Malaysia telah menyertai senarai negara-negara yang menggantung penerbangan Boeing 737 MAX 8 susulan 2 nahas yang melibatkan pesawat itu berlaku dalam tempoh kurang daripada lima bulan.

“Untuk Malaysia, kami mengesahkan bahawa tiada pesawat negara ini yang menggunakan Boeing 737 MAX 8,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),  Ahmad Nizar Zolfakar dalam satu kenyataan pada 12 Mac, lapor News Straits Times.

“Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dengan serta-merta menggantung operasi pesawat Boeing 737 MAX 8 keluar atau masuk Malaysia dan juga transit ke Malaysia sehingga notis berikutnya,” tambahnya.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam dan syarikat penerbangan lebih daripada 45 buah negara telah menggantung atau melarang penerbangan Boeing’s 737 Max kerana keyakinan terhadap kapal terbang yang popular tersebut telah mula merosot.

RTE

Pada 12 Mac, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) juga menggantung operasi kesemua varian Boeing 737 MAX yang masuk dan keluar dari republik itu.

Syarikat penerbangan yang akan terkesan dengan keputusan Singapura ialah SilkAir, China Southern Airlines, Garuda Indonesia, Shandong Airlines dan Thai Lion Air.

Airways Magazine

Kesatuan Eropah menggantung semua operasi penerbangan 737-8 MAX dan 737-9 MAX, serta semua penerbangan komersil yang dilakukan oleh pengendali negara ketiga ke dalam atau di luar EU, lapor South China Morning Post.

Kementerian Penerbangan Awam India berkata, “Pesawat-pesawat ini akan digantung daripada beroperasi sehingga pengubahsuaian yang sesuai dan langkah-langkah keselamatan dilakukan untuk memastikan operasi mereka selamat.”

Walau bagaimanapun, pengawal selia penerbangan Amerika Syarikat telah menyatakan bahawa “tidak ada asas” sehingga sekarang untuk menggantung penerbangan pesawat terlaris Boeing tersebut.

 

Yahoo News

“Setakat ini, kajian kami tidak menunjukkan masalah prestasi sistemik dan tidak memberi asas untuk menggantung pesawat pesawat model tersebut daripada beroperasi,” kata ketua Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Daniel Elwell dalam satu kenyataan.

“Tidak ada lagi pihak berkuasa penerbangan awam yang menyediakan data kepada kami yang akan menjamin tindakan berkenaan,” katanya.

Boeing telah menghantar lebih daripada 370 unit kapal terbang 737 MAX kepada 47 pelanggan di seluruh dunia setakat ini. Sejak pensijilan dan masuk ke dalam perkhidmatan, ratusan ribu penerbangan telah beroperasi dengan selamat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Dennis Muilenburg, nahas kapal terbang Ethiopia yang tragis telah menjejaskan industri keseluruhan aeroangkasa.

NDTV.com

“Pasukan kami menyokong penuh pelanggan kami dan siasatan serta memberikan bantuan teknikal atas permintaan dan di bawah arahan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional Amerika Syarikat dan pihak berkuasa Ethiopia,” katanya.

“Kami yakin dalam keselamatan 737 MAX dan kerja-kerja yang mereka bentuk dan membinanya,” kata Muilenburg.

Tindakan negara-negara yang menggantung pesawat model tersebut adalah susulan tragedi yang menimpa pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas ketika dalam penerbangan dari Addis Ababa ke Nairobi pada Ahad lalu dan mengorbankan kesemua 157 penumpang dan kru.

Sumber: SaysSouth China Morning PostNews Straits Times

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL NASIONAL

Video Popular