Sudahkah anda menonton filem bertajuk ‘A Street Cat Named Bob’? Sekiranya belum, ia adalah sebuah filem British yang diterbitkan pada tahun 2016. Sebuah filem yang berdasarkan kisah benar dengan adaptasi buku autobiografi terlaris dengan tajuk yang sama.

Kisah benar mengenai seekor kucing jalanan bernama Bob yang telah menyelamatkan hidup seorang bekas gelandangan dan penagih dadah bernama James Bowen.

Kisah bermula apabila James Bowen telah disisihkan oleh ahli keluarga sendiri dan rakan-rakan kerana sikapnya yang menjadi semakin buruk akibat penyalahgunaan dadah. James terpaksa hidup merempat di tepi jalan dan menjadi gelandangan.

Demi kelangsungan hidup, James mendapatkan makanan daripada sisa makanan di dalam tong sampah, dan bermain gitar busker di tepi jalan dengan harapan diberi wang ihsan. Malangnya tidak siapa yang menghiraukan persembahannya dan James benar-benar terdesak dengan masalah ketagihan dadah.

Walaupun James cuba untuk menghentikan ketagihannya itu, ia bukanlah satu perkara yang mudah. Masalah ketagihan dadah itu menjadi semakin serius sehingga pada satu hari dia telah jatuh pengsan dan tidak sedarkan diri sehingga hampir meragut nyawanya.

Seorang pekerja sosial telah cuba menyelamatkan nyawa James dengan menghantarnya ke pusat pemulihan. Dia mahu membantu James berhenti menagih dan memastikan dirinya tidak berputus asa.

Semasa berada di pusat pemulihan, James mula menunjukkan tanda pemulihan dan berusaha untuk meneruskan kehidupan.

Ketika di pusat pemulihan ini, seekor kucing jalanan berwarna oren telah muncul ke dalam kehidupannya, dan memakan oat dan susu yang disediakan kepada James oleh para sukarelawan di pusat pemulihan itu. Berasa tertarik kepada kucing tersebut, James bertindak untuk melayan kucing itu dengan baik.

James kemudian membuat keputusan untuk mencari pemiliknya yang sebenar tetapi tidak pernah menjumpainya. Dan selepas itu, dia melepaskan kucing jalanan itu pergi.

Tidak lama kemudian, James mendapati kucing ini tetap kembali dan datang kepadanya. Jadi James telah mengambil keputusan untuk menjadi pemiliknya dan memberi nama Bob kepada kucing ini.

Selepas melihat terdapat parut-parut di tubuh badan Bob, James telah membawa kucing ini ke hospital haiwan untuk merawatnya. James menghabiskan banyak wang untuk merawat Bob.

James juga mendengar nasihat doktor untuk membuat pembedahan pensterilan ke atas Bob.

James berkata, “Saya bersungguh-sungguh untuk menjaga Bob mungkin disebabkan saya juga merasai perasaannya yang terdesak dan ingin dibantu, dan kami bertemu pada masa yang sama ketika sedang menghadapi kesukaran.”

Demi melihat Bob sembuh, James sanggup berlapar dan membiarkan wangnya dibelanjakan untuk membeli makanan dan ubatan Bob. James tidak menganggap Bob satu beban, sebaliknya satu tanggungjawab yang memberinya semangat dan tenaga positif untuk hidup.

James kemudian membawa Bob yang telah sihat untuk menyertai persembahan jalanan yang sebelum ini mendapat sambutan dingin daripada orang ramai.

Dengan keberkatan dan aura yang dibawa oleh Bob, persembahan gitar busker James mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan orang ramai. James kini menjadi salah seorang bintang di kalangan artis jalanan.

Ramai gadis yang berhenti melihat persembahan James dan tertarik dengan kecomelan Bob sehingga ada yang mengambil gambar dan pendapatan James menjadi beberapa kali ganda meningkat daripada hasil persembahan sebelumnya.

Kini, sebelum James mula menyanyi lagi, sudah ramai orang yang telah datang berkumpul dan memberinya wang untuk melihat persembahannya bersama Bob.

Nampaknya daya penarik kucing yang comel sudah pasti lebih berkesan daripada bakat yang mengagumkan!

Hasil penampilan Bob, pendapatan James telah bertambah dengan mengadakan persembahan selama beberapa jam sahaja.

Menjelang Krismas, ramai peminat James dan Bob akan memberikan hadiah, terutama kepada Bob yang comel!

Demi mendapatkan kehidupan yang baik buat Bob, James telah bertukar pekerjaan dengan menjadi pembantu di sebuah agensi yang menerbitkan majalah. James meninggalkan kerjaya sebagai artis jalanan dan kini bekerja menjual majalah.

Pada satu hari, sepasang kekasih telah datang kepadanya yang sedang menjual majalah sambil berkata, “Tuan, boleh kami bergambar bersama kamu dan pasangan kamu?”. Selepas mengalami penghinaan selama bertahun-tahun, itu adalah pertama kali seseorang telah memanggilnya dengan rasa hormat.

Selepas melalui pengalaman itu, James bertekad untuk memulihkan diri dengan sepenuhnya daripada ketagihan dadah untuk memulakan kehidupan baru.

Walaupun proses pemulihan itu amat perit dan bukan satu perkara yang mudah, Bob telah menjadi pendorong dan semangat yang kuat buat James bagi membuang semua tabiat buruk dan pengalaman pahit yang menyakitkan itu.

Akhirnya, James telah berjaya pulih dengan sepenuhnya dari ketagihan dadah dan mendapatkan semula kehidupannya yang asal. Kali ini James tidak mahu lagi memandang ke bawah dan membawa Bob bersamanya untuk menjalani kehidupan yang baru.

James Bowen kemudian menulis dan membukukan pengalaman hidupnya bersama Bob yang bertajuk ‘A Street Cat Named Bob’. Buku ini telah diterbitkan pada September 2010 dan mendapat sambutan luar dugaan dengan jualan sebanyak 1 juta salinan di Britain sahaja dan telah diterjemahkan ke dalam 30 bahasa di seluruh dunia.

Selepas buku autobiografi ini mendapat sambutan, kisah James dan Bob telah diadaptasi ke dalam filem dengan tajuk yang sama, ‘A Street Cat Named Bob’ yang telah diterbitkan pada tahun 2016. Filem lakonan Luke Treadaway sebagai James Bowen dan kucing asal Bob yang melakonkan wataknya sendiri. Filem ini telah memenangi anugerah Filem Terbaik dalam U.K National Film Awards pada tahun 2017.

Dalam filem ini disamping Bob sebagai pemegang watak utama, James Bowen juga muncul sebagai cameo di dalam filem tersebut sebagai salah seorang peminat buku James yang meminta tandatangan.

Kerana Bob, James Bowen telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah hidupnya yang diselubungi pengalaman hitam sehingga kini telah dikenali sebagai penulis buku terlaris dan popular di seluruh dunia dengan siri buku berkisar kehidupannya dan watak utama bernama Bob.

Anda boleh menonton filem ini atau membaca sahaja buku ‘A Street Cat Named Bob’ serta beberapa siri buku berkisar kisah kucing comel bernama Bob hasil karya penulis terkenal, James Bowen.

bumfe/Youtube

Sumber : Cocomybumfe/Youtube

Maybe you're interested :

Share

Video Popular