christchurch bagi mewakili kerajaan Malaysia untuk menyertai solat jenazah dan khutbah Jumaat di negara berkenaan.

Phee berkata, kerajaan New Zealand cukup teliti dan mematuhi prosedur berkaitan akta peribadi, tambahan pula banyak kematian berlaku dalam kes berkenaan.

“Berikutan itu, pengesahan daripada keluarga perlu dilakukan dengan teliti termasuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebelum sebarang pengumuman dilakukan.

“Saya bersama ibu mangsa malam tadi,” katanya.

Gambar kenangan Mohd. Haziq bersama bapanya, Mohd Tarmizi Shuib. – Facebook

Ketika insiden serangan pengganas ektrimis, Tarmizi bersama dua anaknya, Mohd Haris, 12, dan Haziq hadir untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

Bagaimanapun, Mohd Haris terselamat tetapi trauma manakala bapa mereka parah ditembak.

Insiden serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand itu mengorbankan 50 individu serta mencederakan puluhan yang lain, termasuk tiga rakyat Malaysia, pada jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan), Jumaat lalu.

Selain Mohd Tarmizi dari Alor Setar, Kedah, dua lagi rakyat Malaysia yang tercedera akibat serangan itu ialah Rahimi Ahmad, 39, dari Kampung Binja, Bayan Lepas dan Mohd Nazri Hisham Omar, 46, dari Shah Alam, Selangor.

Portal Rasmi Kementerian Luar Negeri Malaysia

Ketiga-tiga mereka kini menerima rawatan di Hospital Christchurch, New Zealand.

Sementara itu, Kementerian Luar mengesahkan, Mohd. Haziq antara 50 mangsa yang terkorban dalam insiden berdarah, minggu lalu.

Menurut kenyataan itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia akan memberikan bantuan kepada keluarga bagi proses pengebumian berkenaan.

“Allahyarham adalah anak kepada Mohd Tarmizi yang cedera semasa serangan berlaku. Turut cedera yang lain ialah Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.

“Kerajaan Malaysia menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham,” katanya, hari ini.

Sumber: Harian Metro, Sinar HarianPortal Rasmi Kementerian Luar Negeri Malaysia

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL NASIONAL

Video Popular