Ada yang berpendapat cinta sejati akan kekal walau apa jua halangan yang cuba untuk memisahkan pasangan itu. Inilah yang terjadi sekali gus membuktikan bahawa cinta sejati itu wujud apabila seorang datuk berusia 85 tahun telah melakukan sesuatu yang luar biasa demi isteri tercinta.

Karl Von Schwarz dan isteri kesayangan, Donna, 82 tahun merupakan pasangan kekasih sejak di bangku sekolah telah mengikat tali perkahwinan pada tahun 1956. Setelah mendirikan rumah tangga, kedua-duanya menetap di Youngstown, Ohio dan terus mendedikasikan sepenuh hati terhadap cinta mereka.

Menurut cucu pasangan ini iaitu Christina Von Schwarz, “Mereka benar-benar orang yang luar biasa, saya belum pernah bertemu dengan orang seperti mereka.”

Hubungan percintaan antara Karl dan Donna terus mekar sehingga usia mereka lanjut. Namun, di fasa akhir kehidupan ini, mereka telah mendapat dugaan yang berat apabila kesihatan Donna semakin merosot.

Kini, Donna hanya mampu bergerak dengan menggunakan bantuan kerusi roda. Meskipun diduga dengan pelbagai dugaan mencabar, ianya langsung tidak mengurangkan perasaan cinta pada pasangan itu. Malah, Karl menjadi semakin mencintai Donna seperti mana dia mencintai gadis pujaan hatinya kira-kira 63 tahun yang lalu!

Karl pernah berjanji untuk membelikan sebentuk cincin pertunangan istimewa buat isterinya. Ternyata, sebaik sahaja Donna dibenarkan keluar dari hospital, Karl terus membawa cinta hatinya itu ke kedai menjual barangan kemas.

Setelah Donna memilih cincin yang disukainya, dengan serta-merta Karl terus berlutut dan berkata, “Sudikah awak menikahi saya semula?”

Aduhai… Perempuan mana yang tidak akan berasa terharu dengan tindakan seperti ini? Sungguh romantis dan mencairkan hati!

Video peristiwa ini telah dikongsikan oleh Christina ke laman Twitter dan sejak itu, netizen mula memperkatakan mengenai keikhlasan cinta yang wujud dalam hati pasangan senior ini…

“Saya memberitahu datuk dan nenek bahawa mereka telah menjadi terkenal di Twitter dan mereka berasa sangat gembira. Saya langsung tidak menyangka video ini akan menular,” kata Christina.

Sementara itu, Karl memberikan responnya mengenai peristiwa lamaran itu dan berkata, “Itu adalah perkara yang luar biasa kerana dia adalah gadis yang saya cintai sepanjang hidup. Ia sangat mudah. Kami sudah lama bersama sehingga kami tidak boleh berpisah begitu sahaja.”

Teringinnya untuk memiliki pasangan sehidup semati yang manis seperti Karl dan Donna. Semoga kedua-duanya dipanjangkan umur agar dapat meneruskan kehidupan ini dan menghayati sisa hidup mereka bersama.

Sumber: Newsner

Maybe you're interested :

Share

Video Popular