Dafne Almazan, gadis Mexico yang dilahirkan dengan bakat dan kepintaran luar biasa apabila sudah mahir membaca dan menulis pada usia 6 tahun, dan menamatkan sekolah menengah pada usia 10 tahun. Anak pintar dan berbakat ini fasih dalam empat bahasa dan menjadi ahli psikologi termuda di dunia pada usia 13 tahun selepas menerima ijazah sarjana muda dari Institut Teknologi dan Pendidikan Tinggi Monterrey (ITESM).

Lebih mengagumkan, remaja pintar berusia 17 tahun ini telah bersedia untuk memasuki program pasca siswazah di Universiti Harvard, menjadikannya warga Mexico pertama di bawah umur 18 tahun yang mendaftarkan diri dalam pengajian sarjana di institusi pengajian paling berprestij di Amerika Syarikat itu dalam masa 100 tahun.

Centro de Atención al Talento / Facebook

Di Universiti Harvard, Dafne Almazan akan meneruskan pengajian sarjana dalam jurusan pendidikan matematik.

Dafne berkata kepada Remezcla, “Kita sering menganggap matematik itu sukar, tetapi ia adalah sebahagian daripada kehidupan dan kita memerlukan strategi supaya subjek ini dapat diajar dengan cara yang lebih menyeronokkan sehingga dapat menarik minat kanak-kanak.”

Centro de Atención al Talento / Facebook

Dengan semua pencapaian yang telah diperolehi setakat ini, secara jelas ia menunjukkan bahawa Dafne adalah seorang anak pintar berbakat yang mempunyai IQ lebih daripada 130, menurut ukuran yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Malahan, Dafne adalah salah seorang anak pintar daripada kalangan 1 juta kanak-kanak pintar dan berbakat  di Mexico.

Anda salah jika berfikir kanak-kanak berbakat sentiasa menghabiskan masa mereka dengan belajar di perpustakaan.

Kata Dafne kepada Global Post, “Kami tidak perlu melepaskan zaman kanak-kanak dan remaja hanya semata-mata kerana kami ini pintar dan berbakat, kamu tahu.”

Centro de Atención al Talento / Facebook

Seperti yang dikatakan oleh pepatah Inggeris, “Semuanya kerja dan tidak bermain membuat Jack seorang budak lelaki yang membosankan.” Selain tekun belajar, pada masa lapangnya, Dafne bermain piano dan mengajar bahasa Mandarin kepada kanak-kanak.

Dafne juga mengikuti kelas balet, gimnastik, luncur ais, taekwondo, dan gemar menghasilkan lukisan minyak.

“Semasa kanak-kanak selain belajar, saya juga sering bermain. Saya belajar bermain alat muzik dan berjalan bersama anjing kesayangan,” kata Dafne kepada The Yucatan Times.

Dafne gadis pintar yang berbakat ini turut tersenarai sebagai salah seorang daripada 50 wanita Mexico yang paling berkuasa oleh Forbes pada tahun 2015.

Centro de Atención al Talento / Facebook

Dafne berpendapat, “Kanak-kanak pintar yang berbakat di Mexico sering dilihat dengan pandangan stereotaip, salah diagnosis, dan kurang difahami oleh masyarakat.”

“Mereka adalah kanak-kanak biasa seperti mana kebanyakan orang lain, hanya yang berbeza ialah IQ mereka lebih tinggi daripada golongan masyarakat lain,” kata bapa Dafne, Asdrubal Almazan, seorang doktor dan pengarah di Yayasan CEDAT (Centro de Atención al Talento).

Menurut CEDAT, kira-kira 93 peratus kanak-kanak berbakat telah disalah diagnosis dengan gangguan hiperaktif kekurangan perhatian (ADHD), yang telah menyebabkan anak berbakat ini kehilangan kebolehan dan potensi mereka. Hanya 4 peratus kanak-kanak yang berbakat di Mexico menjadi orang dewasa yang mampu menggunakan kebolehan dan bakat mereka dengan arah yang betul.

Oleh itu, untuk menangani masalah ini, bapa Dafne telah menubuhkan institut CEDAT untuk mengajar pelajar pintar dan berbakat.

Centro de Atención al Talento / Facebook

Bagi Dafne, dia bukan satu-satunya anak yang berbakat dalam keluarganya, malahan abangnya, Andrew Almazan, juga seorang anak pintar dan berbakat.

Asdrubal Almazan berkata, “Penubuhan CEDAT bermula daripada keperluan peribadi, apabila saya menyedari  Andrew mempunyai kemampuan intelektual pada tahap genius. Ketika berusia 9 tahun, dia mengalami masalah pembelajaran di sekolah. Dia lebih pintar dari kanak-kanak lain, sering membetulkan guru-gurunya, mengalami kebosanan dan seorang pembuli. “

Pada masa ini, terdapat lebih 300 kanak-kanak pintar dan berbakat yang belajar di institut CEDAT. Sejak penubuhannya, institut itu telah menerima lebih daripada 4,000 orang pelajar.

Centro de Atención al Talento / Facebook

Di Institut CEDAT, pelajar diajar dengan menggunakan ‘Noumenic Methodology’, sebuah model pendidikan khas yang direka oleh Andrew untuk membangunkan bakat anak-anak pintar luar biasa.

Selain itu, Andrew juga membuat profil psikologi bagi mengenal pasti kanak-kanak berbakat, yang mempunyai ciri-ciri seperti hiperaktif, pembelajaran pesat, gangguan, dan mempunyai perbendaharaan kata yang luas dan luar biasa.

Andrew berkata, “Saya cuba menghalang dan membantu kanak-kanak pintar lain daripada mengalami pengalaman yang sama seperti mana yang saya pernah lakukan. Orang Mexico sangat kurang dimaklumkan mengenai apa itu yang dikatakan intelektual tahap genius dalam konteks kanak-kanak. Kanak-kanak pintar luar biasa sering disalah diagnosis dengan ADHD, dan ibu bapa tidak tahu bagaimana untuk menangani masalah mereka. Ramai yang ditolak dan dipulaukan oleh rakan sekelas serta guru mereka.”

Centro de Atención al Talento / Facebook

Bagi Dafne, dia merancang untuk mengajar matematik di Mexico selepas menamatkan pengajian dari Universiti Harvard.

Dafne berkata, “Rancangan saya ialah untuk bekerja dan mereka cipta bentuk model dalam teknik pembelajaran matematik kepada kanak-kanak pintar dan berbakat, yang merupakan salah satu fokus dalam pengajian sarjana.”

Centro de Atención al Talento / Facebook

“Saya tahu bagaimana sukarnya untuk mendekati dan membimbing semua kanak-kanak pintar dan berbakat di Mexico, tetapi saya optimis bahawa pada satu hari kelak, akhirnya kami akan berjaya melakukannya,” kata Dafne kepada USA Today pada 2015.

Semoga Dafne Almazan terus maju jaya dan menemui kejayaan dalam merealisasikan impiannya yang mulia iaitu untuk membimbing dan menghasilkan lebih ramai golongan bijak pandai yang tidak mensia-siakan bakat mereka di Mexico.

Sumber : The Epoch Times

Maybe you're interested :

Share

Video Popular