Pada satu petang yang lewat, seorang suami pulang ke rumah selepas mengharungi hari sukar yang panjang di tempat kerja. Sebaik masuk ke dalam rumah, dia terus duduk di atas sofa dan membuka televisyen untuk menonton perlawanan bola sepak.

Suami ini menjeling ke arah isterinya yang cuba mententeramkan anak lelaki mereka yang sedang menangis sementara anak perempuan yang berusia dua tahun sedang berlari-lari ke sana sini sambil membuat sepah dengan permainannya. Oleh kerana tidak tahan mendengar pelbagai bunyi yang bising, suami ini telah meninggikan suara televisyen.

Si isteri bingkas menoleh dan memandang suaminya sambil berkata, “Kamu tahu tak, ia tidak akan membunuh kamu pun jika dapat menolong saya walau sedikit!” Isteri ini berjalan ke arah televisyen itu sambil memperlahankan suaranya.

Maka, si suami menjadi marah dan bertindak balas dengan berkata, “Saya terasa bagai hamba bekerja setengah mati di luar sana dan kamu ini buat apa di rumah? Duduk dalam rumah ini dan bermain dengan anak-anak. Boleh tak kamu semua diam sikit dan biarkan saya menonton televisyen ini dengan aman!”

Sekadar Gambar Hiasan

Mendengar herdikan suaminya yang jelik, isteri ini terus terdiam dan tidak mahu berkata apa-apa lagi. Mungkin ini adalah perkara biasa yang mereka selalu tengkarkan dan ia bukan pertama kali.

Kemudian isteri ini mengemas dan memenuhkan bagasinya lalu meninggalkan rumah tanpa pengetahuan suaminya yang sedang khusyuk menonton perlawanan bola sepak.

Sekadar Gambar Hiasan

Tidak lama kemudian, si suami naik ke tingkat atas dan mendapati isterinya sudah tiada dan dia tidak ditemui di mana-mana pun di dalam rumah itu. Suami ini mencari isterinya. Telefon pintarnya tidak diangkat dan dia juga tidak meninggalkan apa-apa nota. Pada keesokan pagi, isterinya juga tidak muncul dan pulang ke rumah menyebabkan suami ini terpaksa menelefon pejabat mengatakan dia tidak dapat datang bekerja pada hari itu kerana terpaksa menjaga anak-anak.

Pada hari itu, suami ini terpaksa melakukan kerja memasak dan membersih untuk anak-anaknya. Si ayah juga perlu memastikan yang dirinya sentiasa bersedia melayan kerenah anak-anak ini yang lasak dan nakal. Mereka juga tidak suka dibiarkan kebosanan atau tidak dipedulikan. Jika tidak anak-anak ini akan membuat perangai yang pelbagai.

Selama satu hari itu, si ayah telah bergegas ke sana ke mari melayan semua kemahuan anak-anak. Selepas mereka bermain, si ayah perlu membersihkan keseluruhan rumah itu dan pada waktu malam kerja memujuk dua orang si kecil ini untuk masuk tidur bukanlah satu perkara mudah.

Sekadar Gambar Hiasan

Pada keesokan hari, isterinya tidak menunjukkan tanda-tanda yang dia akan pulang ke rumah. Jadi suami ini sekali lagi terpaksa menelefon pejabat untuk mengambil cuti kecemasan dengan memberi alasan yang sama, yang dia terpaksa menjaga anak-anak.

Pada hari kedua selepas mengharungi hari yang sama dengan cara yang amat meletihkan dan lebih hebat daripada menjadi hamba di tempat kerja, suami ini telah menulis satu surat terbuka dan memuat naiknya di media sosial.

Kepada isteriku yang tercinta,

Dua hari yang lalu kita telah bertengkar sedikit. Pada waktu itu lebih kurang pukul 8 malam, saya pulang dari tempat kerja dalam keadaan yang sungguh penat dan saya hanya memfokuskan diri sendiri di hadapan televisyen sambil menonton perlawanan bola sepak.

Kamu nampak letih dan rasanya angin kamu sangat buruk dan saya pula tidak memahaminya mengapa pula kamu menjadi begitu. Tangan kamu penuh kerana mendukung Evan dan Leia pula sedang berlari-lari sambil membuat sepah. Saya tidak mahu mengambil tahu tentang semua itu lalu telah meninggikan suara televisyen.

Sekarang baru saya memahami mengapa kamu berperasaan seperti itu. Saya benar-benar telah memandang rendah dengan apa yang telah kamu lakukan di dalam rumah ini. Apa yang telah kamu lakukan demi menjaga anak kita dan juga demi menjaga saya. Saya tidak dapat mengukur sejauh mana ketahanan dan kesabaran yang berada di dalam diri kamu kerana terpaksa melalui semua ini seorang diri disebabkan saya tidak memberikan bantuan langsung untuk meringankan beban kamu.

Saya berasa seperti terkurung di dalam rumah sendiri. Saya sentiasa berjaga-jaga dalam memastikan keselamatan dan kebajikan anak-anak kita, dan pada masa yang sama saya perlu melakukan semua kerja rumah ini. Saya tidak senang duduk dan tiada masa untuk bertenang hampir sepanjang hari, dan saya juga tidak dapat berbual dengan orang yang berumur lebih dari 5 tahun dalam masa dua hari ini.

Saya berasa amat letih secara mental dan fizikal. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana kamu boleh bertahan melakukan kesemua perkara ini selama bertahun-tahun. Dalam masa dua hari ini, saya merasakan saya memerlukan tidur selama 20 jam untuk mendapatkan kembali semua tenaga saya. Tetapi, semua itu tidak akan berlaku kerana setiap tiga jam, Evan akan bangun menangis dan mengejutkan saya untuk membuatkan makanannya.

Baru saya memahami mengapa kamu menjadi begitu kecewa dengan sikap saya yang langsung tidak mahu membantu kamu walhal sebenarnya saya boleh. Kini saya mengetahui betapa besarnya pengorbanan kamu. Tahap keletihan saya di tempat kerja tidak dapat menandingi tahap keletihan yang kamu alami setiap hari dari siang ke malam dalam seminggu.

Saya menyedari kamu meninggalkan kerjaya bukan kerana kemahuan sendiri tetapi disebabkan kamu tiada pilihan, dan saya pula tidak akan meninggalkan pekerjaan saya. Kamu melakukan semua ini tanpa dibayar dan tidak mendapat apa-apa pengiktirafan.

Saya menyedari bahawa pengorbanan kamu sangat besar ertinya. Kamu tidak lagi dapat keluar dengan rakan-rakan, pergi bersenam atau dapat tidur dengan aman pada waktu malam kerana menjadi seorang suri rumah adalah satu tugas dan pekerjaan selama 24 jam 7 hari seminggu. Saya tidak pernah sekali pun menghargai kamu dan kini saya menyedari bahawa kamu seorang wanita yang sungguh hebat dan mengagumkan.

Saya menulis surat terbuka ini untuk memberitahu bahawa saya amat merindui kamu dan saya juga mahu kamu mengetahui yang diri kamu tiada tukar gantinya untuk diri saya. Saya akan sentiasa terhutang budi di atas segala pengorbanan yang telah kamu lakukan demi kebahagiaan rumah ini dan keluarga kita.

Dengan cinta dan kasih sayang,

Suami yang sentiasa menanti kepulanganmu.

Sekadar Gambar Hiasan

Ramai netizen yang telah bersetuju dengan pengakuan suami ini bersama hakikat bahawa suri rumah tangga tidak diberikan pengiktirafan yang sewajarnya berbanding dengan pekerjaan yang telah mereka lakukan. Ramai suri rumah yang memberi komen bahawa mereka mengalami pengalaman yang sama di mana mereka tidak dihargai oleh pasangan masing-masing dan pengorbanan mereka sering diambil kesempatan.

Pada zaman ini, kebanyakan pasangan adalah suami isteri yang bekerja di mana pada masa yang sama terpaksa menguruskan rumah tangga dan anak-anak. Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, sebuah keluarga tidak lagi dapat bergantung kepada seorang penyara keluarga tunggal. Kedua-dua suami dan isteri perlu bekerja demi memenuhi keperluan dan perbelanjaan keluarga.

Terdapat juga pasangan yang terpaksa mengorbankan kerjaya sendiri dan menjadi ibu bapa yang tinggal di rumah demi menjaga rumah tangga dan anak-anak, dan ini biasanya akan menjadi pengorbanan para isteri. Ramai suri rumah tangga berasa keletihan dengan pekerjaan tanpa henti ini, menjaga anak-anak dan melakukan kerja rumah yang tidak pernah habis.

Apa yang menyedihkan ramai suami yang tidak mengetahui betapa sukarnya pekerjaan 24 jam ini dan kebanyakannya tidak pernah membantu atau mengambil tahu melainkan dengan hanya tahu memberikan rungutan.

Kunci untuk satu perhubungan suami isteri yang sihat ialah amalan komunikasi yang baik serta perasaan empati.

Sekadar Gambar Hiasan

Setiap pasangan perlu berkomunikasi di antara satu sama lain dan mempelajari untuk berasa simpati serta memahami perasaan di antara satu sama lain supaya tiada salah satu pasangan yang akan mengambil kesempatan.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share

Video Popular