WELLINGTON: Seorang warga Malaysia yang berkhidmat sebagai pengendali simulator penerbangan di New Zealand dilaporkan cedera dalam kejadian tembakan rambang di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand, hari ini.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington, mangsa kini menerima rawatan di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Seperti yang dilaporkan, kejadian tembakan rambang itu berlaku kira-kira 1.40 petang (waktu tempatan) dan pihak Pesuruhjaya Tinggi telah bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan maklumat mengenai mangsa.

“Setakat ini, seorang rakyat Malaysia disahkan cedera dan menerima rawatan di hospital,” lapor NST Online yang memetik Pesuruhjaya Tinggi sebagai berkata.

Mohd. Tarmizi Shuib antara rakyat Malaysia yang menjadi mangsa dalam tembakan rambang di New Zealand

Dalam laporan berkenaan, mangsa dikenalpasti sebagai Mohd. Tarmizi Shuib, bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mengalami kecederaan di bahagian belakang badannya.

Sementara itu, menurut bekas rakan sekelasnya yang enggan mendedahkan nama memberitahu, anak mangsa, Haziq yang bersama ketika kejadian berlaku masih berada di masjid berkenaan namun tidak dapat dipastikan keadaan ketika ini.

Tarmizi dan ahli keluarga sering mengunjungi masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Daily Read List

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi menasihatkan rakyat Malaysia di New Zealand supaya tidak meninggalkan kediaman dan mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa di sana.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengesahkan lebih daripada 40 individu terkorban dalam tembakan rambang berkenaan manakala 20 lagi cedera.

Beliau menjelaskan, New Zealand kini berada dalam kawalan keselamatan paling tinggi selain menambah pasukan polis berjaya menahan empat individu terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita.

Sumber : NST Online

 

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL NASIONAL

Video Popular