Selepas menghadapi ketidakadilan di negaranya sendiri di China, ahli perniagaan yang berjaya bernama Yu Ming ingin berkongsi bersama dunia dengan apa yang telah disaksikannya, menurut sudut pandangan dan kehidupan barunya di Amerika Syarikat.

Untuk mendedahkan penyeksaan yang merupakan sebahagian daripada persediaan negara tuan rumah China untuk Sukan Olimpik, Yu Ming membuat rancangan untuk melarikan diri dari kem buruh yang kelihatan seperti cerita fiksyen filem Hollywood. Beliau menulis artikel tentang bagaimana tahanan digunakan untuk menerbitkan buku cetak rompak, mencuri harta intelektual pengarang, dan bekerja dengan peguam hak asasi China untuk merayu ke mahkamah China bagi menuntut ganti rugi dan keadilan.

Kini, setelah melarikan diri ke Amerika Syarikat, Yu Ming mendapat peluang dan kebebasan untuk menceritakan kisahnya.

Samira Bouaou/The Epoch Times

Pada awal bulan Ogos 2008, sementara dunia telah terpesona oleh anjuran besar-besaran dan menakjubkan ketika upacara perasmian Sukan Olimpik Beijing, usahawan berusia 35 tahun, Yu Ming telah terlantar di hospital yang sering menempatkan tahanan Kem Buruh Paksa Masanjia yang tercedera setelah mengalami tempoh panjang dengan penyeksaan yang teruk.

Yu Ming telah direnjat dengan baton elektrik bervoltan tinggi. Selama tiga bulan, dia telah dikurung di dalam sangkar besi khusus, di mana dia tidak dapat berdiri atau tidur. Pernah satu ketika, dia diseret menuruni tangga dengan kepalanya mengetuk di atas setiap langkah.

Ini adalah kali ketiga Yu Ming dipenjarakan kerana mengamalkan disiplin rohani Falun Gong, yang telah mengalami penganiayaan di China sejak bulan Julai 1999.

Yu Ming mula berlatih Falun Gong pada tahun 1996, melalui pengenalan daripada seorang pelanggan. Pelanggan tersebut telah memberikan salinan buku utama Falun Gong, Zhuan Falun kepada isterinya.

Pada masa itu, Yu Ming telah menjadi usahawan yang berjaya di Bandaraya Shenyang, ibu kota Wilayah Liaoning di timur laut China. Perniagaan fesyennya kemudiannya mengupah lebih daripada 100 orang pekerja dan menyediakan pekerjaan kepada 1,000 orang pekerja lain di enam pembekal milik negara.

Pelanggan dan isteri Yu Ming menganggap dia bukan jenis orang yang akan berminat dengan amalan kerohanian, jadi mereka tidak menunjukkan buku itu kepadanya. Walau bagaimanapun, semakin mereka mahu “menyembunyikan” buku itu daripadanya, semakin banyak Yu ingin mengetahui kandungan buku tersebut.

Jadi dia mengambil buku itu dari isterinya dan selesai membaca enam daripada sembilan ceramah buku itu dalam satu malam. Keesokan harinya, dia mula mencari tapak latihan amalan Falun Gong di taman terbuka, di mana dia dapat mempelajari latihan amali.

The Epoch Times

Falun Gong, juga dikenali sebagai Falun Dafa, terdiri daripada lima latihan meditasi serta gerakan perlahan dan ajaran berdasarkan prinsip ‘Sejati, Baik dan Sabar’. Para pengamalnya telah memberi respon dan melaporkan terdapat peningkatan luar biasa dalam kesihatan bersama tekanan atau stres yang semakin kurang, hubungan yang lebih baik dengan keluarga dan rakan sekerja berserta pemahaman yang lebih baik mengenai tujuan hidup mereka.

Pada tahun 1992, Li Hongzhi mula mengajar Falun Gong secara umum. Sebelum ini, amalan kuno tersebut hanya diturunkan dari seorang tuan guru kepada seorang murid dan kebaikan serta manfaat ajaran ini dengan segera telah tersebar ke seluruh China melalui mulut ke mulut.

Pada tahun 1999, media Barat melaporkan bahawa terdapat 100 juta orang di China telah menyertai amalan tersebut. Pemimpin China pada masa itu, Jiang Zemin telah menjadi bimbang dan berwaspada terhadap rakyatnya yang telah melakukan satu amalan di luar kawalan Parti Komunis China yang semakin menjadi-jadi, dan takut rakyat China mungkin kembali berpegang kepada ajaran moral tradisional yang jauh lebih menarik daripada ideologi komunis yang berdasarkan kepada asas perjuangan materialisme, atheisme dan kelas.

Pada bulan Julai 1999, Jiang Zemin menggunakan segala sumber dalam parti negeri untuk membanteras ajaran Falun Gong, yang telah menyebabkan salah seorang pengamalnya iaitu Yu Ming turut ditahan sehingga berada di katil hospital pada tahun 2008.

Kejayaan melarikan diri tetapi gagal melepaskan diri.

Menjelang Sukan Olimpik Beijing yang semakin dekat, Yu melihat dari katil hospitalnya yang semakin ramai tahanan tiba di Kem Buruh Masanjia, yang telah dihukum kerana “merancang melakukan rompakan” atau ” membuat persediaan untuk mencuri ”.

Menurut laporan Epoch Times , dalam memastikan “keselamatan” di Beijing sebelum Sukan Olimpik pada tahun 2008, lebih daripada 3 juta orang diusir keluar dari ibu kota, lebih daripada 60,000 rumah dirobohkan, dan lebih daripada 1 juta orang dibawa ke kem buruh.

Di dalam kem tersebut, penyeksaan dan keganasan semakin menjadi-jadi dengan tujuan “mengubah” pemikiran para pengamal Falun Gong dan memaksa mereka untuk meninggalkan kepercayaan, mengenal pasti lebih ramai rakyat yang mengamalkan Falun Gong dan menyatakan kesetiaan kepada Parti Komunis China.

Yu Ming semakin tidak tertahan untuk melihat lebih ramai orang yang tidak bersalah diseksa dengan sebegitu teruk. Selain itu, beliau percaya bahawa dunia luar perlu mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di China selepas Beijing diberikan hak untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik. Di sebalik bertopeng dengan berkata telah memperbaharui hak asasi manusia seperti yang diharapkan oleh masyarakat antarabangsa, rejim komunis telah menganiaya malah telah membunuh rakyatnya kerana Sukan Olimpik.

Yu memutuskan untuk mendedahkannya. Tetapi bagaimana? Dan dia mempunyai idea.

Menurut rancangannya, dua orang pengamal Falun Gong akan cuba melarikan diri dari kem buruh tersebut, dan cuba menghubungi wartawan asing yang berada di Beijing yang sedang membuat liputan Sukan Olimpik, dengan harapan keadaan di kem tahanan dapat menarik sedikit perhatian.

Ilustrasi Yu Ming / Minghui.org

Kerana kurangnya tahap keselamatan di hospital, entah bagaimana Yu Ming berjaya mendapat akses memegang telefon bimbit, wang tunai, dan yang paling penting, pisau bergergaji.

Oleh kerana ramai rakan tahanan kem buruh sering dihantar ke hospital dan kemudian dibawa pulang kembali ke kem, melalui komunikasi yang teliti dan perhitungan rumit, Yu Ming telah dapat menyelaraskan satu rancangan untuk melarikan diri.

Yu Ming telah menemui dan mendapatkan bantuan orang dari luar untuk datang menyelamatkan dua tahanan ini selepas mereka berjaya melarikan diri dari kem itu, dan dia mendapatkan seorang yang lain untuk menyewakan tempat bagi mereka bersembunyi sementara pihak polis yang panik sedang mencari mereka.

Dan terdapat satu perkara lagi yang perlu dipertimbangkan iaitu selepas kedua-dua pengamal ini melarikan diri, pengawal polis yang sedang bertugas dan 22 rakan kumpulan dari sel yang sama pasti akan terlibat dan diberi hukuman berat.

Sebagai seseorang yang mengikuti ajaran sejati, baik, dan sabar, Yu tidak mahu hal ini berlaku. Dia mahu melayan orang-orang yang tidak bersalah ini dengan penuh belas kasihan.

Jadi Yu telah berjaya mendapatkan beberapa biji pil tidur. Dia memberitahu doktor bahawa dia tidak dapat tidur. Yu berpura-pura menelan pil tidur di hadapan jururawat, tetapi sebenarnya dia menyembunyikannya di sebelah tangannya yang lain.

Dengan kaedah ini, dia telah mengumpul pil yang cukup untuk meletakkan semua pengawal dan penghuni di dalam selnya untuk tidur pada hari memboloskan diri tersebut. Sekiranya mereka tidur semasa kejadian melarikan diri itu terjadi, mereka tidak akan bertanggungjawab kerana semua telah tidak sedarkan diri untuk menghalangnya.

Pelan itu telah dilaksanakan pada 11 Ogos 2008. Tirai besi di tingkap sel telah dipotong dan dipecahkan, dan dua orang pengamal telah melarikan diri dari tingkat tiga dengan menggunakan tali yang diperbuat daripada selimut.

Pada mulanya, semuanya berjalan lancar. Mereka telah memilih waktu yang tepat serta tempat dan orang betul, sehinggalah orang yang dimaksudkan untuk menyewakan tempat untuk mereka tinggal itu tidak muncul. Tiada siapa yang mengetahui apa yang telah berlaku. Yu terpaksa mengaturkan supaya isterinya, Ma Li, mengambil kedua orang yang melarikan diri itu dan menyembunyikan mereka di rumahnya, dan bayangkan betapa berisikonya rancangan itu.

Tiga hari kemudian, beratus anggota polis, dengan ada yang bersenjata telah mengepung kawasan berhampiran rumah Yu Ming dan menangkap dua tahanan yang melarikan diri termasuk isteri Yu Ming, Ma Li.

Percubaan melarikan diri semasa Sukan Olimpik Beijing dari kem buruh yang menjadi contoh dan “model” telah menarik perhatian pemimpin tertinggi rejim komunis. Insiden percubaan melarikan diri ini diklasifikasikan sebagai “insiden utama”. Sekurang-kurangnya tujuh pegawai polis telah dipecat, dan dua timbalan pengarah kem itu telah dihukum.

Yu Ming bersama dua tahanan yang melarikan diri menerima seksaan kejam.

Ilustrasi Yu Ming/Minghui.org

Yu digantung di pintu, dengan tangannya diregangkan dan kakinya tidak menyentuh tanah. Dia digantung dalam kedudukan ini selama lebih sebulan dari siang dan malam. Ada masanya Yu dibebaskan supaya dia boleh menggunakan tandas buat sementara. Kadangkala polis tidak akan melepaskannya. Oleh itu, dia mengambil sedikit makanan atau air yang ditekan ke dalam mulutnya.

Yu Ming hampir maut.

Yu Ming berkata, dua lagi tahanan yang melarikan diri itu telah diseksa dengan lebih keras dan ganas. Kem buruh itu diberi dua kuota hukuman mati selepas cubaan melarikan diri tersebut, yang bermaksud bahawa dua orang boleh diseksa hingga mati tanpa sebab dan akibat.

Di samping diseksa hampir mati, setiap tiga orang yang terlibat telah diberi satu tahun lagi hukuman penjara di kem tersebut. Malang untuk Yu, jika dia tidak merancang akan cubaan melarikan diri itu, dia telah pun dibebaskan dalam masa kira-kira 20 hari selepas hari insiden itu.

Ditanya sama ada percubaan itu berbaloi, terutamanya memandangkan ia tidak berjaya, Yu menjawab tanpa ragu-ragu, “Ya, kami terpaksa melakukannya. Lebih daripada 10 rakan pengamal Falun Gong di sekeliling saya telah diseksa sehingga mati semasa penganiayaan. Bagaimana anda boleh mengukur nilai kehidupan? Saya tidak pernah menyesal kerana mempertaruhkan nyawa sendiri untuk mencegah lebih banyak pembunuhan.”

Buku ‘Harry Potter’ yang dicetak rompak.

Kem buruh di China diwujudkan bagi tujuan untuk memaksa tahanan yang berjiwa kental untuk mengkhianati kepercayaan mereka, tetapi mereka juga membuat perusahaan yang menjana wang. Para tahanan adalah sumber utama buruh bebas kos.

Yu Ming mengingati bagaimana dia dan ramai lagi tahanan terpaksa membuat salinan cetak rompak bagi buku “Harry Potter” yang popular di kem buruh.

Yu Ming mengingati, “Itu adalah pada akhir tahun 2001 sejurus selepas China menyertai Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Saya ditahan di Kem Buruh Paksa Tuanhe di Beijing. Kami terpaksa memotong, melipat, menyusun, dan mengikat kepingan ‘Harry Potter’ dan buku-buku lain, dalam bahasa Inggeris dan Cina, serta beberapa bahasa lain. Buku-buku itu dicetak di tempat lain. Selepas kami selesai mengikat kesemua buku tersebut, ia kemudian dibawa pergi.”

Yu dan seluruh tahanan di Briged 6 bekerja selama lebih daripada tiga bulan di tempat membuat buku cetak rompak tersebut.

Yu mengingati tindanan lembaran dan helaian buku yang dicetak kira-kira tiga kaki tinggi boleh dilihat di mana-mana di dalam dewan dan koridor tingkat Briged 6. Briged 3 dan 5 juga bekerja untuk menyempurnakan ikatan buku-buku tersebut.

Harry Potter Books/ Gambar Hiasan

Tambah Yu Ming, “Seluruh yang bekerja di perusahaan mempunyai rasa tidak sedap hati melihatnya. Orang-orang ini menyampaikan lembaran yang dicetak ke kem buruh paksa secara sembunyi-sembunyi, dan kenderaan yang digunakan untuk membawa lembaran kelihatan agak usang. Kualiti cetaknya sangat teruk dan tidak berkualiti. Kertas itu kelihatan kekuningan dan mempunyai salah guna ejaan dan tanda cetakan di mana-mana.”

Untuk menghasilkan lebih banyak buku sebelum Tahun Baru Cina yang dijual kepada para pelajar semasa cuti musim sejuk, pihak polis memaksa tahanan untuk bekerja selama berjam-jam sehingga kadang-kadang sepanjang malam tanpa sebarang bayaran.

Yu menganggarkan bahawa mereka boleh membuat beratus-ratus ribu salinan buku cetak rompak dalam beberapa bulan.

Yu berkata beliau sebenarnya pernah menulis satu siri artikel tentang itu pada awal tahun 2004, dengan harapan bahawa pengarang siri “Harry Potter”, JK Rowling atau penerbit buku yang diberi kuasa mendapat makluman dan siasatan akan dijalankan untuk melindungi kedua-dua hak dan kepentingan pengarang serta penerbit, di samping memberi pembelaan kepada semua tahanan yang terlibat.

Yu Ming dibebaskan dan peguamnya pula dipenjara

Pada tahun 2009, selepas dibebaskan buat kali ketiga, Yu Ming mula bekerja dengan peguam yang kemudiannya mendapat perhatian sebagai tokoh terkemuka di kalangan aktivis tuntutan hak asasi di China, untuk cuba mempertahankan pengamal Falun Gong yang dipenjarakan. Antaranya Wang Quanzhang, Wang Yu, Dong Qianyong, Jiang Tianyong dan lain-lain.

Pada 29 Ogos 2013, semasa sedang menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya, Yu Ming telah ditangkap buat kali keempat, bersama dengan lebih daripada 12 orang pengamal Falun Gong lain di Shenyang.

Mark Ralston/AFP/Getty Images

Pemimpin Parti Komunis China, Xi Jinping datang melawat kota itu pada hari berikutnya, dan Yu berserta pengamal lain telah ditangkap sebagai salah satu “tindakan pencegahan,” bagi mencegah sebarang protes atau rayuan semasa kunjungan pemimpin Xi Jinping. Yu dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun, walaupun dengan usaha beberapa orang peguam yang biasa bekerja dengannya telah mengambil kes itu.

Peguam-peguamnya, Wang Quanzhang, Wang Yu, dan Dong Qianyong, semuanya telah ditangkap dalam satu tindakan keras pada 9 Julai 2015, di mana lebih daripada 200 orang peguam dan aktivis hak asasi manusia juga telah ditangkap dan ditahan.

Yu Ming telah dibebaskan dari penjara pada tahun 2017 dan pada akhir tahun 2018 telah berjaya melarikan diri ke Thailand, dan di sini dia telah berjaya memperoleh visa ke Amerika Syarikat di mana isterinya berada kerana sudah mendapat status pelarian dari kerajaan Amerika Syarikat.

Pada 27 Januari 2019, selepas hampir 12 tahun berada keluar masuk dalam kem buruh dan dipenjarakan, Yu Ming akhirnya menyertai isteri, anak perempuan dan anak lelakinya  di San Francisco.

Walau bagaimanapun, pada hari yang sama semasa Yu memperoleh kebebasannya, peguamnya, Wang Quanzhang, yang ditahan secara rahsia selama lebih daripada tiga tahun telah dijatuhi hukuman penjara empat setengah tahun. Yu Wensheng, seorang peguam yang mempertahankan Wang Quanzhang, kini sedang ditahan di Pusat Tahanan Xuzhou.

Fakta yang diputar belit

Yu Ming berkata ramai orang tidak tahu apa sebenarnya yang telah berlaku di perbicaraan keempat pada 22 April 2015, kerana China Central TV (CCTV) telah menyunting dan memanipulasi rakaman video sebenar, dan juga memfitnah peguamnya, Wang Yu.

Seorang pengamal Falun Gong perempuan bernama Li Dongxu telah dibicarakan bersama Yu. Pengawal dengan kasar mengetuk dan menekannya ke tempat duduk ketika dia cuba bercakap mengenai kesnya. Ibu Li tidak tertahan melihat anak perempuannya diperlakukan seperti itu lalu telah berdiri untuk memprotes.

Minghui.org

Dengan pengawal polis yang kelihatan menggunakan kuasa dan kekerasan terhadap wanita warga emas dan lemah berusia 84 tahun, peguam Yu, Wang Yu telah cuba membantu. Selepas mengecam polis dengan tindakan mereka, Wang Yu telah diseret dari ruang mahkamah.

Walau bagaimanapun, siaran CCTV menceritakan kisah yang bertentangan dan sebaliknya. Selepas menyunting dan merakam semula serta memanipulasi video perbicaraan, CCTV dapat menghasilkan beberapa “berita” yang menunjukkan Wang Yu berulang kali meninggalkan tempat duduknya untuk membuat “masalah” serta adegan gempar di dalam mahkamah.

Samira Bouaou/The Epoch Times

Kata Yu Ming, “Orang ramai tidak dapat membayangkan betapa buruknya CCTV. Apa yang menyedihkan, walaupun saya hanya tinggal di Thailand dan Amerika Syarikat untuk tempoh yang sangat singkat, saya telah melihat program CCTV beberapa kali di tempat yang berbeza. Walau bagaimanapun, saya tidak pernah melihat program televisyen Amerika Syarikat atau Thailand di China.

Yu Ming menambah, “Saya fikir Presiden Trump bertindak dalam landasan yang benar apabila membuat desakan ‘timbal balik’ dalam perbincangan perdagangan. Saya berharap prinsip yang sama boleh digunakan dalam sektor media juga.”

Sumber : Epoch Times

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL Kebenaran

Video Popular