Bagi penggemar sushi atau makanan Jepun pasti tidak lengkap hidangan mereka tanpa wasabi. Bayangkan di hadapan anda terdapat sushi kegemaran anda seperti inari, salmon atau unagi, dimakan pula bersama shoyu atau nitsume pastinya sangat menyelerakan. Namun, bagi sesetengah orang semua itu belum sempurna tanpa wasabi.

Namun begitu, tahukah anda bahawa berkemungkinan wasabi yang anda makan sebenarnya tidak asli? Hal ini kerana kebanyakan wasabi yang terdapat di luar Jepun biasanya telah dicampur dengan beberapa bahan lain seperti lobak (horseradish), sawi dan pewarna makanan.

Wasabi sebenar dikatakan mempunyai rasa seperti herba. Rasanya tidak terlalu pedas dan rasa tersebut tidak berkekalan dalam tempoh yang panjang. Wasabi juga dikira sebagai tumbuhan yang mahal kerana kesukaran untuk menanamnya. Mari kenali rasa wasabi sebenar dan dari mana sebenarnya wasabi berasal.

1. Wasabi sebenar berasal dari akar Wasabia Japonica

Kebanyakan wasabi yang anda jumpa di restoran Jepun di Amerika Syarikat atau restoran di Jepun bukanlah wasabi sebenar.

2. Kebanyakan wasabi yang dijual di Amerika Syarikat adalah semata-mata lobak (horseradish)

Kebiasaannya tumbuh lebih cepat dan lebih besar daripada Wasabi Japonica, dan ia lebih murah untuk dihasilkan. Malah di Jepun lobak ini sering digunakan.

3. Wasabi Japonica berasal dari Jepun

Maklumat mengenai tumbuhan ini boleh ditemui di dalam buku botani dan kamus di Jepun. Walau bagaimanapun, hari ini tumbuhan ini juga ditanam di China, Taiwan, New Zealand, Australia dan Amerika Utara.

4. Daun tumbuhan wasabi juga boleh dimakan

Daun wasabi boleh dimakan begitu sahaja (dijadikan ulam), dijeruk atau digoreng.

5. Wasabi sebenar kehilangan rasa selepas 15 minit atau lebih

Untuk mendapatkan wasabi yang segar, anda mesti memarut akar pokok wasabi dan ia dikatakan boleh bertahan selama 15 minit.

6. Wasabi dikatakan mempunyai fungsi dalam perubatan

Adalah dipercayai bahawa wasabi sebenarnya mempunyai kesan anti-mikrobial dan anti-radang.

Wasabi datang dalam tiga bentuk iaitu pes wasabi, serbuk wasabi dan akar wasabi.

1. Pes wasabi: Wasabi yang telah dijadikan pes dijual dan dihantar dalam keadaan sejuk beku. Selepas anda mula menggunakannya, pes tersebut perlu disimpan di dalam peti sejuk. Rasanya tidaklah sebaik rasa wasabi segar tetapi itu lebih baik daripada wasabi tiruan.

2. Serbuk wasabi: Harganya tidaklah begitu mahal namun tetap kurang enak.

3. Akar wasabi: Anda perlu memarut sendiri akar wasabi tersebut apabila hendak memakannya. Jika betul cara penyimpanannya, anda boleh menyimpan akar wasabi sehingga satu bulan lamanya.

Sumber: HUFFPOST , MAKE SUSHI

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI KESIHATAN

Video Popular