Guru yang baik seharusnya melayan serta mendidik setiap pelajar secara adil dan saksama. Bercakap sahaja amat mudah, tetapi untuk melaksanakannya pasti amat sukar. Kebanyakan guru sering menginginkan para pelajarnya mampu secara sendiri mendalami ilmu dengan mudah dan mendapat markah tinggi serta mempunyai sahsiah yang baik. Menerima pelajar bermasalah, kotor dan muram bukan satu perkara yang sering diinginkan oleh seorang guru. Seperti seorang guru ini yang tidak menyukai salah seorang pelajarnya yang bermasalah, kotor dan miskin. Tetapi kemudian dia menyedari persepsinya amat salah selepas mengenali pelajar ini.

Selepas beberapa hari mengajar di sekolah baru, seorang guru menyedari terdapat seorang pelajar lelaki di dalam kelasnya yang duduk di barisan hadapan dalam keadaan dirinya yang tidak terurus, kotor dan pendiam. Di dalam kelas, pelajar ini seperti dipulaukan dan dia juga dilihat tidak bermain dan berbual dengan pelajar lain.

Markah pelajar ini juga agak lemah. Apabila diberikan ujian dan tugasan, guru ini banyak memangkah dengan pen merahnya di atas kertas ujian dan buku kerja pelajar ini. Sehinggakan ia seperti menjadi perkara rutin buat guru ini dan dia nampaknya berasa amat kecewa serta putus asa apabila melihat prestasi pelajarnya yang satu ini.

 

Gambar Hiasan/SAYS

Suatu hari, guru ini telah dikehendaki untuk menyemak rekod dan prestasi lampau setiap pelajar di dalam kelasnya. Guru ini telah meletakkan fail pelajar lemah dan bermasalah itu di bahagian bawah sekali. Tiba giliran pelajar lemah tersebut, guru ini menjadi terkejut apabila membaca rekod dan prestasi lampaunya.

Guru tahun pertama menulis : Pelajar yang amat bijak, sungguh sopan dengan senyumannya yang mampu memberi kebahagiaan kepada orang disekelilingnya.

Guru tahun kedua menulis : Pelajar terbaik yang amat popular di kalangan pelajar lain, tetapi dia semakin murung dan bersedih kerana kesihatan ibunya semakin merosot dan kehidupan keluarganya semakin sukar.

Guru tahun ketiga menulis : Ibunya telah meninggal dunia, dan ia menjadi tamparan hebat buat dirinya. Dia berusaha keras, tetapi bapanya seorang yang tidak bertanggungjawab dan tidak mempedulikannya. Masalah keluarganya telah memberi kesan yang besar dan prestasinya semakin merosot.

Guru tahun keempat menulis : Pelajar yang tidak mahu bergaul dengan pelajar lain dan tidak berminat dalam pelajaran. Dia tiada kawan dan sering tidur di dalam kelas.

Setelah membaca fail pelajar bermasalah ini, kini guru ini memahami mengapa sikap dan penampilan pelajar ini berubah menjadi semakin buruk. Guru ini berasa malu dengan dirinya sendiri kerana secara membuta tuli terus membenci pelajar ini tanpa mengetahui masalah dan situasi sebenar.

Ketika perayaan Krismas menjelang tiba, para pelajar telah berpakat untuk memberi hadiah masing-masing kepada guru mereka. Seperti biasa, para pelajar membungkus hadiah dengan kertas hadiah yang cantik, diikat dengan riben berwarna-warni supaya ia nampak kemas dan cantik.

Gambar Hiasan/Cikgu Share

Tetapi hadiah yang diberikan oleh pelajar lelaki ini agak berbeza dan sedikit aneh. Hadiahnya dibalut dengan beg kertas nipis yang telah diambil dari kedai runcit. Guru ini telah membuka hadiah pemberian pelajar tersebut dan melihat terdapat seutas gelang tangan lama yang telah kehilangan batu kristalnya dan satu botol minyak wangi yang hanya tinggal suku.

Para pelajar lain mencebikkan wajah mereka apabila melihat isi hadiah yang sudah lusuh itu, tetapi guru ini telah memuji hadiah tersebut dengan berkata gelangnya sangat cantik sambil dia mengacukannya di hadapan kelas. Kemudian guru ini mengambil minyak wangi itu dan menyemburnya di pergelangan tangan.

Apabila pelajar ini melihat gurunya yang sedang memuji dan menyembur minyak wangi, dia tidak dapat menahan rasa sebaknya dan menitiskan air mata sambil berkata, “Cikgu, hari ini bau dan cara cikgu sama seperti mana yang biasa ibu saya lakukan.” Sejurus mendengar perkataan tersebut, guru ini juga turut menangis kerana berasa amat sedih mengenangkan betapa pelajarnya yang satu ini amat merindui belaian kasih ibunya.

Semenjak hari itu, guru ini gigih berusaha memperbaiki kemahiran mengajar dan dia juga mempelajari pelbagai kaedah menyampaikan ilmu pengetahuan dengan cara yang lebih berkesan. Di samping itu, guru ini memberikan lebih perhatian kepada pelajar lelaki tersebut dan sering memberinya dorongan serta keyakinan. Sehingga prestasi pelajaran anak ini menjadi semakin baik dari hari ke hari. Menjelang hujung tahun, budak lelaki ini telah menjadi pelajar terbaik di dalam kelasnya.

Gambar Hiasan

Setahun kemudian, guru ini menemui sekeping nota yang diletakkan di bawah pintu. Ia telah ditulis oleh budak lelaki ini. Nota itu berbunyi, “Cikgu adalah guru terbaik yang pernah saya temui di dalam hidup ini”. Enam tahun telah berlalu, guru ini menerima sekeping nota sekali lagi yang berbunyi, “Saya telah berjaya menamatkan pengajian sekolah tinggi dengan cemerlang. Walaupun saya menduduki tempat ketiga, cikgu masih menjadi guru terbaik yang pernah saya temui di dalam hidup ini.”

Selepas beberapa tahun, guru ini menerima sepucuk surat yang telah dihantar budak lelaki ini. Dia telah menulis, “Selepas saya mendapat ijazah pertama, saya membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian lebih tinggi. Cikgu masih menjadi guru terbaik yang pernah saya temui dalam hidup ini.” Kini budak lelaki ini telah dewasa dan berjaya menjadi seorang doktor.

Pada satu musim bunga, bekas pelajar ini menulis surat kepada guru terbaiknya dengan memberi perkhabaran gembira yang dia akan berkahwin tidak lama lagi. Dalam surat itu, dia telah bertanya sama ada guru ini dapat menghadiri majlis perkahwinannya dan duduk di tempat duduk ibunya. Guru ini dengan berbesar hati telah bersetuju. Pada hari yang istimewa itu, guru ini telah datang sambil memakai gelang tangan dengan batu kristal yang sudah luruh itu dan menyemburkan minyak wangi kepunyaan ibu pelajar ini.

Gambar Hiasan

Selepas beberapa tahun, guru dan pelajar ini telah bertemu semula. Dalam majlis itu, guru ini berasa sebak melihat seorang lelaki dewasa yang telah berjaya di dalam kehidupannya. Mereka berpelukan dan lelaki ini membisikkan di telinga gurunya, “Terima kasih, terima kasih banyak-banyak kerana cikgu telah memberi saya satu kesedaran untuk membuat perubahan.” Sambil mengalirkan air mata guru ini berkata kepada bekas pelajarnya ini, “Kamu ini silap, kamu yang telah mengajar saya. Cikgu bukan seorang guru yang baik sehingga pada hari itu, ketika cikgu bertemu kamu.”

Bukan guru sahaja yang boleh memberi kesan di dalam kehidupan para pelajarnya, malah pelajarnya juga boleh memberi kesan kepada seorang guru, sekiranya mereka memberi dan menerima pendidikan itu dengan rasa kasih sayang dan penuh tanggungjawab.

Sumber : Cocomy

 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular