Di Vietnam, terdapat seorang lelaki yang mendedikasikan seumur hidupnya dengan melakukan kerja-kerja mulia iaitu semadikan bayi-bayi yang mati akibat keguguran.

Sepanjang hidupnya, lelaki bernama Tong Phuoc Phuc ini telah mengebumikan lebih daripada 16,000 bayi dan dia turut berjanji untuk meneruskan usaha menyelamatkan bayi daripada digugur oleh ibu bapa yang tidak bertanggungjawab.

Pada tahun 2001, Tong dan isterinya yang sedang hamil pada ketika itu telah pergi ke hospital. Pada ketika itu, dia menyaksikan terdapat ramai wanita hamil yang turut hadir ke hospital berkenaan tetapi keluar tanpa membawa bayi masing-masing.

Rupa-rupanya, didapati wanita-wanita ini telah melakukan pengguguran di hospital terbabit.

Sedih dan pilu dengan realiti yang berlaku di depan matanya, Tong mengambil keputusan untuk meminta kebenaran daripada pihak hospital bagi membolehkannya melakukan pengebumian secara terhormat buat bayi-bayi yang telah digugurkan itu.

Tong juga merupakan bekas buruh binaan telah menggunakan hasil wang simpanannya untuk membeli sebidang tanah di kawasan pergunungan di Hon Thom. Tong sememangnya berhajat untuk menyemadikan kesemua bayi-bayi malang ini di tempat yang aman dengan pemandangan indah.

Tong turut mendapat bantuan daripada sekumpulan sukarelawan yang turut sama-sama mengambil mayat bayi di hospital dan mengebumikan mereka dengan sempurna.

“Sudah 12 tahun saya bina tiga kawasan perkuburan yang meliputi 16,000 kubur,” kata Tong.

Meskipun isteri Tong pada awalnya tidak begitu menyokong tindakan suaminya, tetapi Tong berkeras menyatakan niatnya melakukan semua itu adalah satu tanggungjawab kepada manusia lain. Jika bukan dia, siapa lagi yang sanggup mengambil tanggungjawab itu kerana baginya, bayi adalah ‘kurniaan dari Tuhan’.

Kebajikan yang Tong perjuangkan ini secara langsung telah memupuk kesedaran dalam kalangan ramai wanita untuk tidak melakukan pengguguran.

“Jika saya tidak datang ke sini, mungkin saya juga akan menggugurkan bayi saya,” kata Nhung Nguyen sambil mengendong anak perempuannya yang terselamat berkat usaha Tong.

“Pakcik Phuc (Tong) datang jumpa dan pujuk saya untuk tidak menggugurkan bayi serta berjanji untuk menghulurkan bantuan,” tambah Nhung yang meletakkan bayinya di bawah jagaan pusat kebajikan Tong yang terletak di Nha Trang.

Inilah satu lagi usaha Tong untuk memastikan bayi yang tidak bersalah berpeluang untuk meneruskan hidup dengan baik. Mana-mana wanita yang enggan atau tidak bersedia untuk mempunyai anak, Tong akan menawarkan dirinya untuk menjaga bayi tersebut.

Tong seringkali memberikan nasihat serta memujuk kesemua wanita ini agar tidak melakukan keputusan yang akan disesali sehingga ke akhir hayat. Malah, Tong turut berjanji akan memberikan sepenuh kasih sayang kepada bayi-bayi yang diserahkan kepadanya.

Sekiranya suatu hari nanti ibu-ibu ini sudah bersedia dan mahukan bayi mereka kembali, Tong bersedia untuk ‘memulangkan’ bayi berkenaan ke pangkuan keluarga kandungnya.

Kini, terdapat seramai 20 orang kanak-kanak yang tinggal di pusat jagaan Nha Trang. 50 kanak-kanak lagi ditempatkan di pusat jagaan kedua yang terletak di Cam Ranh. Rumah kedua itu turut mendapat sumbangan daripada gereja tempatan sekali gus membolehkan usaha murni Tong ini menjadi lebih mudah.

Bayangkan betapa sukarnya dugaan dan halangan yang perlu Tong tempuhi seandainya dia perlu melakukan semua ini seorang diri.

“Saya akan usaha dapatkan lebih banyak bantuan. Ada segelintir individu yang membantu dari segi perbuatan, ada yang membawa barangan seperti beras dan garam, ada juga yang menghulurkan wang untuk tujuan pendidikan anak-anak.”

Terima kasih atas usaha mulia anda, Tong! Tanpa kebaikan hati anda, mungkin kes pembuangan bayi akan terus meningkat…

Sumber: The Epoch TimesRT Documentary/Youtube

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Pesona VIDEO

Video Popular