Mengait bukanlah satu aktiviti yang dilakukan oleh golongan muda. Malahan, kita sudah jarang melihat nenek-nenek kita mengait lagi pada zaman yang serba moden ini.

Tetapi, anda pasti akan tergamam apabila mengetahui ada seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang sangat gemar mengait dan kemahirannya kini berada di tahap ‘pakar’!

Jonah Larson mula menjadi bintang sensasi internet disebabkan oleh minat yang mendalam terhadap seni mengait. Kemahirannya yang menakjubkan telah membuka peluang kepada Jonah untuk membuka perniagaan sendiri dengan jayanya.

Dilahirkan di Ethiopia, Jonah dikatakan mula menceburkan diri dalam seni ini sejak berusia lima tahun. Jonah juga sering kali menonton video tutorial di YouTube bagi mengasah kemahirannya itu.

Lama-kelamaan, anak muda ini sudah boleh menghasilkan selimut, kain meja, sarung tangan dan bermacam-macam lagi…

Dengan bantuan ibu angkatnya, Jennifer, Jonah kini telah membangunkan sebuah perniagaan sendiri yang dikenali sebagai Jonah’s Hands. Dengan sejumlah 133,000 pengikut di Instagram dan lebih 26,000 pengikut di YouTube, perniagaan Jonah semakin berkembang maju.

Ramai pengikutnya teruja untuk membeli semua hasil kraf yang dibuat oleh Jonah. Bagaimanapun, Jennifer telah mengehadkan kadar tempahan bagi membolehkan Jonah dapat mengimbangkan di antara pelajaran dan juga perniagaan.

Lebih menakjubkan lagi, kanak-kanak ini juga pernah menerima surat daripada seseorang yang sangat meminati hasil kerjanya dan mahu menjadi anak murid kepada Jonah. Buat masa ini, Jonah dikatakan sedang menghasilkan sebuah buku tentang seni mengait berjudul Hello, Crochet Friends!

Tidak dinafikan, anak ini mempunyai masa hadapan yang cerah. Selain daripada kreatif, Jonah juga seorang pelajar yang bijak dan memiliki tahap IQ yang tinggi! Malah, dia turut bercita-cita untuk menjadi seorang pakar bedah pada suatu hari nanti…

Bukan itu sahaja, Jonah turut menggunakan bakat dan kemahirannya itu untuk membantu kanak-kanak Ethiopia dengan menghantar beberapa hasil kerja dan juga kutipan dana.

Kebaikan hati Jonah ini turut menerima lambakan reaksi positif dalam kalangan netizen yang memuji kanak-kanak ini.

“Tahniah adik, awak patut berbangga dengan diri sendiri.”

“Memberi semula kepada rumah kebajikan di mana tempat dia membesar dahulu… Bagusnya!”

“Dia sungguh profesional, hebat!”

“Teruskan usaha anda adik kecil!”

Sumber: Bored Panda

Maybe you're interested :

Share

Video Popular