Meskipun telah setahun berlalu peristiwa pemergian rakan anjingnya, kucing yang dinamakan Baby Grey ini tetap datang dan menunggu anjing itu di rumah untuk bermain bersama.

Persahabatan antara Baby Grey dan anjing betina baka Eskimo Amerika bernama Gracie ini mula terjalin sejak dua setengah tahun yang lalu. Pada ketika itu, Baby Grey dilihat telah memanjat masuk dan berkeliaran di belakang rumah tuan empunya Gracie.

Kemudian, Baby Grey telah bertemu dengan anjing yang mendiami rumah berkenaan iaitu Gracie. Walaupun pada hakikatnya Gracie merupakan seekor anjing penjaga yang sepatutnya bertindak garang dengan menyalak pada Baby Grey, tetapi Gracie tidak berbuat demikian. Sebaliknya, Gracie menyambut baik kedatangan Baby Grey ke rumahnya itu.

Menurut pemilik Gracie yang dikenali sebagai Shea Belew Brennaman, dia telah lama perasan bahawa kucing yang comel itu sering kali memanjat pagar di belakang rumahnya untuk masuk dan berkawan dengan Gracie.

“Saya rasa kucing itu tinggal berdekatan tetapi saya tidak tahu namanya. Saya dan keluarga hanya menamakannya sebagai Baby Grey,” kata Shea.

Tambah Shea lagi, Gracie sememangnya seekor anjing yang penyayang dan gembira setiap kali bertemu atau melihat haiwan lain di perkarangan rumahnya termasuklah tupai dan arnab.

Selepas detik pertemuan yang pertama antara Gracie dan Baby Grey, akhirnya kedua-dua pasangan ini mula kelihatan mesra dan semakin akrab… Baby Grey juga kelihatan sering singgah ke rumah Shea untuk bermain dan meluangkan masa bersama kawan baharunya itu.

“Apabila Baby Grey mula kerap datang ke rumah, kedua-duanya mula kelihatan rapat dengan berkongsi buah tomato dan berjemur di bawah matahari bersama-sama yang merupakan aktiviti kegemaran mereka berdua.”

“Kami selalu meletakkan buah tomato di halaman memandangkan ia adalah makanan kegemaran Gracie, dan Gracie akan mengongsikannya dengan kucing itu. Ini adalah satu perkara yang mengejutkan kerana Gracie sangat tidak gemar untuk berkongsi makanan.”

Jalinan perhubungan antara kedua-dua anjing dan kucing ini terus mekar sehingga pada penghujung Oktober 2017 apabila Shea menyedari sesuatu yang aneh berlaku pada Gracie. Gracie dikhabarkan tidak lagi aktif dan bertenaga seperti kebiasaan.

Justeru, mereka sekeluarga telah memutuskan untuk membawa Gracie berjumpa dengan doktor haiwan. Pada ketika itulah mereka sekeluarga terkejut apabila doktor memaklumkan Gracie menghidap masalah kesihatan.

Sejak itu, Gracie sering dilihat meluangkan masa sendirian di laman rumah seolah-olah anjing ini sedang menyiapkan diri untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakannya.

Pada hari-hari terakhir Gracie, Baby Grey turut dilihat sering melawat rakannya itu dan berbaring bersebelahan antara satu sama lain.

“Ada beberapa kali Baby Grey datang untuk menjenguk Gracie. Mereka tidak berkongsi tomato sebaliknya hanya terbaring bersama. Mereka mempunyai hubungan yang tidak perlu diluahkan dengan kata-kata mahupun perbuatan. Mereka hanya ingin berada di sisi masing-masing.”

Sebulan kemudian iaitu pada November 2017, Gracie telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dan perkara ini memberi kesan yang sangat mendalam bukan sahaja buat keluarga Shea tetapi juga Baby Grey.

“Sejak pemergian Gracie, Baby Grey sering datang ke rumah. Baby Grey akan menunggu di depan pintu untuk mencari Gracie. Saya tidak tahu berapa lama kucing itu tunggu, mungkin sekitar 20 minit sebelum Baby Grey berlalu pergi untuk berbaring dan menjemur dirinya.”

Peristiwa dikatakan berlaku beberapa kali dalam seminggu. Rindu sungguh Baby Grey pada rakan baiknya itu. Kasihan…

“Saya berasa sangat sedih melihat Baby Grey masih lagi mencari Gracie. Tetapi pada masa yang sama, ia memberikan saya harapan bahawa kedua-dua haiwan ini mempunyai ikatan yang sangat kuat.”

Sumber: The Dodo

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI

Video Popular