Setiap ibu bapa pasti menginginkan anak-anak kecil mereka membesar menjadi manusia yang hebat dan berguna di kalangan masyarakat pada masa hadapan. Dengan melihat kepada anak yang nakal, ada ibu bapa yang mengeluh, bagaimana jika mereka ini terus nakal sehingga dewasa. Dan ada pula anak-anak yang amat baik dan tidak sukar membesarkan mereka. Akan tetapi, adakah sikap yang sama itu akan mempengaruhi personaliti mereka sehingga dewasa? Hakikatnya, anak yang nakal dan degil serta sukar diasuh ketika kecil sebenarnya mempunyai potensi untuk menjadi manusia yang hebat ketika dewasa.

Di bawah adalah 3 jenis sikap anak kecil yang perlu dikenal pasti ibu bapa sebelum mereka dilentur menjadi manusia berpotensi hebat ketika dewasa.

1.Anak yang nakal

Sekadar Gambar Hiasan

Anak kecil nakal biasanya terdiri daripada kanak-kanak lelaki yang tidak akan duduk diam, sentiasa lasak yang akan membuat ibu bapa menjadi letih dan pening kepala.  “Saya perlu bertenaga hampir setiap masa melayan keletah anak lelaki yang nakal sehingga kadang kala membuat saya pening kepala.”

Jika melihat dari sudut pandangan yang berbeza, anak-anak seperti ini memberi peluang kepada anda untuk menjadi lebih kreatif dan cara mendidik mereka merupakan satu cabaran serta pengalaman yang berguna.

Sekadar Gambar Hiasan

Pertama sekali, idea nakal dan suka mengenakan anda itu menunjukkan anak ini seorang yang penuh berimaginasi.

Kedua, anak ini pasti akan menyediakan prop, senarai serta kaedah untuk menunjukkan kenakalan mereka, Dalam erti kata lain, mereka ini mula membangunkan kemahiran kreatif dan kuasa mereka cipta.

Akhir sekali, untuk merancang cara dan masa untuk ‘melaksanakan’ prank mereka, dalam erti kata lain, anak ini sedang membangunkan kemahiran dalam memberi pemerhatian, analisis dan kesungguhan sebelum bertindak.

Jika difikirkan, anak yang nakal akan menggunakan kemahiran berfikir dan kemudian mengerakkan keseluruhan tenaga dan tubuh badan mereka dengan bersungguh-sungguh semata-mata kerana ingin memberikan anda kejutan yang kecil.

Tahukah anda, kebanyakan orang terkenal dan manusia genius merupakan kanak-kanak yang nakal semasa kecil. Sebagai contoh, Albert Einstein sangat degil dan nakal semasa kecil. Manakala Thomas Edison mahu meniru perbuatan menetaskan anak ayam apabila dia melihat proses ayam bertelur dan menetaskan anak ayam.

Sekadar Gambar Hiasan

Jadi, anak-anak yang nakal semasa kecil tidak bermakna mereka ini akan membesar menjadi orang yang sama. Sekiranya potensi mereka digilap, keupayaan rasa ingin tahu, mencuba dan mereka cipta itu pasti akan menghasilkan sesuatu yang berguna kepada dunia. Oleh itu, sebagai ibu bapa yang memahami, berikan galakan dan dorongan di atas keupayaan anak ini.

Namun begitu, ibu bapa juga perlu tahu membezakan antara anak nakal dan anak degil. Sekiranya mereka menjadi terlalu nakal sehingga mampu menyakitkan orang lain, maka anak ini perlu dididik dan dihukum di atas perbuatan mereka yang salah.

2.Anak yang penyayang

Sekadar Gambar Hiasan

Bagi kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak perempuan, mereka pasti tidak mempunyai banyak masalah seperti melayan kerenah anak yang nakal. Sekiranya anak ini dididik dengan perasaan kasih sayang semenjak kecil, mereka akan terus mendengar kata dan menjadi penyayang. 

Seorang ibu membawa anaknya yang lembut dan penyayang melawat sebuah pusat akuarium dan dia menunjukkan anak ini akan sekumpulan ikan sardin yang sedang berenang di dalam akuarium itu sambil berkata, “Tengok, itu ikan sardin yang kita makan di rumah!”

Secara spontan anak ini telah menangis dan menjadi sedih dengan berkata, “Ikan-ikan ini sangat comel, mengapa kita perlu memakannya? Saya tidak akan makan ikan ini lagi!”. Semenjak itu, anak ini juga tidak mahu memakan apa-apa ikan pun.

Sekadar Gambar Hiasan

Kadang kala, anak-anak yang baik dan penyayang juga mampu membuat kita pening kepala kerana akibat terlalu sayang mereka juga boleh menjadi degil.

Terjadi satu insiden apabila seekor labah-labah berada di atas badan penjaga , dan ketika mahu menepisnya, tindakannya telah dihentikan oleh anak kecil kerana dia mahu mengalih serangga itu dengan sehelai daun kerana bimbangkan labah-labah ini akan sakit apabila terjatuh.

Anak yang penyayang di dalam keluarga perlu dididik dengan pendekatan psikologi yang kuat, dan mereka ini sebenarnya mempunyai kualiti sikap yang perlu digilap untuk masa depan yang cemerlang.

Anak yang penyayang mempunyai potensi dan keupayaan menunjukkan rasa simpati dan perasaan belas kasihan kepada orang lain atau makhluk lain. Maka di masa hadapan sikap mereka ini akan dapat membantu menjadikan dunia lebih baik.

Sekadar Gambar Hiasan

Sekiranya dididik dengan baik serta mendorong mereka menjadi berani, anak penyayang akan membesar menjadi orang dewasa yang memahami perasaan orang lain, mempercayai diri sendiri dan dapat mengawal emosi sendiri dengan baik demi membantu orang lain.

Anak-anak penyayang mempunyai potensi dengan sentiasa menyayangi diri sendiri untuk menjadi hebat, menyayangi orang lain dan menyayangi dunia.

3.Anak yang peramah

Sekadar Gambar Hiasan

Terdapat anak yang amat peramah dan suka bercakap sebaik sahaja mereka sudah mengetahui cara bertutur. Sebaik sahaja bangkit dari tidur, anak ini akan tidak berhenti bercakap dan banyak bertanya kepada ibu bapanya dan orang sekeliling.

Sekiranya anda tidak mempedulikan anak ini, mudah sahaja dia akan bercakap dengan permainannya, atau apa sahaja barang yang boleh dia meluahkan perasaan sehingga paling tidak, akan bercakap dengan dirinya sendiri.

Sekadar Gambar Hiasan

Tidak sah sekiranya nama ibu dan bapa itu akan dipanggil sebanyak beberapa kali dalam satu hari sekiranya anak ini ingin berkata, berceloteh atau bertanya apa sahaja.

Jangan pula ada ibu bapa yang berasa rimas, kerana mendidik anak yang sebegini sebenarnya memerlukan kesabaran yang tinggi. Anak yang peramah dan suka bercakap selalunya mudah meluahkan perasaan mereka, mahukan perhatian dan pengiktirafan serta bersifat ingin tahu untuk mengenali dunia.

Anak yang peramah dan suka bercakap sebenarnya mempunyai keupayaan yang tinggi dalam pencarian ilmu dan pengetahuan serta mampu membangunkan kemahiran berkomunikasi dengan orang lain.  Jadi para ibu bapa sebenarnya tidak perlu bimbang kerana anak ini sedang berada di landasan yang betul.

Sebaliknya, ibu bapa harus terus memberi galakan kepada anak ini untuk bercakap lebih banyak. Bagi anak yang masih kecil, ibu bapa patut menjadi pendengar yang baik. Walaupun mereka bercakap banyak dan pertuturannya tidak difahami, jangan mencelah dan biarkan anak ini bercakap sehingga perkataannya menjadi jelas dan betul.

Sekadar Gambar Hiasan

Apabila tahap pertuturan mereka sudah dibangunkan, pada masa ini anak-anak yang peramah akan mula bertanya kepada anda dengan 100,000 kali pertanyaan ‘mengapa’, dan ibu bapa perlulah bersedia dengan jawapannya, seperti :

“Mengapa ayah kena bekerja?”

“Mengapa saya bermimpi malam tadi?”

“Mengapa dinosaur itu bertelur dan tidak beranak?”

“Mengapa saya boleh melihat bintang tetapi tidak boleh memegangnya?”

Dan ibu bapa boleh memberikan penjelasan jika perlu dan sekiranya tidak mampu jangan pula berasa malu kerana anak ini sebenarnya mempunyai keupayaan yang tinggi untuk mempelajari dan memahami pelbagai perkara baru dengan pemikiran mereka.

Sekiranya anak ini bertanya ‘mengapa’, ibu bapa tidak perlu memberikan jawapan secara spontan dan terus, kerana kadangkala mereka sendiri tiada jawapannya.

Sekadar Gambar Hiasan

Maka ibu bapa boleh mempraktikkan cara ini untuk memberi jawapannya, seperti membelikan anak ini buku atau membawanya melawat muzium atau pusat sains serta tempat-tempat menarik yang lain supaya secara tidak langsung dia sendiri akan mendapat jawapan daripada pelbagai persoalannya itu.

Atau lakukan aktiviti yang memberi ilmu bersamanya. Sebagai contoh, sekiranya seorang anak itu bertanya, “Mengapa pelangi itu terbentuk dan mempunyai tujuh warna?”, bawanya pergi bermain senapang air dalam cuaca yang panas dan cerah. Pasti anak ini akan dapat melihat pelangi dan dia sendiri akan memahami mengapa. Sesuatu pembelajaran yang akan diingati buat seumur hidup.

Anak yang peramah dan sering bertanya sebenarnya seorang yang sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan dan akan mampu menjadi pencinta ilmu dan para intelek atau ilmuwan serta dapat berkomunikasi dengan baik dengan semua orang ketika dewasa.

Sekadar Gambar Hiasan

Sama ada anak kecil itu seorang yang nakal, penyayang atau peramah, kita pasti berasa agak sukar untuk mendidik mereka pada masa ini. Akan tetapi, setelah mengenali sikap dan potensi mereka, keupayaan ini mampu digilap oleh ibu bapa dalam mencorakkan anak-anak ini menjadi manusia yang hebat di masa hadapan.

Sumber : Cocomy

Maybe you're interested :

Share

Video Popular