Selain daripada ibu bapa, guru-guru juga merupakan insan yang dianggap penting dalam hidup kita. Disebabkan itu jugalah, guru sering digelar ibu bapa kedua kepada semua pelajar sekolah.

Malahan, ada segelintir guru yang benar-benar mendedikasikan hidupnya untuk mendidik anak bangsa agar mempunyai masa hadapan yang cerah. Guru-guru seperti inilah yang akan sentiasa kekal di ingatan kita meskipun setelah sekian lama meninggalkan alam persekolahan…

Inilah yang berlaku kepada seorang guru subjek Matematik Tambahan yang masih lagi dikenang walaupun telah meninggal dunia akibat barah payudara.

YouTube

Arwah Cikgu Hayati Aini Ahmad dikatakan telah lama bertarung melawan penyakit yang dihadapinya itu. Namun sebelum pemergiannya, Cikgu Hayati telah memuat naik lebih daripada 300 video tutorial berkenaan mata pelajaran Matematik Tambahan di YouTube.

Malah, bagi membantu lebih ramai pelajar untuk memahami subjek berkenaan, Cikgu Hayati turut memuat naik video-videonya ke Facebook.

“Isteri saya akan merakamkan video di dalam Bahasa Melayu supaya pelajar-pelajarnya dapat memahami dengan lebih mudah walaupun dia lebih cenderung untuk mengajar subjek ini di dalam Bahasa Inggeris,” kata Abdul Jalil Daud, suami Cikgu Hayati kepada mStar.

Abdul Jalil turut menceritakan bahawa arwah isterinya sanggup melakukan apa sahaja demi membantu para pelajarnya. Antaranya menjawab segala persoalan pelajar meskipun di luar waktu persekolahan.

Salah seorang bekas pelajar Cikgu Hayati yang kini berusia 34 tahun turut mengingati bagaimana arwah mendidik para pelajar dan berusaha untuk menjadikan sesi pembelajaran menjadi lebih mudah difahami. Bukan sahaja itu, Cikgu Hayati juga dikatakan sebagai seorang guru yang sangat baik hati dan pemurah.

mStar

Cikgu Hayati yang mengajar di SMK Bandar Baru Sungai Long, Kajang telah disahkan menghidap kanser payudara sejak Januari 2017 lagi. Tahap kesihatannya bagaimanapun semakin merudum dan membuatkan Cikgu Hayati terlantar sakit bermula September tahun lalu.

11 Mac lalu, Cikgu Hayati akhirnya pergi meninggalkan semua insan tersayang di usia 46 tahun…

Bukan semua orang berpeluang untuk bertemu dengan insan baik hati seperti Cikgu Hayati. Semoga video-video beliau dapat dijadikan sebagai panduan buat para pelajar yang memerlukan bantuan untuk memahami subjek Matematik Tambahan.

Takziah kepada keluarga arwah.

Sumber: World of Buzz, mStarhayatimathswizz Hayati Aini/Youtube

Maybe you're interested :

Share

Video Popular